SIBU: Enam unit flat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu mengalami kerosakan akibat kejadian hujan ribut, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu mengakibatkan bumbung flat terbuka, dua flat mengalami sebahagian bumbung tercabut dan satu unit rumah mengalami kerosakan pada bahagian dinding.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu,” jelasnya kepada pemberita sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Suna Kaha berkata, sepasukan anggota dari BBP Sibu Sentral telah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan sekitar 6.44 petang.
Katanya, operasi melibatkan pembersihan pokok tumbang akibat tiupan angin yang kencang dan menghalang laluan trafik.
“Setelah ‘Size Up dibuat, pasukan bertindak menggunakan dua buah ‘chainsaw’ untuk memotong dahan dan batang pokok bagi memudahkan untuk mengalihkan ke bahu jalan.
“Operasi pokok tumbang dilakukan bermula dari Jalan Wong Soon Kai, dimana terdapat dua batang pokok tumbang menghalang jalan dan laluan,” jelasnya menerusi kenyataan.
Katanya, selesai kerja di Jalan Wong Soon Kai, pasukan bergerak ke Jalan Brother Albinus di mana terdapat enam batang pokok tumbang.
“Kerja-kerja pembersihan di Jalan Brother Albinus turut dibantu oleh pihak kontraktor dari Majlis Perbandaran Sibu (MPS),” ujarnya.
Setelah selesai kerja di Jalan Brother Albinus, katanya lagi, pasukan bergerak ke Jalan Tiong Hua dan Jalan Brooke Drive untuk mengalihkan pokok yang turut tumbang dan menghalang laluan trafik.
“Lokasi terakhir kerja pembersihan pokok tumbang adalah di Jalan Pahlawan dengan terdapat dua batang pokok tumbang.
“Kerja-kerja turut dibantu oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malausia (APM) dan Sibu 4X4 Club,” ujarnya.
Turut berada di lokasi kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.
Oleh AKUN GIMAN