KUCHING: Larian Ria Tutu yang dihentikan sekitar dua tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19 akan diadakan lagi pada 14 Mei ini di Saradise Edge.
Program larian amal yang diadakan setiap tahun itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser serviks, menawarkan tiga kategori penyertaan iaitu larian 5 kilometer, larian kasut tumit tinggi (350 meter) dan perlumbaan 15 km.
Setiap kategori akan dikenakan bayaran RM50 hingga RM60 dan bakal dilengkapkan dengan baju larian dan medal.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berharap penyertaan kali ini meningkat daripada jumlah yang sebelumnya.
“Sebelum larian amal ini terhenti akibat pandemik Covid-19, penyertaan mencecah sehingga 1,000 peserta. Kali ini, kita harap angka tersebut akan meningkat
“Selain bergembira menyertai program larian ini, ia juga menjadi platform untuk memastikan masyarakat sedar tentang penyakit kanser yang boleh dicegah sekiranya diperiksa di peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada kunjungan hormat okeh Pink & Teal Empowher di Bilik Mesyuarat Melur Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Untuk rekod, program anjuran Pink & Teal Empowher ini diadakan sempena bengkel dua hari yang akan diadakan iaitu ‘Singkirkan Kanser Serviks – Perspektif Sarawak’.
Oleh Azreen Keria