BINTULU yang terletak di kawasan persisir pantai Sarawak merupakan bandar yang sering dikaitkan dengan pengeluaran belacan yang terkenal. Malah pengunjung ke Bintulu akan mencari belacan Bintulu sebagai buah tangan untuk dibawa balik.
Namun demikian kisah Bintulu bukan sahaja mengenai belacan tetapi Bintulu telah mencipta nama tersendiri dalam peta pengeluaran gas dan minyak dunia. Dua bahan galian ini memacu pembangunan Bintulu dengan pelbagai kemudahan awam, tumbuhnya pelbagai pasar raya, berkembangan sistem perbankan dan insuran serta kemajuan pelabuhannya.
Kemajuan yang dicipta di Bintulu ini bukannya muncul tiba-tiba tetapi ia adalah evolusi masa lalu yang berpaksikan keinginan pemimpin Sarawak serta penduduk Bintulu untuk maju. Sejarah awal Bintulu ini memaparkan bagaimana beberapa peristiwa sejarah di bandar ini, telah mencetuskan kemajuan yang berlaku di bandar itu.
ASAL KEJADIAN
Agak sukar dipastikan bilakah bandar Bintulu bermula. Ini kerana belum ada kajian mendalam mengenai hal ini. Apa yang ada adalah penempatan awal manusia di Tatau. Pembentukan penempatan ini diselubungi dengan pelbagai kisah mitos dan lagenda masyarakat tempatan.
Bintulu ketika itu masih lagi mempunyai kehijauan yang luas dan ia memberi pelbagai keperluan kepada penduduk tempatan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka. Laut juga menjadi satu lagi ruang yang memberi kehidupan kepada penduduk Bintulu untuk mencari rezeki.
Pada era kegemilangan Brunei, Bintulu tidak terkecuali menjadi wilayah Brunei. Siapakah wakil pemerintahan Brunei ketika itu tidak dapat dikenal pasti. Terdapat rujukan mengatakan seorang pembesar berpengaruh bernama Orang Kaya Mohammad bin Sungan tinggal di Bintulu. Beliau dikatakan amat berjasa kepada pemerintah Brunei sehingga diberi gelaran Orang Kaya Pemancha Mohammad.
PEMERINTAHAN BROOKE
Kedatangan Brooke ke Sarawak pula memberi gambaran lebih jelas sejarah Bintulu. Ini kerana kerajaan Brooke berpusat di Kuching mula menunjuk minat untuk mengambil satu persatu wilayah Brunei.
Pengambilan Bintulu oleh kerajaan Brooke adalah secara tidak langsung. Ini kerana perbalahan yang berlaku di Mukah memberi peluang kepada kerajaan Brooke campur tangan di Lembah Rajang.
Akhirnya pada 1861 kerajaan Brooke berjaya mendesak Sultan Brunei menyerahkan satu kawasan luas sehingga ke Tanjung Kidurong. Penyerahan wilayah ini membawa kepada penyerahan Bintulu kepada kerajaan Brooke dan menjadi salah satu wilayah Sarawak. Ketika itu Bintulu merupakan sebuah kawasan perkampungan nelayan.
Perkara pertama yang dilakukan oleh kerajaan Brooke di Bintulu selepas penyerahan itu ialah membina kubu pertahanan. Kubu yang dibina ini hasil usaha penduduk tempatan yang membekalkan pelbagai bahan binaan selain memberi bantuan buruh untuk membinanya. Kubu ini dinamakan Kubu Keppel sempena nama rakan James Brooke yang membantu beliau menghapuskan penentang Brooke.
Kubu ini dilengkapi dengan mariam bersaiz besar berukuran 12 paun. Secara umumnya kubu ini berfungsi sebagai pusat keselamatan dan pertahanan kerajaan Brooke di Bintulu. Namun demikian kubu ini juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran dengan wujudnya pejabat tanaman, perhutanan, percukaian dan pelesenan.
Pengambilan Bintulu oleh kerajaan Brooke membawa kepada kestabilan politik dan keamanan di bandar tersebut. Oleh itu secara beransur-ansur pelbagai kaum berhijrah di Bintulu yang membawa kemajuan bandar itu dengan aktiviti perdagangan dan peruncitan.
