HARAPAN rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ialah untuk melihat suhu politik negara kembali tenang, stabil dan rakyat hidup dalam suasana harmoni tanpa lagi karenah ‘politiking’ keterlaluan seperti selepas PRU-14 pada 2018.
Rupanya keadaan tidak jauh berbeza, cumanya kedudukan Kerajaan Perpaduan kini lebih kukuh dengan sokongan dua pertiga di Parlimen, apabila pelbagai parti bergabung atas arahan/nasihat Yang di-Pertuan Agong.
Saban hari suhu politik negara sentiasa panas. Sidang Parlimen lagi panas… keadaan yang seketika dulu hanya dapat dipertontonkan di Taiwan – kecuali tidak berlaku baling kerusi di Malaysia.
Setakat ini, tiada lagi pertukaran Perdana Menteri kerana Kerajaan Perpaduan yakin ia akan terus memerintah hingga habis tempoh penggal lima tahun. Itu pun jika tiada parti dalam gabungan pemerintahan menarik balik sokongan di pertengahan jalan seperti apa yang berlaku ketika ‘Langkah Sheraton’.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pangkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengejutkan orang ramai pada sesi soal-jawab di Dewan Rakyat apabila bangun menyatakan: ‘Kerajaan jatuh bulan lapan, soalan saya nombor lapan’. Ia dijawab oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sama ada Pangkalan Chepa merujuk kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Kelantan tetapi dibalas oleh Ahmad Marzuk yang beliau merujuk kepada Kerajaan Perpaduan.
Tidak pasti apa yang dimaksudkan apabila tiba Ogos nanti. Yang pasti akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu, kemungkinan selepas Jun nanti.
‘Langkah Sheraton’ pula tercetus setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan secara mengejut pada 24 Februari 2020, hingga Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020, yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.
Muhyiddin cuma menyandang jawatan itu selama 17 bulan apabila terpaksa meletak jawatan pula pada 16 Ogos 2021 setelah kehilangan kepercayaan majoriti berikutan tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama 14 Ahli Parlimen UMNO, menarik balik sokongan sekali gus menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Maka dilantik pula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 mulai Ogos 2021 hinggalah Parlimen dibubarkan pada Oktober 2022, dan PRU-15 diadakan pada 19 November 2022, menjadikannya Perdana Menteri paling singkat memerintah, iaitu cuma 15 bulan.
Sejarah tersendiri
Namun, Ismail Sabri mencatat beberapa rekod tersendiri dalam sejarah politik negara termasuk sebagai Perdana Menteri pertama yang lahir (18 Januari 1960) selepas Merdeka.
Beliau juga menjadi bekas Ketua Pembangkang pertama di Parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri, yang pertama dalam sejarah bukan menyandang jawatan Presiden parti (cuma Naib Presiden UMNO) ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Malah, beliau juga yang pertama sebagai Perdana Menteri tanpa pembantu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Yang ada cuma empat Menteri Kanan. Malah Ismail Sabri juga mencatat rekod apabila menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri cuma 40 hari.
Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri juga cuma dibantu empat Menteri Kanan tetapi setelah lebih setahun memimpin, beliau melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Itulah keadaan seimbas lalu apabila negara mencatat rekod mempunyai tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun, dimulakan oleh Dr. Mahathir sebaik Pakatan Harapan (PH) mengakhiri pemerintahan 60 tahun Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Kini, saban hari pelbagai kenyataan politik dipaparkan di dada media – saling tuduh menuduh. Lantaran ada dua pihak saling bermusuhan, antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). PN/Bersatu dipimpin Muhyiddin.
Baru-baru ini, Muhyiddin didakwa di mahkamah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. Beliau juga dituduh atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta.
Muhyiddin mendakwa tuduhan itu bermotifkan politik tetapi dinafikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika kita imbas sejarah lalu, serangan politik dan tuduhan di mahkamah seperti itu, memang kerap berlaku. Jika pemimpin pembangkang diheret ke mahkamah termasuk Anwar sendiri sebelum ini, maka yang menjadi sasaran tuduhan ‘dakwaan berpilih’ adalah pihak kerajaan ketika itu khususnya Perdana Menteri.
Ini bagaikan sesuatu yang sudah ‘tersurat’ dalam sejarah politik negara.
Hussein Onn
Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pernah dituduh ‘menyerang musuh politiknya’, iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dengan mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Pada 1 Mac 1977, Harun dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun, iaitu selepas menjalani setengah daripada hukumannya yang sepatutnya tamat pada 1984. Beliau dibebaskan pada 1981 selepas Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri keempat.
Apabila Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, mangsanya pula ialah Anwar yang semua dah tahu tuduhannya dan terpaksa menjalani hukuman penjara.
Begitu juga terjadi kepada Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International pada 28 Julai 2020. Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib. Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang.
Di Malaysia sekarang ini, kita sebenarnya ada dua mahkamah yang berbeza. Satu mahkamah berdasarkan fakta dalam perbicaraan dan satu lagi ‘mahkamah netizen’ dikelolakan oleh ‘Jabatan Nitizen’ yang membicarakan kes secara bebas di medium media sosial. Yang ini lebih bersandarkan persepsi.
Persepsi adalah sama juga seperti yang berlaku di pasaran saham. Jika ramai pembeli merasakan sesuatu saham itu, bagus dan disokong untuk dibeli, maka pembelian berlaku menyebabkan harga saham naik. Tetapi persepsi pasaran ini ada asasnya. Contoh, apabila keluar kenyataan syarikat A bakal mendapat projek besar, maka kaunter saham syarikat A ini akan terus aktif berikutan pembelian yang banyak, sekali gus melonjakkan nilai sahamnya.
Persepsi juga memainkan peranan penting semasa pilihan raya. Persepsi ini juga seperti ‘mahkamah awam’. Jika seseorang ahli politik dipenjara atas kesalahan apa-apa tuduhan, tetapi jika persepsi awam dia tidak bersalah, maka ‘bersih’ lah dia pada persepsi sesetengah orang.
Semua ini antara penyumbang kepada daya tarikan dunia politik. Politik kini bagaikan tiada noktah. Musuh akan tuduh lawan bermacam-macam. Jika sudah jadi kawan pula, tiada lagi melempar tuduhan tetapi sebaik jadi musuh, pelbagai tuduhan boleh dilontar dan tiba-tiba muncul pelbagai salah laku.
Adakah politik menyeronok atau membosankan? Bagi rakyat biasa yang tidak suka kepada amalan ‘politiking’ keterlaluan ini, mereka mengharapkan suhu politik negara kembali reda, tenang dan semua pihak berhenti ‘bercakaran’ secara terbuka. Kadang-kala perangai orang politik ini agak keterlaluan dan ini boleh ditonton secara langsung melalui televisyen apabila Dewan Rakyat bersidang.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak