JAKARTA: Polis Indonesia menahan empat warga Uzbekistan pada 24 Mac lepas kerana disyaki terlibat dalam penyebaran aktiviti keganasan melalui propaganda di media sosial.
Mereka ditahan dalam operasi polis antikeganasan Indonesia, Densus 88 hasil kerjasama Imigresen Jakarta Utara berdasarkan maklumat daripada kerajaan Uzbekistan.
“Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun turut disyaki terlibat dengan jaringan Islamic State antarabangsa dan Timur Tengah,” kata jurucakap Polis Indonesia Brigadir Jenderal Ahmad Ramadhan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mereka juga mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas Khatiba al-Tawhid wal-Jihad, yang dahulunya dikenali sebagai Jannat Oshiklari.
Kesemua suspek yang tiba di Indonesia pada Februari lepas, berusaha untuk merekrut individu yang mempunyai fahaman sama untuk melakukan tindakan keganasan.
Tiga suspek aktif menyebarkan propaganda di pelbagai media sosial dan seorang lagi suspek bertindak sebagai pembuat dokumen palsu dan penyedia kewangan. – Bernama