Oleh: Asyraff Jamin
“Cemar.”
“Apa yang kau buat ni mencemarkan… kau tahu tak?”
“Entah apa bendalah yang kau buat ni?”
“Mengarut… kau tahu tak?”
Begitulah rentetan kata-kata yang masih bermain di fikiran Fazira. Betapa dia menyesali perbuatannya.
*****
Ramadan kesepuluh. Kebetulan hari ini hari minggu. Adalah peluang untuk Fazira ke bazaar ramadhan untuk mencari juadah berbuka. Meskipun Fazira hanya menjalankan perniagaan sambilan secara kecil-kecilan sementara menunggu pekerjaan tetap, tetapi dia tetap tidak punya banyak kelapangan. Syukur, perniagaan sambilan menjual biskut, kuih dan kek yang diusahakannya bersama sahabat karibnya Suhani itu laris justeru membuatkan mereka tidak menang tangan menyiapkan tempahan, lagi-lagi pada musim perayaan begini.
Fazira dan Suhani sahabat yang amat rapat. Mereka mula saling mengenal apabila mereka sama-sama menuntut dalam bidang seni kulinari di kolej vokasional beberapa tahun dulu. Perkenalan itu seterusnya berlanjutan hingga ke alam universiti apabila mereka sekali lagi bersama-sama menyambung pengajian dalam bidang yang sama di universiti yang sama. Di situ, persahabatan mereka bertambah erat dan akrab apabila ditakdirkan menjadi teman sebilik pula. Boleh dikatakan antara mereka sememangnya sudah begitu saling mengenal, mereka juga dikatakan punya banyak sekali persamaan, hinggakan teman-teman di universiti mengatakan mereka sehati sejiwa. Pun begitu, Fazira dan Suhani tetap punya perbezaan.
Fazira orangnya sangatlah kreatif dan gemar berinovasi. Mungkin kerana itulah perniagaan yang dijalankannya itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Sikap berani mencubanya yang disulami dengan kreativitinya telah mendatangkan hasil yang tidak disangka-sangka. Berbekalkan prinsip inovatifnya itu, Fazira telah berjaya mencipta beberapa resipi biskut, kuih dan kek raya baharu yang tentunya lebih sedap daripada biasa. Suhani pula orangnya tidaklah begitu kreatif dan tidak begitu berani berinovasi. Suhani lebih gemar membuat biskut, kuih dan kek mengikut resipi tradisional. Katanya dia lebih suka menikmati rasa biskut-biskut, kuih-muih dan kek-kek yang asli. Pun begitu, perbezaan ini tidaklah mengganggu perniagaan mereka sebaliknya menjadikan perniagaan mereka menjadi serba lengkap dengan menawarkan pilihan aneka biskut, kuih dan kek yang pelbagai. Baik moden mahupun tradisional.
Fazira menyampaikan hasratnya mahu ke bazaar ramadhan kepada Suhani menerusi pesanan Whatsapp. Sebagai sahabat sejati, tanpa banyak bicara Suhani segera bersetuju. Kebiasaannya jika mahu ke mana-mana, memang Suhanilah yang akan menjemput Fazira kerana dia tidak mempunyai kenderaan sendiri. Tidak lama kemudian, Suhani pun tiba menjemput Fazira di rumahnya. Tanpa berlengah, mereka terus meluncur menuju ke bazaar ramadhan dengan motosikal. Musim-musim begini dengan orang ramai yang lalu-lalang serta kenderaan yang banyak di jalan raya, motosikallah pilihan yang paling tepat dan efisyen untuk bergerak sesuai dengan keadaan jalan dan tempat parkir di pekan tempat kediaman mereka yang sempit dan tidak banyak. Sudahlah jalannya sempit, orang ramai pula sesuka hati meletakkan kereta di tepi-tepi jalan, maka bertambah-tambahlah sesaknya. Pihak berwajib pun entahlah, saban tahun masalah sebegini berlaku, tetap tiada penyelesaiannya. Yang kedengaran hanyalah tentang saiz bazaar yang lebih besar serta jumlah gerai yang ditawarkan kepada peniaga yang lebih banyak. Nampak macam bagus bukan? Pada sisi peniaga dan pembeli sememangnya ini tindakan yang bagus daripada pihak berwajib. Lebih ramai peniaga tentunya dapat menjanakan pendapatan dan pembeli pula pastinya mendapat lebih banyak pilihan. Namun pada sisi lainnya, masalah seperti kesesakan lalu lintas pula yang timbul. Permasalahan inilah yang selalunya mencemarkan suasana dan kemeriahan bazaar ramadan. Pihak berkuasa pula seperti sudah tidak tahu mahu berbuat apa? Serba salah – hendak didenda, disaman mereka yang meletakkan kenderaan sembarangan, susah juga kerana tempat parkirnya yang tidak mencukupi. Maka berlarutanlah masalah ini tanpa penyelesaian.
