Oleh: Mohidin Haji Malek
“Apabila cinta menyentuh, setiap insan akan menjadi penyajak” (At a touch of love, everyone becomes a poet). Demikian petikan kata-kata Plato, filsuf dan pemikir Greek yang terkenal. Apakah yang beliau maksudkan dengan ungkapan demikian? Adakah disebabkan panahan cinta, seseorang boleh berubah menjadi penyajak secara tiba-tiba? Atau adakah maksud yang lebih meluas cakupan mandalanya daripada hal yang sedemikian itu?
Tidak dapat dinyahsingkirkan secara total bahawa sentuhan rasa cinta, kasih dan sayang mampu mengubah sikap serta peribadi seseorang. Malah, seganas-ganas atau sekeras-keras insan pun, mampu ‘dicairkan’ oleh sentuhan atau gamitan cinta, kasih dan sayang. Dalam konteks memperkatakan ungkapan yang diutarakan oleh Plato (atau nama sebenarnya Aristocles) serta menautkannya dengan dunia pengkaryaan, khususnya sajak, sememangnya ada kebenarannya. Jika dibuat satu kajian, akan terkesan bahawa banyak karya yang bertemakan cinta terhasil, khususnya dalam kalangan penulis remaja, pun tidak kurang juga golongan ‘remaja purba’ serta warga emas. Sajak “Padamu Jua” karya Amir Hamzah sebagai contoh, bertemakan cinta. Sebuah sajak yang banyak diperkatakan dan dikupas dari sudut pandang atau laras hala ‘kecintaan’ penyairnya.
Cinta, kasih dan sayang teramat luas cakupannya. Namun, laras sisi pandang tipikal masyarakat umum apabila soal cinta dihadirkan untuk dibicarakan, terfokus atau tertumpu pada cinta terhadap seseorang, ibarat cinta Laila dan Majnun. Cinta yang menyemai dan menyuburkan ikatan hubungan antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama-sama dalam sebuah institusi yang bergelar ‘keluarga’. Sering terbias daripada kanta pandang dan mikroskop akal fikir akan keluasan cakupan istilah cinta, kasih dan sayang. Cinta sesama insan, keluarga, masyarakat, agama, negara, alam dan seumpamanya. Cinta sedemikianlah yang merapatkan dan mengeratkan jalinan persaudaraan di samping mewujudkan persefahaman, keharmonian, keamanan, ketenteraman, kesejahteraan, keutuhan serta kekuatan.
Dalam peluahan rasa cinta, kasih dan sayang dalam sesebuah karya, tidak dapat disisihkan elemen emosi. Emosi yang seakan-akan mendodoikan yang secara tanpa sedar membangkitkan keterujaan untuk menyulam ambal bicara dalam bentuk yang amat indah dan mengesankan, sama ada dalam bentuk pengucapan atau tulisan. Dan lebih daripada kebiasaan, dalam masyarakat yang semakin celik huruf, luahan perasaan berkenaan diabadikan dalam bentuk tulisan agar dapat dihayati, bukan semata-mata untuk diri sendiri, akan tetapi untuk khalayak yang lebih ramai.
Suatu keistimewaan yang terselit di sebalik nilai cinta adalah ‘kesan’ yang terbit dalam nubari insan yang digamitnya. Memang benar cinta menerbitkan rasa tergoda untuk memiliki, memikat dan menjadikan seseorang yang dicintai itu ‘teman’ hidup. Cinta, kasih dan sayang juga melahirkan rasa peka, ambil berat, muak, benci dan marah. Pelik? Sama sekali tidak! Cinta yang tulus ada ketikanya menerbitkan rasa tanggungjawab untuk menegur serta menasihati setiap salah laku terhadap apa-apa bentuk kesalahan, kekhilafan, kegasangan dan seumpamanya yang dilakukan oleh orang atau kumpulan orang yang dicintai, dikasihi serta disayangi. Sebagai contoh, cinta yang mendalam terhadap tanah air mampu melahirkan rasa amarah terhadap mana-mana individu atau kumpulan, sama ada yang mengurus tadbir atau menjadi pembangkang, yang melakukan tindakan atau perkara yang boleh mengganggugugat keamanan dan kestabilan negara. Hal yang sedemikian bukanlah lontaran protes pengkarya, akan tetapi kecintaan yang menebal terhadap negara. Ibarat seni kata lagu Ilham Pujangga nyanyian Ismail Haron, “Pandang yang satu kepada yang ramai, pandang yang ramai kepada yang satu”. Penghuraian tafsiran yang memerlukan ruang bicara yang lebih luas dan lebar.
