MELAKA: Hab DE Rantau iaitu penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital dijangka mampu menyumbang sehingga RM4.8 bilion perbelanjaan pada ekonomi domestik menjelang 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Mahadhir Aziz berkata sehingga hari ini, sebanyak 807 hab DE Rantau telah berdaftar melibatkan empat negeri iaitu Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan yang terkini Melaka.
Daripada jumlah itu, 42 hab berada di Melaka dan kesemua hab berkenaan merupakan tempat penginapan diiktiraf MDEC yang sesuai untuk nomad digital, lengkap dengan internet berkelajuan tinggi serta pelbagai perkhidmatan daripada platform digital.
“Selepas ini kita bercadang untuk memperluaskan inisiatif tersebut di beberapa tempat lain seperti Ipoh, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu selaras dengan sasaran lebih 2,000 hab DE Rantau di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
“MDEC menerusi inisiatif Program Mangkin Digital Malaysia (PEMANGKIN) akan terus bekerjasama dengan semua kerajaan negeri di seluruh negara untuk membawa agenda transformasi digital bagi menggalak serta menarik syarikat, bakat dan pelaburan ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran DE Rantau @ Melaka oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta turut dihadiri Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin.
Mahadhir berkata program DE Rantau mampu menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di Asean sekali gus meningkatkan penggunaan digital selain mempromosikan mobiliti profesional digital dan pelancongan di seluruh negara.
Program itu yang turut menjadi platform perkongsian maklumat, kepakaran serta kemahiran kepada pasaran tenaga kerja negara dengan nomad digital dari seluruh dunia dan secara tidak langsung mampu menjuruskan rakyat ke dalam ekonomi digital.
Mengulas mengenai pemilihan Melaka sebagai lokasi keempat hab DE Rantau, katanya negeri tersebut bukan sahaja maju dalam sektor pelancongan malah mempunyai infrastruktur yang baik, tenaga kerja berkemahiran, ekosistem perniagaan yang kondusif serta daya tarikan sejarah termasuk budaya yang boleh menarik lebih ramai nomad dan pelabur ekonomi digital.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 2,000 nomad digital dari luar negara disasar berkunjung ke negara ini menggunakan Pas Nomad DE Rantau, menjelang akhir tahun ini.
“Setakat ini, lebih 20 nomad digital dari Jepun, New Zealand dan United Kingdom telah berjaya mendapatkan Pas Nomad DE Rantau, yang mana, mereka dibenarkan tinggal selama setahun serta mempunyai projek untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Sulaiman berkata Program DE Rantau diharap dapat memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan Melaka sekali gus menarik lebih banyak nomad digital untuk berkunjung dan tinggal lebih lama di negeri ini.
“Saya menyeru agar pengusaha hotel dan penginapan termasuk pemain sektor pelancongan yang lain mengambil peluang menerusi program DE Rantau untuk meningkatkan perniagaan mereka dan secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri,” katanya. – Bernama