Usai memarkir motosikal, Fazira dan Suhani pun berjalan ke tapak bazaar. Suasananya membuatkan tekak dan lidah mereka tak keruan. Bau nyaman aroma pelbagai juadah yang singgah di hidung membuatkan perut mereka yang sedari terbit fajar menahan lapar kian rancak berkeroncong. Kedengaran suara para peniaga menawarkan harga bersahut-sahutan. Sungguh meriah. Inilah kerinduan yang selalu dinanti-nantikan saat tibanya ramadan saban tahun. Fazira dan Suhani terus berjalan sehingga ke hujung. Begitulah cara mereka sekiranya ke bazaar ramadan atau ke pasar malam pada hari-hari biasa, mereka akan berjalan sehingga ke hujung terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa. Mereka akan meninjau-ninjau terlebih dahulu juadah-juadah yang dijual dan akan membeli mana-mana yang dikehendaki semasa perjalanan balik. Maka tidaklah keseronokan membeli dicemari episod kecewa dan tidak puas hati semasa membeli. Pembaziran pun dapat dielakkan. Demikianlah cara pembeli bijak.
Sambil berjalan, mata Fazira dan Suhani menjeling-jeling ke setiap gerai jualan di situ. Fazira yang seleranya lebih gemar makanan barat mengintai-intai juadah barat seperti bebola daging berkuah keju, spageti, dan lasagna. Adapun makanan tempatan yang dibelinya, cumalah pisang goreng, itupun yang sudah diasimilasi – pisang goreng keju. Suhani pula sebagai penggemar makanan tradisi, yang dicarinya tentulah masakan-masakan tradisional seperti rendang, serunding, ketupat, dodol dan juga kuih-muih seperti seri muka, puteri ayu, putu bambu dan samosa. Demikianlah selera pada bulan puasa dan ketika lapar, seolah semuanya mahu dimakan serentak. Oleh sebab itulah orang selalu berpesan, jangan membeli ketika lapar. Demikianlah natijahnya.
Fazira dan Suhani berpatah semula setelah sampai di hujung bazaar. Tibalah masanya mereka membeli juadah yang telah pun mereka kenal pasti tadi. Satu per satu gerai menjual juadah yang mereka ingini tadi mereka singgahi. Usai membeli, mereka pun berjalan menuju ke tempat parkir. Di situ, satu masalah pula timbul. Akibat nafsu membeli mereka yang tak terkawal, bakul motosikal yang biasanya cukup untuk meletakkan beras sekampit 10 kilogram pun tidak cukup untuk meletakkan juadah yang dibeli. Maka terpaksalah Fazira menjinjing sahaja makanan yang dibelinya tadi sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Itulah padahnya membeli sampai tak ingat dunia.
Mereka pun tiba di hadapan rumah Fazira. Jemari Fazira sedikit lenguh akibat lama menahan beban berat juadah yang dibelinya sepanjang perjalanan pulang. Fazira pantas turun dari motosikal, plastik-plastik juadah yang tadinya memberat di jemarinya dilepaskan, diletakkan di atas tempat duduk motosikal.
“Nah, tadi aku ada beli lebih ketupat ini, ambillah… sedekah buat mak kau…”, ujar Suhani sambil menghulurkan plastik berisi ketupat kepada Fazira.
