HONG KONG: Harga minyak melonjak hampir enam peratus dalam dagangan Asia pagi ini selepas pengeluar utama yang diketuai Arab Saudi mengumumkan pemotongan mengejut lebih satu juta tong sehari.
Kontrak West Texas Intermediate melonjak 5.74 peratus kepada AS$80.01 setong, manakala Brent melonjak 5.67 peratus kepada AS$84.42.
Langkah Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Algeria serta Oman akan berkuat kuasa bermula bulan depan hingga akhir tahun, dan ia menandakan pengurangan terbesar dalam pengeluaran sejak kartel OPEC+ mengurangkan dua juta tong sehari pada Oktober.
Pengurangan itu berlaku di atas keputusan Russia untuk melanjutkan pemotongan sebanyak 500,000 tong sehari, meskipun Amerika Syarikat (AS) menggesa untuk meningkatkan pengeluaran.
Pengumuman itu akan menimbulkan kebimbangan baru tentang inflasi dan memberi lebih banyak tekanan kepada bank pusat untuk menaikkan lagi kadar faedah.
“Sentimen pasaran berkemungkinan menurun… kerana tahap inflasi yang lebih tinggi mengandaikan kadar faedah yang lebih tinggi (untuk tempoh lebih lama),” kata Matt Simpson di City Index.
“Dan saham mungkin tidak akan mendapat manfaat daripada perkembangan ini, jadi kami mungkin berada dalam permulaan yang sukar untuk minggu ini.” – AFP