KUALA LUMPUR: Indeks pemalsuan wang kertas Malaysia terus menurun secara stabil kepada 0.3 setiap juta keping (ppm) berbanding 1.9 ppm pada 2015 atau bersamaan tiga keping wang kertas palsu bagi setiap 10 juta keping wang kertas dalam edaran, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan semalam, bank pusat itu berkata kes wang kertas palsu yang dilaporkan juga amat jarang berlaku.
Malah, indeks pemalsuan wang kertas Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara yang ditanda aras seperti Indonesia sebanyak tiga ppm, Thailand (satu ppm), Filipina (lapan ppm), Zon Euro (12 ppm), Australia (10 ppm) manakala Afrika Selatan (enam ppm).
“Indeks pemalsuan wang kertas yang rendah di Malaysia membuktikan keteguhan ciri-ciri keselamatan antipemalsuan pada wang kertas Malaysia,” kata BNM.
Menurut bank pusat itu, kebanyakan wang kertas palsu yang dilaporkan adalah hasil tiruan yang mudah, dicetak menggunakan pencetak warna pada kertas biasa dan tiada sebarang ciri keselamatan.
Ciri permukaan licin dan tiada rasa kasar juga menunjukkan bahawa kebanyakan wang kertas palsu berkualiti rendah dan mudah dibezakan berbanding wang kertas tulen.
BNM berkata, insiden pemalsuan wang kertas di negara ini juga kebanyakannya berskala kecil dan membabitkan penjenayah kecil yang bekerja sendiri menggunakan peranti komersial seperti mesin pendua, pengimbas dan pencetak laser.
“Oleh itu, wang kertas palsu yang dihasilkan lazimnya tidak mempunyai semua ciri keselamatan,” katanya.
Cabaran urus ancaman pemalsuan mata wang di Malaysia
Walaupun kadar pemalsuan mata wang di Malaysia adalah rendah, BNM berkata usaha menguruskan ancaman pemalsuan mata wang kekal mencabar.
“Langkah mempertingkatkan wang kertas dengan ciri-ciri keselamatan lebih banyak tidak akan menghapuskan wang kertas palsu dalam edaran sepenuhnya kerana penjenayah akan terus mencipta dan menggunakan teknik baharu untuk menipu orang ramai dan mengelak daripada pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, bank memainkan peranan aktif untuk melindungi integriti matawang dan memastikan keyakinan orang ramai terhadap wang kertas dan syiling negara kekal tinggi.
Enam strategi antipemalsuan digunakan untuk memastikan matawang kertas dan syiling terus dilindungi daripada dipalsukan, termasuk melengkapi wang kertas dengan ciri-ciri keselamatan yang teguh ke dalam edaran.
“Bank juga membangunkan piawaian untuk pihak berkepentingan industri serta garis panduan untuk orang ramai bagi memastikan sebarang wang kertas palsu dapat dikesan dan dikeluarkan daripada edaran dan langkah ini penting bagi memastikan hanyawang kertas berkualiti tinggi diedarkan semula,” kata BNM.
Bagi memerangi aktiviti pemalsuan, bank bekerjasama rapat dengan pengendali mesin tunai dan mesin juruwang automatik (ATM) untuk membuat penyesuaian pada mesin bagi memenuhi tahap minimum piawaian pengesahan bank.
Selain itu, kata BNM, pihak bank juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan luar untuk menjalankan program kesedaran kewangan bagi mendidik orang ramai mengenai ciri keselamatan wang kertas bagi membolehkan pengesanan wang kertas palsu apabila mereka melihat atau menyentuh wang kertas disyaki palsu.
“Bagi memastikan keberkesanan strategi ini, bank bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat dan bertindak terhadap penjenayah pemalsuan mata wang,” katanya. – Bernama