“Aik, sedekah dekat mak aku saja? Untuk aku?”
“Untuk mak kau… untuk kau sekalilah tu…”
Fazira menyambut pemberian Suhani itu dengan penuh senyuman. Matahari pun sudah beransur mahu tenggelam, biru langit juga kian menua sambil dihiasi cahaya kuning kejingga-jinggaan menandakan waktu berbuka kian hampir. Suhani pun meminta diri untuk pulang. Azan maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Fazira yang sedari tadi lagi perutnya sudah berkeroncong segera menyambar bebola daging berkuah keju yang dibelinya tadi. Tidak dihiraukannya lagi kurma dan air di atas meja.
“Engkau ni… suka sangatlah makan makanan macam tu… bukannya mengenyangkan sangat pun…” tegur emak Fazira yang melihatnya menikmati bebola daging berkuah keju itu.
Fazira tersengih, “Alaaa… tak apalah mak… tak kenyang sangat tak apa, yang penting sedap. Lagipun ada banyak lagi makanan Fazira beli tadi… kalau lapar nanti… boleh makan lagi…”
“Ya lah tu Fazira… apa saja yang kau beli tadi?”, tanya emaknya pula.
“Ni haa… ada spageti, ada lasagna… pisang goreng cheese pun ada…”
“Ish ish… semua makanan western yang kau beli? Semua ada cheese pula tu…”
“Ya lah mak… Fazira kan suka semua ni… oh, terlupa… tu ada ketupat… Suhani sedekah untuk mak…”, katanya sambil menunjuk plastik yang berisi ketupat pemberian Suhani.
Emaknya mengambil plastik yang ditunjukkan Fazira. Ketupat dikeluarkan dan dipotongnya supaya senang di makan. “Kau tak nak ketupat ni?”
“Haaa… boleh juga… berilah sepotong dua….”
Fazira mengambil lalu digigitnya sedikit. Terasa kurang enak pula ketupat dimakan begitu saja. Kebetulan, di hadapannya masih berbaki kuah keju bebola daging yang dimakannya. Dia pun mencicah ketupat dengan kuah keju lalu dimakannya. Sedap juga ketupat dicicah dengan keju, bisiknya dalam hati. “Haaa… aku ada idea!”
*****
“Petang nanti datang berbuka di rumah aku. Aku nak tunjuk resipi baharu.” Pesan Fazira kepada Suhani menerusi Whatsapp. Setelah disetujui Suhani ajakannya itu, dia terus ke dapur. Segala kelengkapan dan ramuan disediakan secukupnya. Kemudian dia mula bertungkus menyiapkan sebuah resipi baharu yang baru saja diilhamkannya itu. Dia bercadang mahu menjualnya kelak jika resipi itu berjaya dia hasilkan.
Seharian di dapur, resipi baharu yang diilhamkannya itu pun berjaya disiapkan. Lega rasanya apabila resepi ciptaannya itu menjadi. Fazira sudah tidak sabar mahu merasainya, lantas membuatkan dirinya menjadi tidak keruan menantikan waktu berbuka puasa. Dia menenung-nenung makanan yang baru sahaja dihasilkannya itu. Sambil memikirkan apalah rasanya? Bagaimanalah rupa di dalamnya?
Tidak lama kemudian, Suhani tiba. Fazira bingkas mempelawa Suhani masuk dan mengajaknya berborak-borak sementara menunggu waktu berbuka puasa di meja makan. Menu berbuka hari ini ringkas sahaja, tidak banyak – cukuplah untuk mengisi perut selepas seharian berpuasa. Lagi pula, selepas berbuka nanti Fazira ada resipi istimewa yang bakal dia tunjukkan kepada Suhani. Jadi soal makanan yang tidak semeriah semalam, tidaklah apa-apa.
