KUCHING: Pelantikan seramai lapan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak berkuat kuasa 1 Januari lalu terdiri daripada individu terpilih berdasarkan kebolehan dan pengalaman masing-masing.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyerahkan surat lantikan kepada lapan ahli lembaga terpilih itu.
Penyerahan surat lantikan telah disempurnakan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini menerusi satu majlis ringkas.
Menurut Abang Johari, tempoh pelantikan selama tiga tahun ialah sehingga 31 Disember 2025.
Majlis berkenaan menyaksikan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak.
Tujuh Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak yang lain adalah Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan) Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Machan Dato Sri Gramong Juna, Setiausaha Persekutuan Sarawak Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman termasuk Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Dato Richard Wee Liang Huat.
Datuk Amar Micheal Manyin ketika ditemui media pada majlis penyerahan tersebut, mewakili ahli lembaga yang lain memberitahu, kerajaan kini memfokuskan kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Kita diminta untuk bekerja keras kerana seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak, kerajaan akan memberi tumpuan yang besar kepada pendidikan.
“Yayasan Sarawak akan menjadi agensi utama untuk mewakili negeri di samping bertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan universiti berprestasi seperti Curtin, Swinburne, ICATS dan yang lain-lain,” katanya.
Turut berpendapat sedemikian, Datu Dr Azhar juga menyatakan harapannya agar Yayasan Sarawak dapat terus berfungsi sebagai badan yang berkesan dan berdaya saing dalam membantu memajukan Sarawak ke arah masa depan yang lebih baik.
“Ya, fokus kerajaan sekarang melalui Yayasan Sarawak ialah pada pembangunan pendidikan, iaitu di pelbagai peringkat daripada peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Ujar beliau lagi, usaha ini dilakukan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 dengan Yayasan Sarawak akan menjadi badan utama untuk mencapai matlamat ini.
Untuk rekod, Yayasan Sarawak ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan.
Yayasan Sarawak menjalankan pelbagai program social dan pembangunan termasuk bidang kesihatan, perumahan dan kemasyarakatan selain menyediakan biasiswa kepada pelajar berprestasi tinggi dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.