KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memohon peruntukan tambahan di bawah Belanjawan 2023 bagi meningkatkan hasil sektor agrikomoditi menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menangkis persepsi negatif terhadap sektor itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau akan membawa perkara itu bagi mendapatkan perhatian serta perbincangan dengan Kementerian Kewangan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata tambahan peruntukan itu penting berdasarkan sumbangan pendapatan eksport negara melalui sektor agrikomoditi yang tinggi berbanding peruntukan diluluskan.
Langkah itu juga membolehkan KPK menumpukan usaha menstruktur semula program pembangunan pekebun kecil melalui penglibatan aktif kalangan pemain besar industri sektor agrikomoditi, khususnya dalam aktiviti pengeluaran dan pemasaran produk.
“Usaha ini termasuk bagi menghadapi cabaran seperti penyakit serta kempen negatif ke atas (sektor) agrikomoditi yang memerlukan peruntukan lebih besar.
“Mungkin dalam semakan belanjawan itu nanti kita akan dapat peruntukan tambahan untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi KPK mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas prospek masa depan, Fadillah berkata KPK akan turut menumpukan usaha meningkatkan keberkesanan kerjasama agensi dalam memacu pengeluaran dan pendapatan pekebun kecil serta bekalan mencukupi untuk sektor perkayuan menerusi program penanaman semula getah.
“KPK juga akan mempromosi aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam meningkatkan keberkesanan dan daya saing sektor agrikomoditi,” katanya.
Fadillah berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan kewangan secara purata RM670 juta kepada sektor agrikomoditi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) mulai 2021 hingga 2023 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program demi memastikan sektor agrikomoditi kekal berdaya saing.
Turut diberi perhatian adalah mengetengahkan potensi sektor baharu bagi menjana sumber pertumbuhan dan pendapatan negara seperti bidang biojisim merangkumi fiber yang mampu menarik pelaburan RM10 bilion menjelang 2025.
Pada masa sama, Fadillah berkata, KPK berhasrat meneroka peluang untuk sektor agrikomoditi terlibat dalam aktiviti perdagangan karbon untuk mewujudkan peluang pertumbuhan baharu, termasuk kenaf yang boleh dijadikan sebagai sumber bahan binaan.
Selain itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini dalam proses membangunkan sistem pemetaan kawasan penanaman sawit di seluruh Malaysia yang dijangka selesai sebelum akhir 2024.
“Sehingga Disember 2022, kawasan penanaman sawit di Malaysia adalah seluas 5.67 juta hektar berbanding had keluasan penanaman kelapa sawit 6.5 juta hektar selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030),” kata beliau. – Bernama