Azan berkumandang. Usai membaca doa berbuka puasa, mereka masing-masing menyuap kurma dan menghirup air kemudian mengisi perut dengan makanan yang ada. Janji Allah, biarpun makanannya biasa-biasa sahaja, namun nikmatnya terasa berganda-ganda. Sungguh, saat berbuka puasa adalah kegembiraan buat orang berpuasa. Selesai berbuka, Fazira pun ke dapur mengambil juadah istimewa ciptaannya lalu menunjukkannya kepada Suhani. Dengan nada penuh teruja dia memperkenalkan resipi terbaharu hasil inovasinya itu.
“Tengok ni… aku ada resepi baharu…”, ujar Fazira sambil membuka tudung saji.
“Ketupat?”, Suhani kehairanan. “Apa yang baharunya?”.
“Eh… ini bukan ketupat biasa… ini ketupat istimewa…”, Fazira lantas mengambil dan menunjukkan ketupat buatannya itu secara dekat.
“Apa yang istimewanya… sama saja aku tengok”
“Mari sini aku tunjukkan…”, Fazira pun mengambil sebilah pisau lalu memotong ketupat. Saat ketupat itu terbelah dua, kelihatan cairan pekat keju meleleh di tengah-tengah ketupat yang dipotongnya itu. Kemudian ditariknya seperti menarik roti nan keju sambil menunjukkannya kepada Suhani.
“Ya Allah… entah apa bendalah yang kau buat ni?”, suara Suhani agak keras. Tinggi.
“Inilah ketupat keju ciptaan aku… menarik kan? Tak pernah lagi orang lain buat…”
Suhani menepuk dahinya. “Kau tahu tak kenapa tak pernah lagi orang lain buat?”
Fazira mengangkat bahunya.
“Kau tahu tak Fazira… tidak semua perkara boleh dibuat mengikut kehendak kita, tak boleh dibuat sesuka hati, tak boleh dibuat sesedap rasa. Semuanya ada aturan dan ada falsafah disebaliknya. Sebab itulah tak ada orang lain buat ketupat macam yang kau buat ni…”
Fazira tercengang.
Suhani menambah lagi. “Ketupat ni pun ada falsafahnya… ada aturannya…”
“Aku… aku cuma nak inovasikan je… bagi nafas baharu…”
Suhani segera memotong. “Inovasi tu tak salah Fazira. Tapi janganlah buat benda mengarut macam ni. Mengarut… kau tahu tak?”
“Kenapa pula?”, Fazira menuntut jawapan.
“Itulah kau… asyik fokus dengan masakan-masakan dan resipi moden sahaja. Hinggakan pengetahuan tentang resipi-resipi dan masakan tradisi ni kau kurang ambil tahu. Makanan tradisi macam ketupat ni, ada sejarahnya tersendiri, ada falsafahnya. Kau tahu tak sejarah dan asal usul ketupat ni dari mana?”
Fazira menggeleng.
“Ketupat ini kalau ikut sejarahnya, dicipta oleh Sunan Kalijaga, salah seorang daripada sembilan orang Wali Songo yang dikatakan sebagai penyebar agama Islam di Nusantara khususnya di Tanah Jawa. Sebab itulah namanya disebut ketupat atau kupat, diambil dari kosa kata bahasa Jawa, iaitu ngaku lepat atau dalam bahasa Melayunya, mengaku salah. Kalau nak ikutkan, nama asal ketupat ni lagi panjang, kiblat papat limot pancer yang membawa maksud empat arah mata angin dan adanya satu pusat menuju Allah, iaitu kiblat.”
“Eh kejap… kejap… mana kau tahu semua ini?”, Fazira cuba mencari kepastian.
“Aku kan anak orang Jawa… mak aku orang Jawa… jadi aku adalah belajar sikit-sikit… termasuklah sejarah tentang ketupat ni…”.
“Oh… patutlah…”
“Haa… lagi… kalau kita tengok bentuk ketupat tu pula, ada empat penjuru bukan? Selain empat arah tadi, empat penjuru atau empat segi ni juga ada maksud lain… antaranya membawa maksud tanah, air, api angin… empat segi ini juga menurut orang Jawa sebagai laku papat, mewakili empat tindakan, lebaran, luberan, leburan dan laburan.”
