Oleh: Stefanie Kaso
“Bagaimana Man? Kau setuju tak dengan rancangan aku?” soal Ojai.
Leman tidak menjawab. Benaknya berkidung, ‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’
“Apa yang kau fikirkan lagi Man? Tidak ada cara lain. Ini sahaja caranya. Sama ada kau terima atau tidak, orang-orang seperti kita,” tunjuk Ojai pada dirinya dan Leman, “hanya ada pilihan yang terhad. Bernasib baik kalau ada pilihan lebih daripada satu. Kalau ada pun pilihan lebih, aku akan pilih seperti yang aku cadangkan pada kau.”
‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’
Leman menyeluruhi wajah Ojai. “Memilih untuk merompak maksud kau Jai? Merompak?” Suara Leman sedikit keras.
“Jangan kata merompak Man. Kita cuma mengambil sedikit. Bukan mahu ambil semuanya. Lagipun, bukannya kita mahu melakukannya di bank. Itukan kedai runcit Juki …”
‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’
Leman menarik nafas dalam, pelipisnya lencun dengan peluh. “Tapi kau tahu soal Juki bukan? Orangnya sangat baik dengan aku. Dia selalu meminjamkan wangnya dengan aku. Kalau aku tidak mampu bayar barang-barang yang aku beli dari kedainya, dia rela aku bayar sikit-sikit. Aku tak sanggup Jai, tak sanggup.”
“Kalau begitu kau pinjam saja dengan Manap,” cadang Ojai dengan nada sinis. Ojai tahu, abang kandung Leman tidak akan berbuat begitu walau kantungnya penuh dengan wang. Isteri Manap tidak pernah membenarkan.
Leman menggeleng-geleng, “Aku dah cuba. Dia enggan.”
“Jadi? Apa pilihan yang tinggal untuk kau? Aku cadangkan kau pinjam dengan Juki kau segan pula.”
“Mana tak segan Man. Hutang aku yang lama juga belum habis aku bayar.”
“Nah! Kalau begitu kita putuskan saja. Esok malam kita buat. Aku tahu selok belok kedai runcit Juki kerana aku pernah bekerja di sana. Aku janji, kita ambil yang kita perlu sahaja,” kata Ojai.
Leman bungkam – mengiyakan tidak, menolak juga tidak. Namun, fikirannya lantang bersuara, mengiang-ngiang. ‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’
***
Satu minggu lepas
“Alangkah bagus,” kata Leman, “jika bunga-bunga orkid perahu ini menumbuhkan wang sebagai ganti daunnya.”
“Apa maksud ayah?” Anaknya yang berusia lapan tahun bertanya. “Mana ada daun jadi wang ayah.” Dia mengekeh. Ada lesung pipit terpamer pada pipi kiri si anak bongsu itu.
Leman menoleh. “Ayah tahu. Ayah cuma bergurau nak.” Leman tersenyum, berusaha menyembunyi galau yang meratah fikir. Leman bertanya, “Mana abang-abang Mira? Panggil mereka ke mari. Ayah mahu bertanya sesuatu dengan kalian.”
Amira bingkas bangun, berjalan dan melompat-lompat kecil sambil menyanyikan lagu Kalau Rasa Gembira. Bertepuk-tepuk tangan anak periang itu, seolah-olah suaranya yang paling merdu di kawasan setinggan itu.
Leman yang duduk di luar, boleh mendengar suara Amira memberi arahan kepada abang-abang supaya berjumpa dengan si ayah. Sebentar, terdengar pula suara kedua anak lelakinya, Amir dan Akip mengusik Amira.
Mereka bertiga mampir lalu duduk. Ada sisa usikan yang terjadi antara mereka bertiga. Amir dan Akip terkekeh-kekeh melihat ulah si Amira. Amira hanya mampu mencebik. Dua lawan satu, sudah tentu dirinya kalah.
Leman menggeleng-geleng, namun tidak pula dimarahi anak bertiga. Leman yang tadinya bangun duduk semula. Di hadapannya sudah tersedia pen dan kertas. Dia berdehem. Usikan berhenti. Ketiga-tiga anak itu duduk tegak menunggu bicara daripada si ayah.
“Ayah mahu tanya apa kepada kita?” bisik Amir pada telinga Akip. Akip menjungkit bahu. Sementara Leman, sedang menulis sesuatu pada kertas.
Leman menulis, ‘Perbelanjaan’. Kemudian menggaris perkataan itu sebanyak dua kali bersama satu titik besar. Akip sempat berkomentar, lagak Leman seperti gurunya menulis markah pada kertas ujian.
