KUCHING: Bekas Pengarah Imigresen Sarawak, Datu Robert Lian Balangalibun yang meninggal dunia semalam pada usia 67 tahun, disifatkan sebagai kehilangan besar buat negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mendiang Robert adalah pegawai cemerlang ketika dalam perkhidmatan.
“Mendiang Robert menjadi inspirasi kepada golongan muda kerana beliau merupakan antara graduan terawal dari Bario melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
“Beliau salah seorang perintis dari Bario. Bagi kami, ia adalah satu kerugian tetapi saya pasti legasinya masih ada. Saya juga yakin penjawat awam dan golongan muda menjadikan beliau sebagai inspirasi atas perkhidmatan yang pernah disampaikan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di sini, petang tadi.
Semasa perkhidmatannya, mendiang Robert Lian memainkan peranan penting dalam penubuhan lapan pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) iaitu Meropok CIQ (Lawas), Mengkalap (Trusan), Bandar Ruang (Limbang), Tedugang (Limbang), Sg Tujuh (Miri), Lubok Antu, Biawak dan Tg Manis.
Selain CIQ, beliau turut membantu dalam penubuhan dua pusat tahanan Imigresen di Semuja, Serian dan Bekenu, Miri.
Mendiang bersara daripada perkhidmatan awam pada 20 Julai 2015.
Upacara pengebumian akan diadakan Rabu ini di Gereja Evangelical BEM Kuching, diikuti pengebumian di Tanah Perkuburan SDNU, Siol Kandis.
Mendiang meninggalkan isteri Datin Catherine Pearce @ Sinah Balang Ngalibun dan empat anak.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Oleh Azreen Keria