“Hah? Yang tu semua apa pula maksudnya?”, Fazira semakin berminat mengetahui.
“Lebaran tu sama maksudnya dengan lebaran dalam bahasa Melayu tu… hari raya, iaitu diambil dari kata lebar yang bermaksud selesai, – selesainya kita berpuasa. Luberan tu pula membawa maksud melimpah, sebagai simbol harta yang melimpah yang perlu ditunaikan zakatnya dan juga mengajak kepada amalan sedekah. Leburan pula bermaksud melebur dosa iaitu melalui amalan bermaafan semasa hari raya, manakala Laburan pula bermaksud kapur, simbolik kepada perbuatan memutihkan yang sinonim dengan kesucian zahir dan batin.”
“Wah, tak sangka pula aku di sebalik ketupat yang nampak ringkas dan mudah itu, tersembunyinya falsafah yang besar begini!” ujar Fazira dalam nada sedikit kesal.”
“Bukan itu saja, kulit atau bungkusan ketupat ni pun ada maknanya tersendiri.”
Fazira tercengang lagi. “Hah, apalah maksudnya?”
“Kulit ketupat tu, dibuat daripada daun kelapa bukan? Biasanya orang guna daun kelapa muda. Daun kelapa muda ni, orang Jawa menyebutnya, daun Janur. Janur ni asalnya dari bahasa Arab, jaa al-nur, yang bermaksud ‘telah datanglah cahaya’. Kalau tengok pada kulit ketupat tu, daun janur ini tadi dianyam secara bersilang-silang, sebagai simbolik kepada dosa atau kesalahan yang begitu banyak, bertindih-tindih seperti anyaman kulit ketupat itu tadi. Lepas tu pula, ketupat ni kita masak bersama santan. Santan dalam bahasa Jawa disebut pangapunten, yang bersinonim dengan maksud minta maaf.”
Fazira masih lagi mendengar dengan tekun.
“Ketupat ini, kita masak dengan cara merebus. Apabila sudah masak, saat kita nak makan tu, biasanya kita akan potong bukan?”
“Ya… betul… baru senang nak makan…”
Suhani senyum. Di sinilah tempatnya akan memberi pengajaran berguna buat Fazira. “Haa… bab potong tu pun bukan saja-saja potong. Masa kita potong tu, apa yang nampak?”
Fazira terpinga. “Nampak ketupatlah…”
“Ya, tahu… memanglah nampak ketupat… warna apa ketupat tu?”
“Putih.”
“Betul. Nampak putih, apa maksudnya?”
Fazira mengangkat bahu. “Apalah maksudnya?”
“Putih itulah iman kita… iman yang selepas kita kembali kepada fitrah selepas berakhirnya ibadah puasa dalam bulan ramadhan. Ingat maksud daun kelapa muda yang dianyam bersilang-silang tadi? Begitulah dosa kita sepanjang sebelas bulan lampau, usai sahaja kita menjalani ibadah puasa dan tibanya bulan Syawal, kita pun kembalilah kepada fitrah dengan iman yang putih bersih. Faham?”
Fazira mengangguk.
Inilah masa yang ditunggu-tunggu Suhani, “Hah, kalau macam ketupat yang kau buat tadi… bayangkan masa kau potong, apa yang nampak?”
Fazira menjelingnya. Mungkin sudah terdetik kesedaran dalam dirinya. “Ermm… nampak putih ketupat tu… dan… dan nampak kuning cheese…”
Suhani pantas memotong, “Haaa… nampak tak cemarnya di situ? Benda dah elok-elok putih, bersih, suci… kau cemarkan dengan benda tak sepatutnya.”
Fazira mencebik.
“Cuba kau bayangkan, kau pakai seluar putih, elok… tiba-tiba ada sesuatu kuning macam tu? Jelek bukan? Ingat Fazira, tidak semua perkara boleh dibuat mengikut kehendak kita, tak boleh dibuat sesuka hati, tak boleh dibuat sesedap rasa. Semuanya ada aturan dan ada falsafah di sebaliknya.”