Oleh: Roslan Jomel
SELALUNYA, sebuah naskhah yang baik di mata pengkaji karya sastera, bukan sekadar memuatkan cerita semata-mata. Cerita yang menarik, hanya tinggal cerita yang menarik sahaja. Tetapi tidak menggugah perhatian sesiapa dengan mendalam. Standard penulisan harus lebih daripada itu. Hal ini kerana, naskhah bukanlah seumpama objek yang kosong, tanpa jiwa dan pemikiran. Selapis. Namun seharusnya berpotensi mengungkapkan idealisme, wawasan dan saranan yang merangsang kebijaksanaan dan menaikkan moral kepada pihak pembaca. Di situlah nanti kejayaan dan gagasan daripada naskhah itu dinilai dalam ranah kesusasteraan.
Demi meningkatkan anjakan makna dalam sesebuah karya sastera, pengarang perlu menyedarkan dirinya agar jangan sekadar bersandarkan pada ceritanya sahaja sebagai premis. Aspek demikian perlu dimaklumi oleh mana-mana pengarang. Naskhah itu harus diisikan dengan buah fikiran dan sikapnya berhubung dengan cerita yang hendak dipersembahkan. Memindahkan ilham dan cerita ke dalam karya kreatif merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh para penulis. Tiada sebarang keistimewaan. Tetapi apabila seseorang pengarang menyuntik pandangan, idea atau tegurannya melalui naskhah, ia petanda kepada darjah kematangan dalam pengkaryaan. Pengarang mempunyai sesuatu pemikiran untuk diketengahkan.
Watak utama merupakan individu Orang Kurang Upaya (OKU). Namun, bukan bermakna jalan ceritanya bersulam dengan air mata. Pengarang tidak mengajak pembaca untuk larut dalam penderitaan. Hidup di luar sungguh keras. Tiada tempatnya untuk mereka yang lemah semangat. Malahan, watak utama telah dipilih sebagai penerima anugerah Ikon Usahawan Yang Berjaya. Siapa yang menjangka, dengan modal sebanyak RM1000, belajar melalui Youtube, watak utama merintis detik-detik kejayaan sebagai pengusaha manik sehingga mampu membuka kedai dan mengupah para pekerja dalam kalangan OKU juga. Dunia kembali bersinar buat watak utama. Dia sedar, kehilangan suami dan ahli keluarganya yang lain, tidak bermakna langit selamanya gelap. Masih ada insan dan pihak yang boleh membantu.
Sedikit sebanyak, saya mengesani bahawa naskhah “Melakar Pelangi Kehidupan”, karya Fhennie Arryka yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lepas, menyisip gagasan dan wawasan positif. Pengarang sedar, menghidangkan cerita sahaja belum memadai buat pembaca di luar sana. Naskhah itu ingin menyatakan sesuatu di sebalik cerita yang diberikan tumpuan. Segera bangkit apabila tersandung. Kuatkan semangat dan hadapilah hidup dengan berani. Kesan kesedihan yang dipaparkan hanyalah babak awal dalam naskhah. Namun pengakhirannya membawa maksud progresif kepada pembaca. Lantas itulah yang memberi lapisan kedua kepada naskhah dan perjalanan hidup yang dialami oleh Brenda untuk difikirkan oleh para pembaca. Ia bukan cerita duka lara.
Cerita tentang detik kemalangan dan kesukaran Brenda untuk menerima kenyataan tentang keadaan dirinya yang kehilangan suami dan sebelah kaki, merupakan lapisan pertama. Sedangkan fasa seterusnya ialah kesungguhan pengarang untuk membangunkan kembali semangat dan moral Brenda agar melangkah keluar daripada belenggu kekecewaannya. Memang, tidak mudah untuk membangkitkan kembali kehancuran jiwa Brenda. Namun sumbu pelita perlu dinyalakan dalam jiwa Brenda. Secara beransur-ansur. Bahagian itulah yang penting. Apalah faedah andai terus hanyut dan tenggelam dengan kesedihan yang dialaminya. Ia tidak akan mengubah apa yang telah berlaku. Hidup perlu diteruskan. Hakikat bahawa Brenda bukan lagi manusia normal, sebagaimana sebelumnya, memang sungguh menyakitkan. Brenda benar-benar kecewa. Dia bagaikan terlempar jauh ke tengah lautan. Pandangan hidupnya menjadi kelam. Apa boleh buat, dia hanyalah manusia biasa.
Naskhah “Melakar Pelangi Kehidupan” bertema tentang OKU. Ia tema yang baik dan wajar dipuji. Naskhah dimulai dengan perubahan sikap Brenda sebaik sahaja menyedari suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan. Lebih mengecewakan daripada itu, sebelah kakinya gagal untuk berfungsi seperti sediakala. Brenda bagaikan hilang tempat untuk berpaut. Hampir sebulan, Brenda meragam seperti orang kurang siuman, sentiasa kemurungan, tidak berselera menjamah makanan apatah lagi untuk membersihkan diri. Saban waktu, Brenda hanya meratap dan menyalahkan takdir. Brenda benar-benar tidak keruan dan belum lagi menerima kenyataan secara dewasa. Maka, disebabkan itulah, kehadiran kakak kembarnya, Aliya, amat membantu dalam proses memulihkan pembinaan jiwa watak utama. Mereka saling bergandingan untuk menempuh hari mendatang.