Ekoran daripada apa-apa yang diperkatakan, penulis terpanggil untuk membicarakan tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu, iaitu “Pudarnya Manis Tamar”, nukilan Nabillah Bolhassan, “Satu Penantian” karya Sapinah Abd. Nasir dan “Tangga Rumah Patah” ilham cipta Dalia Kassim. Ketiga-tiga sajak ini bertemakan cinta, kasih dan sayang, namun dalam sisi pandang yang berlainan. Sajak-sajak yang terilham apabila tibanya Ramadan, bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam. Bulan yang membangkitkan nostalgia silam bagi kebanyakan insan.
Bermula dengan sajak “Pudarnya Manis Tamar”, tema cinta yang diutarakan oleh Nabillah Bolhassan terluah dalam bentuk ‘pencarian’ suatu kehilangan, dan dalam konteks ini, kembalinya insan yang bergelar ayah. Daripada lontaran suara nubari penyajaknya, dapat disimpulkan bahawa wujud keakraban antara anak dan ayah. Turut dapat ‘dibaca’ bahawa arwah ayah penyajak bersikap penyayang terhadap keluarganya. Sikap inilah yang membangkitkan rasa ‘kehilangan’ kasih dan sayang seorang ayah, terutamanya pada waktu berbuka dan bersahur.
Secara umumnya, pembinaan sajak ini baik. Nabillah mampu sedikit sebanyak, mengocak kolam atma pembaca. Walaupun demikian, Nabillah harus berhati-hati dalam konteks pemilihan diksi yang persis dan gramatis sifatnya di samping melihat aspek kewajaran dan kemunasabahan sesuatu pernyataan. Sebagai contoh, pemilihan kata “kemam” dalam rangkap pertama agak kurang persis digandingkan dengan kata lidah. Sesuatu yang dikemam, dibiarkan di dalam mulut. Lidah merasa. Demikian juga halnya dengan bait pertama dan kedua rangkap yang berikutnya. Penggunaan kata “seiring” agak kurang munasabah memandangkan azan akan hanya dilaungkan selepas beduk dipalu. Kata “seiring” bermaksud bersama-sama, sekali atau serentak. Kata yang lebih persis digunakan ialah “diringi” atau “disambut”.
Seperkara yang harus diambil ingatan apabila menukil bait yang akrab tautannya dengan agama, sikap berhati-hati wajar diutamakan. Dalam konteks ini, bait keempat pada rangkap terakhir, “dalam pelukan Ilahi” mampu menimbulkan perbahasan dalam kalangan golongan tertentu waima diketahui bahawa kecintaan mendalam Nabillah terhadap insan yang amat disayanginya ‘menghadirkan’ ungkapan berkenaan. Apa-apapun, sajak ini baik dan masih ada ruang untuk dilakukan pemurnian. Dipaparkan sajak berkenaan sebagai pemugaran ingatan.
Pudarnya Manis Tamar
Manis tamar
Dalam kemam lidah
Tetap pudar rasanya
Sama seperti jiwa
yang masih runtuh
mencari sosok ayah
di meja makan biar
sudah lima musim berlalu
Bingit beduk dipalu
Seiring azan sore
Tidak mampu memecahkan sunyi
Dalam kamar sukma
Merindu kelibat ayah
Menyenduk kasih makanan ibu
Ramadan kali ini masih
Berisi dengan sepi
Ayah yang pergi sudah nyaman
Dalam pelukan Illahi
Di negeri abadi.
Sajak berikutnya, iaitu “Suatu Penantian”karya Sapinah Abd. Nasir berupa luahan ‘kerinduan’ Sapinah menanti kehadiran bulan Ramadan. Kerinduan yang bangkit daripada ‘kecintaan’ untuk memperbanyak segala amal kebaikan. Penyajak memanjatkan kesyukuran kerana dipertemukan sekali lagi dengan bulan yang mulia ini. Sajak dua rangkap ini mudah. Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang sajak ini. Seandainya penulisan sajak ini berupa pemula dunia pengkaryaan, gesaan kepada Sapinah adalah, beranjaklah untuk menghasilkan karya yang lebih mencabar di samping memberi perhatian yang lebih terhadap aspek bahasa, khususnya pemilihan diksi yang persis.
