MOGADISHU: Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala 20 lagi cedera dalam satu letupan di Somalia, ketika sambutan perayaan Aidilfitri berlangsung.
“Sumber maklumat yang kami terima terdapat lima mayat di tempat kejadian dan lebih 20 orang lagi cedera.
“Jumlah yang cedera melebihi 20 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, dan kemungkinan ada pertambahan kematian kerana ramai yang cdera parah,” kata Pegawai Polis, Mohamed Muktar kepada AFP melalui panggilan telefon dari Boidoa (250 kilometer dari Mogadishu).
Ketika ini, punca letupan itu masih samar.
Sementara itu, seorang saksi, Mohamud Ibrahim berkata, ketika letupan berlaku, orang ramai sedang menari dan menyanyi kerana menyambut perayaan Aidilfitri.
“Saya bukan seorang pakar, tetapi saya fikir letupan itu berlaku di seberang jalan dan ia sangat kuat dan menyebabkan banyak kematian berbanding letupan berpunca daripada grenade,” katanya menerusi panggilan telefon.
Seorang lagi saksi, Abdi Hassan berkata, orang ramai berkumpul di situ pada Sabtu dan Ahad untuk meraikan perayaan Aidilfitri.
“Tergamak mereka menumpahkan darah orang yang tidak berdosa khususnya ketika perayaan Aidilfitri di sambut. Ia menukar kegembiraan kepada kesedihan,” katanya.
Umat Islam ketika ini sedang meraikan Aidilfitri sebagai menyambut pengakhiran bulan Ramadan.
Al-Shabaab, sekutu Al-Qaeda ketika ini masih menguasai beberapa wilayah walaupun sudah ditumpaskan dan dikeluarkan dari Mogadishu pada 2011.
Militan itu bagaimanapun bertekad untuk kembali menguasai kerajaan dan masih melakukan serangan termasuk pengeboman berani mati dengan menyasarkan kerajaan dan antarabangsa.
Pada 2013 dan 2016, mereka melancarkan serangan berani mati di restoran di pantai Mogadishu.- AFP