SALAH satu aktiviti tradisi dilakukan oleh penduduk Sarawak sebelum kedatangan kuasa asing ke negeri ini adalah menuba. Aktiviti ini adalah menangkap ikan dengan meracunkan sumber air di kawasan yang mempunyai bekalan ikan yang banyak. Ikan-ikan ini akan timbul di permukaan sungai dan membolehkan orang ramai hadir dalam acara itu untuk mengutip ikan-ikan yang timbul ini.
Apabila kerajaan Brooke ditubuhkan di Sarawak, aktiviti ini tidak dilihat sebagai aktiviti dilarang walaupun ia membawa kesan kerosakan kepada hidupan sungai terutama kepupusan kehidupan di sungai. Malah, aktiviti ini diraikan oleh kerajaan Brooke sebagai salah satu aktiviti umpama pesta menangkap ikan.
ACARA MENUBA
Hal ini boleh dilihat dalam catatan aktiviti menuba di Kuching pada 10 Mac 1887. Aktiviti menuba ini diketuai pembesar Melayu iaitu Datu Bandar Bolhassan dan ia dijalankan di Sungai Sarawak.
Untuk menuba ini pula, pihak yang terlibat akan menggunakan akar pokok tuba. Pokok jenis renek ini dari segi saintifiknya dikenali sebagai Derris Eliptica. Pokok ini mengandungi rotenon iaitu insektisid yang kuat untuk menjadi racun pada ikan.
Pokok ini diambil dari hutan dan akan dilenyek menjadi pulpa. Pulpa ini kemudiannya direndam dalam air sungai untuk memabukkan ikan-ikan ini dan membolehkan ikan yang mabuk timbul dan dikutip oleh peserta yang menuba. Aktiviti menuba yang berlaku pada 1887 ini disaksikan bukan sahaja penduduk tempatan malah pegawai Brooke. Pihak yang hadir terdiri daripada Residen Bahagian Pertama bersama isterinya serta beberapa pegawai Brooke yang lain.
Pegawai Brooke ini melihat aktiviti ini sebagai satu pesta yang meriah, dan tangkapan hasil menuba ini juga tidak mengecewakan kerana setiap bakul peserta penuh dengan ikan-ikan daripada aktiviti ini.
Kemeriahan aktiviti boleh dilihat daripada peserta yang mengikuti aktiviti ini yang membawa pengangkutan air mereka yang hampir memenuhi kawasan sungai.
Hasil tangkapan mereka boleh mencapai 30 hingga 50 ekor ikan bersaiz besar setiap bakul. Aktiviti menuba ini bukan terhad kepada masyarakat di muara sungai sahaja malah juga melibatkan masyarakat di kawasan pedalaman. Pada 24 Mac 1935, orang Iban di Saratok juga melakukan aktiviti menuba. Aktiviti ini diketuai oleh Pengarah Nyalu dan Penghulu Undom.
ACARA TAHUNAN
Aktiviti menuba ini juga menjadi satu aktiviti yang sering diadakan untuk meraikan keluarga Raja Brooke. Contohnya lawatan Raja Muda ke Bau pada 20 hingga 21 April 1907 diraikan dengan aktiviti menuba. Aktiviti ini digerakkan oleh Pawle. Aktiviti ini dijalankan pada 21 April 1907 dan tuba diletakkan di Lobok Marong iaitu berdekatan dengan pengkalan Bidi. Walaupun sebelah malamnya hujan lebat tetapi tangkapan ikan tidak mengecewakan. Hari menuba itu juga dianggap sebagai hari yang menyeronokkan.
Raja Muda juga menyaksikan aktiviti menuba ini di Sungai Quop. Acara menuba ini dijalankan pada 21 Jun 1914. Pulpa tuba pula diletakkan di sungai berdekatan dengan Pending.
Di peringkat negeri, aktiviti menuba ini menjadi satu acara tahunan, dan diisytiharkan sebagai cuti umum. Salah satu aktiviti menuba tahunan yang dijalankan adalah pada 8 Mac 1913 di Sungai Serai. Aktiviti ini memberi peluang kepada orang Barat untuk ikut serta dalam acara menuba ini. Malahan mereka juga melakukan aktiviti berkelah semasa acara menuba diadakan. Masyarakat Cina juga memeriahkan aktiviti menuba bersama-sama peserta lain.
Aktiviti ini yang dilakukan pada sebelah pagi amat dinanti-nanti oleh penduduk tempatan.