Satu Penantian
Hari demi hari
Berlalu sepi
Ku disini setia menanti
Hadirmu hanya setahun sekali
Kupanjatkan syukur ke hadrat ilahi
Diberi kudrat untuk memuliakanmu lagi
Ahlan Ya Ramadan
Bulan penuh keberkatan
Yang dinanti-nantikan
Tasbih dan tahmid suci
Pasti menjelari dinihari
Dengan ayat-ayat suci
Menjadi pedoman
Mengabidkan diri
Sajak ketiga ialah “Tangga Rumah Patah” ilham cipta Dalia Kassim. Seperti halnya sajak pertama, sajak ini turut berlegar dalam ruang ‘kerinduan’ terhadap insan yang amat rapat dalam kehidupan yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Namun, Dalia berbicara tentang arwah ibu. Tarikan pertama sajak ini ialah tajuknya yang sekali imbas tidak menggambarkan tautannya dengan ‘kenangan’ terhadap seseorang yang hadir pada bulan yang mulia ini. Perhatikan pembinaan sajak berkenaan seperti yang berikut;
Tangga Rumah Patah
Dalam kotak ingatan
Terlihat segala gelap menjadi terang
Susuk tubuh membelakang
pandang
serak bonda meneriak
kayu api belum dicari
air tempayan setengah berisi
perlahan ayah penuhi tuntutan
memikul perit di bahu
dapur berasap kembali
Usai subuh kuali berkelahi
bau tumis sambal kering
mengikat kain batik
geraknya dalam malap cahaya
tangkas lantai berbunyi
sejadah sudah bersidai
ampaian kasih bonda penuh
celik hujung Syaaban
Bermusim bonda pulang
tinggal tergantung sepi kenang
tatkala melintas tadi senja
tangga patah belum berganti batu
sejadahnya menadah hiba tumpah.
Sajak ini baik dari segi pembinaannya. Penyajak berjaya menitipkan elemen emosi dalam sajaknya. Namun demikian, masih terbuka ruang luas untuk melakukan pemurnian serta penambahbaikan bagi memantapkan struktur sajak ini. Dalam konteks ini, dari segi kesinambungan atau pertautan suatu bait dengan bait yang lain. Hal yang sedemikian terkesan pada rangkap kedua sajak ini, iaitu bait kedua dan ketiga yang memaparkan transisi situasi yang agak drastik sifatnya. Demikian juga binaan bait keempat dan kelima, “geraknya dalam malap cahaya/ tangkas lantai berbunyi”. Dalam konteks ini timbul persoalan tentang penggunaan kata “tangkas”. Adakah kata tersebut merujuk gerakan si ibu atau lantai berbunyi? Oleh itu, ketelitian dari segi pemecahan bait dalam setiap rangkap harus diberikan perhatian yang khusus. Dalam bait keempat rangkap terakhir, dinukilkan penyajak sebegini, ”tangga patah belum berganti batu”. Seimbas pandang tiada celanya. Akan tetapi saat ditekuni secara mendalam, timbul pertanyaan adakah perkataan “batu” atau “baru” yang ingin diguna pakai penyajaknya? Rangkap akhir sajak ini amat menarik untuk dibahaskan. Namun, dalam keterbatasan ruang, cukup dikatakan kekuatan sajak ini terselit secara berkias di situ.
Tiga buah sajak ini terbit daripada ilham fikir tiga orang penyajak wanita. Ketiga-tiganya memaparkan tema cinta, sama ada yang tersurat, mahupun tersirat. Secara keseluruhannya, sajak-sajak tersebut ada kekuatan tersendiri, juga tidak lari daripada ‘kelemahan’ yang hadir akibat keterujaan sang penyajak untuk menyajikan sesuatu juadah bacaan yang ‘menyelerakan’. Sebagai insan biasa, kelemahan yang sedemikian tidak dapat dielakkan, namun mampu diperbaiki dengan terus berusaha.
Meninta sesuatu hasil karya tanpa ada waima secubit rasa cinta tidak akan mampu menghadirkan suatu keindahan yang menyegarmalarkan taman fikir dengan flora dan fauna ilmu. Berkaryalah sebanyak mungkin dan titipkan rasa cinta, kasih dan sayang dalam apa-apa jua genre karya. Demikian keluasan mandala cinta, kasih dan sayang yang jarang-jarang terfikirkan. Salam Ramadan dan salam sastera.