KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,986 usahawan belia menerima geran permulaan perniagaan berjumlah RM100.30 juta menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) sejak 2014 hingga tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami berkata, sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 7,183 usahawan belia Bumiputera turut mendapat manfaat daripada program anjuran SME Corp itu.
“Program itu telah mewujudkan 12,686 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Nuing Jeluing berhubung program untuk melatih belia dalam bidang keusahawanan dan sejauh mana kejayaan program berkenaan.
Menurutnya, kementerian dan agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan kepada belia seperti Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege), merangkumi Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baharu (N-GENE) yang berjaya melatih 2,300 usahawan muda.
“Berdasarkan prestasi pelaksanaan program, antara lain, sebanyak 73.52 peratus peserta telah memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 selepas tamat program dan 71.17 peratus menggunakan platform digital perniagaan,” katanya.
Selain itu, Program Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101) telah melatih sejumlah 5,767 belia mendapatkan asas pendedahan, adaptasi pemikiran dan kemahiran keusahawanan di tempat kerja melalui latihan secara fizikal dan dalam talian, katanya.
Beliau berkata, Program Usahawan Perantis (SPACE) pula telah melatih seramai 300 graduan di peringkat institusi pengajian tinggi dan menerima latihan bagi pembangunan produk.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 28 peserta layak diberikan geran selepas tamat program mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya. – Bernama