Bagi membantu kemajuan ini maka beberapa perkara asas dibina seperti rumah api di Tanjung Kidurong. Salah satu peristiwa bersejarah berlaku di Bintulu adalah persidangan pertama Council Negeri. Persidangan pertama ini diadakan pada 1867 bagi mempertemukan pelbagai ketua kaum termasuk pegawai Barat di Sarawak untuk membincangkan pelbagai isu yang timbul di kawasan mereka.
KEMUDAHAN ASAS
Kehadiran Brooke di Bintulu ini juga membawa beberapa pemodenan di Bintulu. Bagaimanapun, pemodenan dibawa oleh kerajaan Brooke ini agak lambat. Dalam hal ini keutamaan dilakukan oleh kerajaan Brooke ini adalah membasmi penyakit berjangkit iaitu cacar air.
Pengenalan vaksin kepada penduduk tempatan pada awalnya tidak begitu diterima oleh penduduk tempatan kerana ketakutan kepada jarum dan berpisah dengan keluarga, manakala perkembangan pendidikan pula tidak begitu mengalakkan.
Pada 1918 sebuah sekolah didirikan untuk kanak-kanak di Bintulu. Sekolah ini pada awalnya tidak mendapat sambutan mengalakkan kerana kanak-kanak yang mendaftar di sekolah ini mengambil sikap sambil lewa untuk datang ke sekolah.
Ketekunan guru sekolah ini akhirnya berhasil untuk melatih dua pelajar di sekolah ini untuk mengambil kursus perguruan.
Perkembangan air bersih pula hanya muncul pada 1931. Sebuah empangan air di Nyabau menjadi sumber baharu bagi penduduk Bintulu.
Rancangan membina padang terbang pula mula kedengaran pada 1938. Pembinaan padang terbang ini bagi kemudahan tentera udara British di Asia Tenggara. Namun demikian padang terbang itu tidak dapat disiapkan kerana berlaku serangan Jepun ke atas Sarawak.
PENDUDUKAN JEPUN
Tentera Jepun meneruskan pembinaan padang terbang tersebut. Masa pendudukan Jepun ini kehidupan penduduk seperti penduduk-penduduk lain di Sarawak. Masalah kekurangan bekalan makanan dan rasa ketakutan menjadi fenomena yang menyelubungi penduduk Bintulu.
Terdapat satu peristiwa trajis berlaku ke atas tentera Jepun di Bintulu apabila mereka kehilangan Marquis Toshinari Maeda yang terbunuh dalam satu kemalangan kapal terbang. Kapal terbang yang membawa Maeda ke Labuan pada 1942 itu terhempas di Bintulu.
Apabila Jepun kalah, Bintulu seperti bandar-bandar lain di Sarawak telah menjadi jajahan mahkota British. Bintulu juga tidak sunyi daripada gerakan anti-penyerahan dan hal ini boleh dilihat semasa perbicaraan Rosly Dhobby.
Pada waktu itu seorang penduduk Bintulu yang bernama Osman bin Muhammad dituduh oleh kerajaan British terlibat dengan aktiviti Pergerakan Pemuda Melayu.
Pada zaman British usaha telah dilakukan untuk mencari gali minyak di Bintulu. Pada 1963, usaha ini menemui di perairan Bintulu. Namun demikian ketika itu prospek minyak di Bintulu dikatakan tidak ekonomi untuk diusahakan.
SELEPAS MERDEKA
Bintulu menunjukkan kemajuan lebih pesat selepas Sarawak merdeka dalam persekutuan Malaysia pada 1963. Salah satu pencapian besar di Bintulu adalah penubuhan cawangan Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Penubuhan cawangan UPM ini pada 1973 memacukan pembangunan di Bintulu.
Selain penemuan gas dan minyak, penubuhan kilang baja urea di Bintulu pada 1980 menjadikan Bintulu sebagai kawasan industri. Bintulu juga mempunyai pelabuhan antarabangsa tersendiri.
Tambahan daripada itu, Bintulu mempunyai sebuah kawasan ladang kelapa sawit yang luas.
Sepanjang sejarah Bintulu menunjukkan bandar itu mempunyai potensi untuk maju. Walaupun agak ketinggalan zaman penjajah tetapi kemerdekaan memacukan Bintulu sebagai bandar yang terkenal di peringkat antarabangsa.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.