Begitu bersemangat, pengarang menegaskan bahawa dunia belum lagi berakhir buat Brenda. Mujurlah Aliya tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat supaya Brenda tidak mudah mengalah. Aliya, sebagai seorang kakak, amat bersimpati dengan keadaan yang menimpa ke atas adik kembarnya. Menurut Aliya, OKU tidak seharusnya dipandang sebagai manusia yang tidak berkeupayaan untuk melakukan apa-apa sepanjang hidupnya. Stigma begitu perlu dilucutkan. Dari sudut kejiwaan, semangat dan moral, golongan OKU masih mampu melakukan apa yang selayaknya sebagaimana manusia biasa. Tetapi Brenda yang masih terluka dan trauma dengan insiden yang dialaminya, memerlukan sedikit masa dan kekuatan mental untuk kembali berdiri dengan semangat waja.
Yang dipupuk oleh Aliya ke dalam jiwa Brenda ialah memperkuatkan psikologi adik kembarnya itu. Jangan mudah mengalah dan tunduk kepada kekurangan diri. Terlalu banyak contoh kejayaan yang disebarkan melalui pelbagai media tentang kejayaan golongan OKU. Di peringkat tempatan mahupun di luar negara. Kecacatan bukan penghalang untuk mana-mana individu menempuh kejayaan. Bahkan pengarang sendiri menderetkan nama-nama seumpama Chew Wei Lun, Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Like Hou dan Brenda Anellia Larry. Mereka merupakan atlet yang telah mengharumkan nama negara. Setiap manusia memiliki keistimewaan masing-masing. Aliya sengaja menyedarkan Brenda agar apa-apa yang dilakukan oleh atlet OKU dan kejayaan mereka itu juga mampu diraih oleh adik kembarnya.
Kata-kata Aliya telah meniupkan kembali keyakinan dalaman Brenda. Kakak kembarnya tidak rela melihat Brenda memusnahkan diri sendiri dengan terus terbenam sambil meratap sesuatu yang sudah tidak wujud lagi di pandangan mata. Jauh di lubuk jiwanya, Aliya tidak mahu kehilangan Brenda. Sebagai kakak yang penyayang dan rapat dengan adik kembarnya, sudah menjadi amanah untuk Aliya memulihkan semula jiwa Brenda. Demikianlah Aliya mengingatkan bahawa Brenda tidak boleh menghidupkan kembali suaminya yang telah meninggal dunia. Itu hakikat. Tangisan yang tidak dikekang hanya meruntuhkan keperibadiannya. Kehilangan sebelah kaki juga tidak bermakna dia hanya mesti duduk terperap di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti berfaedah. Masih ada jalan lain untuk berikhtiar demi meneruskan hidup. Manusia tidak tinggal sendirian di muka bumi.
Brenda dan Aliya membentuk satu pasukan. Mereka berdua mencari apakah perniagaan yang sesuai untuk dikembangkan. Wang sebanyak RM1000 memang kedengarannya agak kecil untuk memulakan perniagaan. Tetapi apa yang lebih mustahak ialah kecekalan untuk terus konsisten. Setelah meraih sedikit keuntungan, mereka berdua mendapat suntikan dana bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memajukan lagi perniagaan AB Enterprise. Sebaik sahaja mendapat lesen daripada Majlis Perbandaran, mereka menyewa kedai di Arked MARA. Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan bantuan yang diperlukan oleh golongan OKU untuk turut bersama-sama membuka perniagaan sebagai manusia normal lainnya. Dengan segala bantuan yang diperoleh, Brenda dan Aliya membeli lebih banyak bahan keperluan untuk kegunaan membuat manik.
Perniagaan yang pada mulanya sekadar menjual gelang tangan berasaskan manik, kini sudah mampu menjual pelbagai produk berasaskan manik seperti rantai leher, anting-anting, sulaman dan satu-satunya kedai yang membekalkan bahan mentah untuk membuat manik di daerah Sibu. Siapa jangka perniagaan dengan modal yang tidak seberapa itu mula mengembangkan sayapnya. Brenda tentu sukar mempercayainya. Apabila terkenangkan insiden kemalangan dan kehilangan sebelah kakinya. Jelas, apa yang kurang hanyalah anggota tubuhnya. Tetapi tidak moral dan semangatnya sebagai manusia. Kejayaan itu berlaku buat mereka yang mahu berusaha. Demikianlah Aliya kerap mengingatkan kepada Brenda bahawa masih ada jalan lain yang terbentang di muka bumi ini. Satu jalan tertutup, ada ratusan jalan lain yang perlu dibuka. Gagal dan rugi, adat dalam perniagaan.
