Kek ‘Tikai Bemban’ yang dibuat oleh Charlene Johny, 39, mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat disebabkan keunikan kek tersebut lain daripada kebiasaannya.
Charlene yang juga pemilik laman Facebook RackaBaker Cakes & Decors berkata, idea menghasilkan kek ‘tikai bemban’ bermula apabila seorang pelanggan yang hobinya membuat ‘tikai bemban’ atau maksudnya tikar bemban untuk dijual.
“Idea membuat kek tersebut muncul apabila seorang pelanggan yang membuat ‘tikai bemban’ kebetulan menyambut hari jadinya, tetapi tidak tahu kek apa yang sesuai untuk hari jadinya.
“Jadi, dia bertanya kepada saya, boleh ke tidak saya membuat kek berasaskan corak ‘tikai bemban’ seperti mana corak ‘tikai bemban yang dihasilkannya.
“Bukan mudah untuk menghasilkan kek tersebut kerana untuk membuat kek tersebut sekurang-kurangnya ia memerlukan masa empat hingga enam jam.
“Belum lagi proses meniru corak ‘tikai bemban’ tersebut. Sebab itulah saya memerlukan masa yang lama untuk membuat kek tersebut, kerana ia memerlukan ketelitian,
“Oleh itu, sebelum membuat tempahan terutamanya kek berasaskan corak ‘tikai bemban’ saya akan melihat bagaimana corak yang diinginkan oleh pelanggan.
“Kalau saya boleh, saya akan membuat sedikit penyelidikan dahulu, kalau saya rasa boleh buat saya akan buat. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada corak yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak baru-baru ini.
Charlene yang berasal dari Marudi, Baram turut berkata bahawa dia telah memulakan perniagaan kek sejak 2018 lagi.
“Saya telah memulakan perniagaan ini sejak awal 2018 yang mana pada awalnya saya memasuki kelas membuat kek. Untuk kos memulakan perniagaan ini saya hanya memerlukan kira-kira RM1,000 lebih sahaja.
“Kos ini juga termasuk peralatan untuk membuat kek dan yuran masuk kelas belajar membuat kek,” katanya.
Walaupun permintaan kek ‘tikai bemban’ kurang pada masa ini, namun pembuatan kek-kek lain seperti kek hari jadi ataupun kek perkahwinan masih beroperasi seperti biasa.
Oleh NICKELYSON LAKUN