BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah mencadangkan agar teknologi yang lebih moden diwujudkan bagi menguruskan sisa buangan dengan betul di kawasan luar bandar di negeri ini.
Beliau berkata orang ramai tidak boleh terus bergantung kepada tapak pelupusan sampah dalam membuang sampah terbabit.
“Ini boleh menjejaskan alam sekitar dalam jangka masa panjang di kawasan bandar luar bandar, kampung dan rumah panjang kita,” katanya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah 33 Ahli Majlis Daerah Betong yang diketuai Pengerusinya, Alfred Galing Ason di sini hari ini.
Uggah berkata, sistem pengurusan sisa semasa adalah untuk menghantar ke tapak pelupusan sampah.
“Tetapi ini semakin ketinggalan zaman. Sudah tiba masanya kita melihat teknologi yang lebih relevan untuk membuangnya dengan cara betul, terutamanya yang tidak dapat dikitar semula.
“Yang kita boleh kitar semula, kita boleh hantar kepada syarikat kitar semula. Jika kita boleh mempunyai kemudahan yang sesuai, kita juga boleh berkongsi dengan majlis daerah berdekatan.
“Seperti di Bahagian Betong, kita boleh berkongsi dengan Majlis Daerah Saratok, Lubok Antu dan Sri Aman,” katanya.
Sehubungan itu, Uggah turut menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan memperuntukkan lebih banyak dana untuk pengurusan sisa di kawasan luar bandar.
“Masih terdapat kampung dan rumah panjang yang masih belum ada perkhidmatan kutipan sisa majlis. Sesetengah orang menggunakan sungai untuk membuang sisa mereka atau membuangnya sahaja tanpa mengambil kira alam sekitar atau kebersihan.
“Ini sangat menyedihkan. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut meminta majlis daerah di luar bandar untuk menangani masalah anjing terbiar kerana rabies masih menjadi ancaman di negeri ini.
ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Residen Betong Richard Micheal Abunawas antara yang hadir.
Oleh ADI SAFARMAN