Penduduk tempatan menggunakan sampan dan perahu berserta kapal dengan membawa akar tuba. Pada hari kejadian, pengangkutan air ini dicat dan dihiasi dengan bendera.
Aktiviti ini juga melibatkan kumpulan lelaki yang membawa lembing untuk bersiap sedia menangkap ikan yang timbul di pemukaan air. Wanita pula bersedia untuk menangkap ikan bersaiz kecil.
Aktiviti tahunan menuba ini juga dilakukan pada 15 April 1930. Aktiviti menuba ini melibatkan tongkang-tongkang yang menunggu tidak jauh dari Jambatan Gantung Satok. Tambahan daripada itu, aktiviti menuba ini melibatkan kira-kira 2,000 perahu tambang, perahu dan perahu kolek.
PENGHARAMAN AKTIVITI MENUBA
Aktiviti menuba ini kemudiannya dikaji semula oleh pihak kerajaan Brooke kerana terdapat kesan negatif. Hal ini ditegaskan oleh Raja Vyner Brooke bahawa aktiviti menuba akan membawa kepada kemusnahan kehidupan di sungai sama sekali. Sebelum pengharaman dilakukan, Raja Vyner Brooke pernah membincangkan perkara ini dengan pegawai Barat dan pegawai tempatan serta ketua-ketua masyarakat.
Dalam hal ini Raja Vyner Brooke menyatakan pengharaman ini dimulakan pada 1 Julai 1936. Tindakan Raja Vyner Brooke ini juga mendapat kritikan segelintir penduduk tempatan. Mereka menyatakan tindakan ini menganggu aktiviti tradisi mereka yang dianggap sebagai hak mereka. Kritikan ini dibalas oleh Raja Vyner Brooke dengan ingatan bahawa usaha ini akan meningkatkan hasil tangkapan ikan mereka dan mereka tidak akan kekurangan bekalan ikan pada masa hadapan.
Raja Vyner Brooke juga menyatakan bahawa beliau tidak akan kompromi dalam hal ini dan pelanggaran kepada larangan ini akan dihukum. Beliau juga tidak akan melayan sebarang kelonggaran dalam peraturan pengharaman kepada aktiviti menuba ini.
Sebenarnya aktiviti tuba ini pernah diharamkan di Ulu Ai sebelum pengharaman keseluruhan Sarawak dibuat. Arahan pengharaman ini mengembalikan habitat di sungai Ulu Ai dalam beberapa bulan dan ini melegakan penduduk sekitar kawasan tersebut. Keadaan ini berbeza sebelum pengharaman apabila penduduk tempatan hanya mampu meraih sedikit tangkapan hasil dari kawasan sungai mereka.
ALASAN PELIK
Walaupun terdapat larangan yang dikuatkuasa ke atas hal ini tetapi pada 1940, terdapat pemohonan untuk kerajaan Brooke membenarkan mereka melakukan aktiviti menuba. Pemohon ini menyatakan bahawa aktiviti menuba membawa kesan positif kepada kesihatan mereka. Mereka menyatakan bahawa larangan menuba menjejaskan kesihatan mereka kerana air sungai tercemar dengan “ulat” yang membawa masalah kepada kehidupan harian mereka. Hanya dengan melakukan aktiviti menuba sahaja akan membersih air sungai daripada “ulat” ini, dan memberi kesihatan kepada mereka.
Ada juga yang menyalahgunakan tuba untuk membunuh diri. Kejadian yang berlaku di Kalaka pada 1913 menyaksikan seorang gadis mati meminum tuba kerana dilarang berkahwin dengan lelaki pilihannya. Kejadian ini merupakan kejadian kedua berlaku kerana sebelum ini atas alasan yang sama seorang gadis juga maut meminum tuba.
Pada penghujung 1935 di Lebaan, seorang lagi gadis mengambil tuba untuk membunuh diri. Dia dikatakan mengambil tuba kerana berasa tertekan akibat tunangnya ditahan di kem kusta kerana mengidap penyakit kusta.
Aktiviti menuba merupakan aktiviti tradisi penduduk tempatan dan ia menjadi pesta semasa pemerintahan Brooke. Namun demikian kesan menuba yang mendatangkan kerosakan kepada kehidupan di sungai membawa kepada tindakan kerajaan Brooke mengharamkan aktiviti ini.
Sehingga ke hari ini aktiviti menuba terus diharamkan bagi melindungi kehidupan di sungai.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.