KUCHING: Ekspo dan Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) edisi kelima akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, berkata IEW ini akan menjadi acara tenaga terbesar di Borneo dengan kehadiran seramai 5,000 pelawat perdagangan dan 500 hingga 700 delegasi dari seluruh dunia.
Katanya, acara itu akan menyerlahkan inisiatif Sarawak dalam menerajui industri sumber tenaga boleh diperbaharui dan meletakkan Sarawak sebagai hab tenaga bersih utama.
“Ekspo IEW 23 telah menarik pemain industri utama termasuk Shell Sarawak, Technip, JX Nippon Oil & Gas Exploration, Velesto Energy, Petronas, SEDC Energy, Sarawak Energy Berhad, Petroleum Sarawak (Petros), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah
(RECODA), Petra Energy, Huawei Technologies, Mubadala Energy dan banyak lagi.
“Selain itu, pavilion dari Singapura, China dan Malaysia juga telah mengesahkan kehadiran mereka.
“Oleh itu, kementerian kami dijangka akan mengumumkan beberapa pelaburan asing pada acara itu,” katanya.
Perasmian IEW akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari pertama persidangan.
Hazland berkata, diadakan serentak dengan Ekspo itu ialah ceramah teknologi yang memaparkan pembentangan mendalam mengenai teknologi dan inovasi baru muncul, yang dibuka kepada semua pelawat dan juga pelajar.
“Dengan tema ‘Peralihan Ke Arah Masa Depan Karbon Sifar Bersih’, pelbagai teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biojisim akan dipamerkan.
“Sidang Kemuncak IEW 2023 selama dua hari ialah perhimpunan peringkat tinggi yang akan menampilkan lebih 20 penceramah dan ahli panel yang akan merangkumi tiga sesi panel yang menampilkan Meja Bulat Sarawak dan Indonesia untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT