MASAKAN orang Asia memang menggunakan banyak bawang putih kerana bahan masakan ini memang mempunyai khasiat yang cukup banyak. Bawang putih bukan sahaja menyedapkan masakan tetapi fungsinya meluas, dari membunuh parasit, memulihkan sistem pernafasan hinggalah memulihkan sistem penghadaman.
Untuk tujuan perubatan, orang biasanya hanya menggunakan bawang putih yang digabungkan dengan herba lain. Namun untuk tujuan menjamu selera, rasa bawang putih sahaja tidak memadai kerana orang Asia tidak boleh hilang rasa pedas di dalam makanan.
Memandangkan orang sekarang sukakan bahan masakan yang ringkas tetapi sedap, maka wujudlah minyak cili bawang putih sebagai penyedap masakan dan makanan. Dengan hanya sesudu dua, rasa masakan atau makanan berubah serta merta kerana aroma enak bawang putih dan rasa pedas cilinya.
Salah seorang pengusaha minyak cili bawang putih yang laris di pasaran, Rogayah Rais, minyak cili bawang putih ini sedap di makan dengan Dim Sum, Mi Sup, sebagai bahan campuran mi goreng atau bihun goreng dan sebagainya.
“Malah minyak cili bawang putih ini juga enak jika dimakan begitu sahaja dengan nasi panas ,bubur, roti canai, dalca dan sebagainya. Pendek kata, masukkan sahaja ke dalam masakan, rasanya pasti enak,” kata beliau yang juga mesra disapa dengan panggilan Kak Gai.
Bercerita lanjut tentang bahan-bahan untuk menghasilkan minyak bawang putih ini, Kak Gai berkata, bahan-bahannya cukup ringkas tetapi memerlukan ketekunan untuk menghasilkan minyak yang benar-benar matang rasanya.
“Saya hanya gunakan cili, bawang putih, udang kering dan sedikit serai. Semua bahan ini dikisar dan kemudian ditumis dengan minyak yang banyak. Bahan-bahan ini perlu digoreng sehingga garing dan warnanya bertukart menjadi agak gelap,” kata beliau.
Menyingkap kisah beliau terlibat di dalam pembuatan minyak cili bawang putih ini, Kak Gai berkata, ia bermula selepas hasil cili dari kebun fertigasi beliau tidak terjual ekoran lambakan cili import dan penutupan banyak restoran akibat pandemik Covid-19 dahulu.
Tidak mahu cili-cili ini terbuang begitu sahaja, beliau memikirkan cara lain untuk memasarkannya dan dari situ wujudlah ilham untuk menghasilkan minyak cili bawang putih ini.
Pada awalnya, produk-produk ini beliau jual kepada rakan-rakan secara atas talian dengan menggunakan saluran kumpulan Whatsapp sahaja. Namun sambutan di luar jangkaan sehingga beliau mula mempromosikannya di laman sosial Facebook dan Instagram pula.
Sehingga kini, juala cili minyak cili bawang putih beliau terus laris, malah beliau tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Oleh HAINI DARANI