ISLAM merupakan salah satu agama terpenting di Sarawak. Sejarah perkembangan Islam telah bermula sejak sebelum orang Barat datang ke alam Melayu lagi. Apabila keluarga Brooke memerintah Sarawak, Islam tetap dipelihara oleh pemimpin Melayu dan ulama Islam di negeri ini.
Malah, pemimpin Islam Sarawak mampu mempengaruhi kerajaan Brooke untuk menghormati dan tidak menganggu agama Islam. Atas sebab itu, perkembangan Islam di Sarawak dapat dipelihara dan berkembang sehingga ke hari ini.
Berkaitan dengan hal ini, timbul beberapa persoalan mengenai keberadaan agama Islam di Sarawak. Bilakah Islam bertapak di Sarawak? Siapakah orang yang memainkan peranan dalam membawa dan menyebarkan Islam di Sarawak? Persoalan seumpama ini memang mendapat perhatian sarjana sejarah untuk melihat bagaimana Islam diperkenalkan dan disebarkan ke Sarawak.
Peranan Brunei
Satu pendapat lama dan diterima ramai mengenai kedatangan dan penyebaran Islam di Sarawak adalah melalui pengaruh Brunei. Brunei dikatakan telah menerima Islam menerusi pengislaman pemimpin mereka iaitu Awang Alak Betatar. Setelah memeluk Islam, Awang Alak Betatar telah menggunakan nama Sultan Muhammad Shah.
Pengislaman Sultan Brunei ini membuka lembaran penting dalam penyebaran Islam ke Sarawak dan wilayah-wilayah Brunei yang lain.
Ada yang mengatakan bahawa pada era baginda, beberapa wilayah Sarawak seperti Kalaka, Sarawak, Sagong (kemungkinan Sadong?) dan Samarahan dibawah pentadbiran Brunei.
Dalam hal ini, secara tidak langsung Islam telah dikembangkan di Sarawak, manakala pembesar-pembesar Brunei termasuk pedagang Brunei memainkan peranan penting memperkukuhkan ajaran Islam di Sarawak.
Tambahan daripada itu, Sultan Brunei ketiga iaitu Sultan Sharif Ali dari Taif memperkukuhkan Islam di Brunei dan Sarawak. Beliau telah menaungi Islam di wilayah kekuasaannya dan hal ini diteruskan lagi dengan sultan-sultan Brunei yang lain.
Pengaruh Asia Barat
Dalam hal penyebaran Islam di alam Melayu ini juga, kita tidak dapat memisahkan bagaimana peranan Arab dan Parsi dalam penyebaran Islam. Oleh itu, terdapat teori kedatangan Islam yang menyatakan bahawa Islam datang dari pedagang Arab dan Parsi ini. Pedagang Arab ini juga berdagang sambil menyebar Islam ke Pulau Borneo.
Pengaruh Arab kepada penduduk tempatan termasuk di Sarawak dapat dibuktikan dengan kemunculan golongan Sharif. Golongan Sharif merupakan golongan yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat Melayu. Malah, mereka dianggap sebagai tokoh penting dalam penyebaran Islam di Borneo termasuk Sarawak. Mereka ini dihormati dan diangkat menjadi pemimpin utama seperti Sharif Jaafar dan Sharif Masahor.
Dari China?
Salah satu lagi pandangan tentang pengaruh Islam di Borneo datang daripada seorang sarjana Barat iaitu D. E. Brown. Beliau melihat pengaruh Islam telah dibawa oleh orang China ke barat laut Borneo.
Dalam hal ini, perlu kita ingat bahawa Islam sudah lama bertapak di China dari alam Melayu. Pedagang dan pendakwah China juga aktif dalam kegiatan mereka sama ada di China dan luar China.
Hal ini bertepatan dengan pendapat Brown yang melihat hubungan rapat antara China dan Borneo terutama Brunei telah membawa kepada perkembangan Islam di barat laut Borneo. Dalam hal ini, Brown mengambil dua peristiwa sejarah berlaku bagi menegaskan tentang pengaruh China di barat laut Borneo.
Pertama adalah ekspedisi ketenteraan Monggol yang menuju ke Jawa yang terus ke Laut China Selatan tetapi mengalami cuaca buruk menyebabkan ada kapal-kapal yang tersasar menuju ke bahagian barat laut Borneo.
Peristiwa kedua dilihat oleh Brown ialah pengaruh Dinasti Ming semasa ekspedisi besar oleh Zheng He.
Walaupun beliau tidak pernah melawat Borneo tetapi, sebahagian kecil ekspedisi ini dikatakan mempunyai hubungan dengan Borneo. Kebarangkalian kedua-dua peristiwa ini mempunyai hubungan dengan pengembangan Islam di barat laut Borneo termasuk Sarawak. Menurut Brown lagi, kebanyakan orang Cina yang datang ke barat laut Borneo adalah beragama Islam. Ketika itu juga Sarawak sudah mempunyai beberapa bandar pelabuhan yang menjadi tarikan pedagang China ke Sarawak seperti Santubong.
Teori kedatangan Islam menerusi China ke alam Melayu bukannya satu perkara baharu. Teori ini diketengahkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut teori ini pada tahun 879 masihi (M), berlaku pemberontakan petani di selatan China.
Pemberontakan ini membawa kepada pengusiran orang asing dari Guangzhou (Canton) oleh pemerintah Dinasti Tang. Implikasi ini membawa kepada penghijrahan pedagang Islam ke selatan termasuk ke Champa, Kedah, Petani, Palembang dan tempat-tempat lain di alam Melayu.
Walaupun tidak disebut mereka berhijrah ke Borneo tetapi, ketika itu Santubong telah menjadi pusat perdagangan. Hal ini belum dapat dipastikan sama ada berlaku pengaruh Islam langsung ke Sarawak hasil penghijrahan dari Guangzhou ini.
Peranan ulama
Walaupun terdapat pelbagai pendapat besar tentang kedatangan dan penyebaran Islam di Sarawak, ada juga catatan-catatan mengatakan bahawa terdapat peranan individu dalam penyebaran Islam di Sarawak.
Antaranya adalah penyebaran Islam di Bintulu. Penduduk Bintulu dinyatakan telah memeluk Islam sebelum Bintulu diserahkan kepada Brooke, manakala orang membawa Islam ini ialah Sharif Maulana. Maklumat tentang tokoh ini tidak diketahui. Bilakah beliau datang ke Bintulu juga tidak dinyatakan. Ini kerana maklumat ini datang dari sumber lisan masyarakat tempatan.
Bertitik tolak daripada hal ini, timbul persoalan mengenai peranan orang tempatan terutama pemimpin tempatan dalam pengenalan dan penyebaran Islam di Sarawak. Ada sumber yang mengatakan bahawa terdapat peranan golongan perabangan dalam memperkenalkan Islam dan mengembangkannya di Sarawak.
Golongan ini dikatakan telah membina masjid di tebing sungai Sarawak dan membawa golongan ulama ke Sarawak. Perlu diingatkan juga golongan perabangan juga merupakan golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan Islam yang tinggi.
Sesetengah mereka mendapat pengajian di Makkah dan membawa ilmu ini ke Sarawak.
Beberapa perkara yang dibawa dalam wacana ini menunjukkan bahawa Islam itu datang daripada pelbagai pihak dan arah. Namun, matlamat utama mereka adalah penyebaran dan pengukuhan Islam di bumi Sarawak.
Hal ini mengimarakkan Islam terus menjadi agama penting di Sarawak sehingga ke hari ini.
Salam Ramadan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.