Di bawah perkataan itu tertulis dua perkataan – ‘yuran’ dan ‘barang-barang sekolah.’
“Mir,” kata Leman, “berapa yuran sekolah kamu nak?”
Amir menggaru-garu kepala. Apa sahaja berkenaan nombor dia tidak suka. Nombor menyusahkan, katanya.
“Katakan, berapa nak? Cikgu kamu ada beritahu bukan?”
“Oh ya ayah! 80 ringgit. Ya, ya, 80 ringgit. Aku ingat.”
Segera, Leman mencatat. Kemudian dia menyeluruhi wajah Akip dan bertanya lembut, “Kamu Kip? Berapa yurannya?”
“Cikgu cakap hari tu 120 ringgit ayah.”
Leman mengangguk-angguk. Seperti tadi, dengan pantas dia mencatat nombor itu di bawah perkataan ‘yuran.’
“Dan yuran Amira,” kata Leman seraya menoleh ke arah Amira,“kata cikgunya 60 ringgit.” Leman kembali memandang kertas dan mencongak. “Jadi yuran kalian bertiga 260 ringgit.”
Leman meletakkan pen atas meja. Dia menarik nafas perlahan dan berkata, “Akip akan masuk ke tingkatan satu, jadi semua barang sekolah kena baharu.”
Akip mengangkat-angkat kening dan menyungging senyum pada Amir dan Amira. Amir tidak berpuas hati lalu dia bertanya, “Bagaimana dengan Mir ayah? Kasut Amir perlu diganti. Sudah ketatlah ayah …”
“Begitu? Baik … baju sekolah kamu masih elok bukan? Kamu pakai baju Akip ya? Kamu berdua lebih kurang sama besarnya.”
Amir akur. Leman tahu Amir menginginkan kelengkapan sekolah baharu, namun sudah ada kefahaman antara mereka berempat – kemampuan untuk berbelanja lebih adalah sesuatu yang langka dalam keluarga mereka.
“Mira ayah?” Akhirnya Amira bertanya. “Mira juga kena pakai yang tahun lepas kan?” Dia tersenyum, matanya berkaca-kaca membiaskan harapan.
Tiada luka yang lebih dalam bagi seorang ayah yang tidak mampu menyediakan sesuatu untuk anaknya. Leman cuma membalas dengan senyum kelat.
Amir, Akip dan Amira diminta masuk ke dalam rumah. Dari luar, Leman menangkap bunyi suara Amira, menyambung nyanyiannya sebentar tadi. Cuma kali ini, tiada lagi tepukan yang bersemangat.
“Yuran 260 ringgit, kelengkapan sekolah paling tidak 200 ringgit juga,” omel Leman. “Sewa, bil elektrik, air, makan hari-hari, minyak motor … gajiku cuma 1200 ringgit,” dia berdecak, “sekurang-kurangnya, aku perlukan 500 ringgit untuk musim sekolah nanti. Di mana aku mendapatkan 500 ringgit lagi?”
***
‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’
“Apa yang kau tunggu di sana Man?” tanya Ojai, separuh berbisik. “Ayuh masuk.”
Leman terkebil-kebil saat Ojai mengumpil pintu belakang kedai runcit Juki. Dia berdiri kaku, bingung. Adakah dia perlu menolong Ojai? Tetapi sudah terlambat. Ojai si bekas banduan yang pernah tertangkap kerana kes pecah rumah sudah pun memulakan misi.
Leman masih berdiri di tempat yang sama. ‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor!’
Leman menampar-nampar pipi sendiri. “Ayuh bebal. Kau sudah membuat keputusan. Gerak,” kata Leman. Ojai tidak mahu menunggu lama, lalu ditariknya tangan Leman seperti anak kecil.
“Tumpukan perhatian Man. Jangan sampai tertangkap. Mengerti kau?” bisik Ojai. Leman terangguk-angguk.
Dari pintu belakang Leman dan Ojai berjaya masuk. Keduanya segera menuju ke ruang kaunter.
Seperti tadi, Leman membiarkan Ojai menggeledah kaunter. Puas menggeledah, Ojai cuba membuka mesin wang. Leman terfikir, apa sahaja alat yang dibawa oleh Ojai dalam begnya? Sekecil-kecil dawai sehingga sebesar-besar tukul dan pengumpil – semuanya ada. Leman jadi teringat, satu siri kartun kegemaran Amira – Dora The Explorer.
‘Amira, Amira, Amira, mata Amira …’
Leman terbayangkan mata Amira, yang penuh mengharap pada dirinya tanpa meminta-minta, seperti yang dia lakukan setiap kali bertandang ke kedai runcit Juki.