Brenda tidak mahu berfikir tentang dirinya sahaja. Dalam diam-diam, dia berhasrat, jika perniagaan mereka berjaya, mereka akan mengupah pekerja dalam golongan OKU. Dengan berbuat demikian, dia telah memberi sedikit sebanyak sumbangan kemasyarakatan kepada mereka yang memerlukan untuk meringankan beban keluarga masing-masing. Brenda tidak mahu melihat golongan seperti dirinya dianggap tidak bermanfaat kepada masyarakat. Demi memajukan diri dan menambah pengetahuan dalam dunia perniagaan, Brenda merajinkan diri dengan menghadiri seminar-seminar keusahawanan. Ilmu amat penting dalam melakukan apa-apa sahaja pekerjaan. Ramai manusia yang gagal dan berhenti separuh jalan dalam pekerjaan kerana tidak mahu untuk menambahkan pengetahuan dan ilmu. Wang dan semangat belum menjanjikan apa-apa kalau tidak disokong dengan ilmu yang bermanfaat.
Semasa menyampaikan ucapan sebagai penerima anugerah Ikon Usahawan OKU, Brenda yang masih terkelu lidahnya, teringatkan emak, ayah, nenek dan suami, Ah Seng. Insan-insan tersayang satu-persatu telah tiada lagi di sisinya. Namun dia tidak keseorangan dalam meneruskan hari demi hari. Kejayaan yang dinikmatinya, membuktikan seseorang mampu beroleh ganjaran daripada hasil usaha sendiri walaupun keadaan fizikal tidak seperti manusia normal lain. Brenda sempat bermonolog, dia bukan cacat, hanya kelainan upaya. Kebolehan itulah yang ingin ditunjukkan oleh seseorang seperti dirinya. dia masih seorang manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Tidak dilupakan, Brenda mengalungkan ucapan terima kasih kepada kakak kembarnya, Aliya, yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat selepas kejadian kemalangan yang menimpa ke atasnya. Sungguh besar jasa dan budi yang dilimpahkan oleh Aliya buat diri Brenda.
Sebagai pembaca, saya kurang setuju dengan pemilihan tajuk naskhah karangan Fhennie Arryka. “Melakar Pelangi Kehidupan”. Perkataan pelangi itu kurang sesuai dengan nada positif yang dipersembahkan dalam naskhah bertema kegigihan usahawan golongan OKU seperti Brenda. Pelangi membayangkan satu citra yang rapuh, sukar dijangkau oleh tangan manusia dan kehadirannya hanya sekelip mata. Ia memang indah, melengkung di langit dan mempesonakan. Tetapi tidak utuh sebagai citra untuk dikaitkan dengan karakter Brenda dalam naskhah karangan Fhennie Arryka. Sedangkan Brenda digambarkan sebagai contoh manusia kelainan upaya yang cekal dan teguh semangatnya. Benar, dia pada mulanya agak rapuh. Semangatnya untuk hidup bagaikan retak. Tetapi Aliya menghulurkan bantuan psikologi yang sememangnya amat didambakan oleh seseorang seperti Brenda.
Secara kesimpulannya, naskhah “Melakar Pelangi Kehidupan”, bernada positif. Walaupun tema golongan OKU bukanlah hal baharu, namun naskhah karangan Fhennie Arryka itu wajar diberi tepukan tangan kerana menyampaikan mesej yang berguna kepada mana-mana golongan OKU agar jangan mudah menyerah kalah dan tidak mahu melakukan sesuatu atas sebab menganggap diri sebagai manusia cacat. Penyampaian ceritanya sederhana, sesuai dengan usia kepengarangan. Konflik dalaman dan reaksi fizikal yang dirakamkan sepadan untuk mewajarkan perubahan perwatakan Brenda. Brenda yang pada mulanya begitu tertekan dan hampir berputus-asa, bangkit selangkah demi selangkah untuk memperkuatkan dalaman jiwanya. Memang begitulah proses perjalanan hidup dalam mematangkan seseorang. Mereka akan menangis, meratap dan tidak keruan. Tetapi apabila jiwa mereka kembali teguh, barulah beransur-ansur menerima hakikat hidup dengan lapang dada.
Dunia sudah menerima kehadiran golongan manusia kelainan upaya dan meraikan mereka dengan pelbagai acara dalam bentuk sukan dan pelbagai lagi jenis kemahiran. Pihak kerajaan dan masyarakat sedia menyambut huluran tangan mereka yang meminta bantuan. Ramai usahawan, ahli sukan dan tokoh terbilang dalam masyarakat, merupakan individu kelainan upaya. Mereka berjaya kerana sentiasa berusaha untuk memajukan diri dengan keupayaan yang dimiliki. Terus cekal, walaupun pada mula sukar. Tetapi setelah mengecap kejayaan, kesan dan impaknya sudah tentu berkali-kali gandanya daripada manusia normal lain. Demikian juga golongan manusia kelainan upaya juga perlu menganggap bahawa mereka juga sebahagian daripada anggota masyarakat sebagaimana manusia normal lain. Dalam naskhah karangan Fhennie Arryka, Brenda mampu berdiri sebagaimana manusia normal lain walaupun dengan sebelah kaki. Perniagaan berasaskan manik yang diusahakan dengan kakak kembarnya, tentu lebih berwarna-warni lagi pada masa depan. Itulah kejayaan yang dilakarnya, lebih indah berbanding pelangi.