‘Di kaunter ini … Amira pernah menginginkan cokelat berbentuk beruang yang dibalut kertas berwarna emas. Tetapi wangku tidak cukup. Lalu aku berjanji akan membelikannya pada hujung bulan.’
Sendi-sendi Leman terasa lemah, badannya bergetar. Dia ingat, dia pernah berjanji pada Amira di kaunter itu, tetapi yang mengotakan janjinya pada hari yang sama ialah Juki. Secara sembunyi, Juki telah meletakkan cokelat beruang itu di dalam plastik. Sampai di rumah, Amira melompat-lompat girang melihat cokelat itu.
Ojai masih belum berjaya membuka mesin wang. Leman pula berkalih ke belakang dan memandang satu sudut rak menjual susu anak-anak. Terasa seperti semalam, dia terperangkap antara membeli susu dan beras.
‘Waktu itu, wangku hanya cukup membeli salah satu. Tidak dibeli susu – Amira yang baru berusia lapan bulan waktu itu akan lapar. Tidak dibeli beras – aku, Amir dan Akip pula akan lapar.’
Namun akhirnya, Leman berjaya membawa pulang susu dan beras. Beras adalah pemberian Juki. Kebetulan, hari itu dia bersedekah katanya. Entah kenapa, Leman yakin Juki berbohong. Dia sengaja memberinya secara percuma.
Bagaikan terpukul Leman tiba-tiba bersuara, “Dan lihat. Apa yang sedang aku lakukan sekarang? Oh Tuhan, ampunkan aku. Ampunkan aku …”
Ojai memelotot Leman. “Kenapa kau bising sangat Man? Nanti orang dengar. Kita belum dapat wang lagi ni!”
Leman menarik-narik tangan Ojai. “Sudah Jai! Kita pergi dari sini. Batalkan! Aku tidak mahu. Aku tidak mahu. Mari pulang!”
Ojai menarik tangannya. “Ah! Aku tidak mahu! Alang-alang sudah di sini. Kita bereskan sahaja!”
“Kalau kau tidak mahu dengar cakap aku … aku akan jerit. Biar semua orang tahu! Kena tangkap pun tak mengapa,” ugut Leman.
Sekali lagi Ojai menjeling tajam. Dia mendengus kasar, lalu disepak rak berhampiran. Kepalanya meliar ke kawasan sekitar, kemudian dia beredar meninggalkan Leman. Leman tidak beredar begitu sahaja. Dia susun dan kembalikan semua barang-barang yang berselerak ke tempatnya kembali. Selesai, dia keluar.
‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor … anak-anakku. Maafkan ayah.’
***
Hampir seminggu, Leman cuba mengelak daripada bertembung dengan Juki. Jika mahu membeli sesuatu, dia kirim melalui Amir dan Akip. Soal yuran dan barang-barang sekolah, dia akan cuba menundanya untuk sedikit waktu, kecuali barang dan kelengkapan Akip yang masuk ke tingkatan satu. Guru-guru anaknya pasti mengerti, fikirnya.
“Ayah, pak cik Juki kirim sesuatu. Dia letak dalam plastik ni,” kata Akip sambil menghulurkan plastik yang berisi barang keperluan rumah.
Leman menyambutnya. Dalam plastik ada satu sampul putih. Sampul putih itu berisi wang sebanyak RM500. Menggeletar tangan Leman ketika mengeluarkan wang itu. Bersama wang, terselit sekeping nota.
‘Aku tahu apa yang berlaku malam itu Man. Aku melihat segalanya. CCTV ku. Mulanya aku ingin marah. Aku kecewa dengan kau. Tapi, tahukah kau? Aku juga melihat seorang ayah yang tidak berdaya malam itu. Kerana aku juga seorang ayah, aku mengerti Man. Aku maafkan kau. Jangan kau ulangi perkara itu ya? Biar tiada pilihan Man, tetapi jangan hilang kepercayaan, jangan goyah. Tuhan tidak pernah meninggalkan ayah-ayah yang mencuba sehabis baik untuk anaknya.
p/s : Wang itu aku pinjamkan dengan kau. Kau bayarlah sikit-sikit. Seperti biasa.’
Selesai membaca nota itu, Leman melipat dan menyimpannya rapi dalam saku baju di dada, lalu ditepuknya berkali-kali. Dia menoleh pada pasu bunga orkid milik arwah isterinya.
“Mujur tidak layu. Mujur.”
Glosari:
Cymbidium – bunga orkid perahu