Oleh: Mohidin Haji Malek
TIDAK dapat disangkal bahawa setiap insan sememangnya tertarik kepada keindahan dan kecantikan. Unsur yang sedemikian merantaikan tindak balas naluri untuk mendekati, menyantuni, menghayati, memahami dan malah memiliki apa-apa juga yang sama ada mempamerkan mahupun menyerlahkan sifat keindahan serta kecantikan. Ekoran daripada itu, lahir reka cipta dalam pelbagai bidang seni yang menampilkan unsur keindahan tersendiri seperti seni lukis, seni binaan, seni ukiran, seni tenunan, seni hiasan, seni tatarias dan seumpamanya. Setiap satu daripada cabang seni ini menyerlahkan kebijaksanaan serta kebestarian penciptanya dalam memanipulasi medium yang digunakan untuk memaparkan corak, motif serta imej yang mampu memikat peminat, penggemar serta khalayak cabang seni yang berkenaan.
Walaupun demikian, dalam konteks tertentu, tidak semua reka cipta yang tertampil mampu dihayati oleh semua orang. Hal yang sedemikian berbalik kepada perbezaan sisi pandang, persepsi serta minat seseorang. Sebagai contoh, cabang seni lukis abstrak yang bagi sebilangan orang tidak menyampaikan apa-apa maksud melainkan tempelan warna-warna dalam corak yang tidak menentu. Namun, bagi penggemar seni berkenaan, setiap warna, ton, corak dan alurnya membawa maksud yang tersendiri. Itulah keindahannya.
Apabila memperkatakan tentang keindahan, bidang kepengarangan tidak lari dari aspek berkenaan. Sajak, dalam cakupan ruang lingkup ulasan ini dan seperti yang terlalu kerap diperkatakan, menyerlahkan keindahan dari segi pemilihan kata-kata, penyulamannya menjadi frasa serta penenunannya menjadi ayat yang membentuk rangkap-rangkap sehingga terungkap pemikiran pengkaryanya dalam bentuk naratif yang mengesankan. Naratif yang mengajak pembacanya untuk berfikir dan menyingkap maksud yang terkias dalam setiap diksi, setiap bait serta setiap rangkap.
Bagi penulis, andai diibaratkan, penulisan sajak berupa seni dekorasi atau dekoratif. Jika seni gubahan bunga seperti ikebana yang menyirat maksud yang tersendiri, begitu juga halnya dengan seni pengkaryaan. Namun, dari segi mediumnya, berbeza. Bunga dalam konteks ikebana, tetapi kata-kata dalam konteks sajak. Akan tetapi dari segi prinsipnya tidak jauh berbeza. Dalam seni gubahan ikebana, pemilihan jenis bunga, warna, corak dan bentuk pasu yang diberikan perhatian khusus, dalam penenunan sajak, pemilihan diksi, pembinaan bait-bait, pemikiran, serta mesej menjadi elemen primer. Lantaran itu, untuk menghasilkan sebuah sajak menagih pengetahuan serta penguasaan bahasa yang baik, di samping kebijaksanaan serta kebestarian pengkaryanya memanipulasikan bahasa sebagai bahan dekorasi.
Bertitik tolak daripada hal yang sedemikian, penulis tertarik untuk membicarakan tiga buah sajak yang tersiar pada minggu lalu dalam ruangan ini. Sajak “Monologku” hasil karya Zieyra Alih, “Hati Murni Sejati” nukilan Mohamad Daud Ahmad dan “Mata Hati Anak Derhaka” ilham cipta Norashikin Abdul Hadi.
Ketiga-tiga buah sajak ini menyentuh skop yang berbeza, namun dalam ruang lingkup yang sama, iaitu rencah kehidupan. Lewat sajak “Monologku”, Zieyra memerihalkan tentang kehidupan manusia yang telah ditentukan dan manusia, sebagai peran sketsa berkenaan. Dalam konteks ini, Zieyra memilih kata “monolog” sebagai kaedah penyampaian pengkisahannya. Monolog yang berkisar tentang seseorang, iaitu ‘mu’, yang menjadi inspirasi ‘pementasan’ kehidupan dirinya. Zieyra perlu berhati-hati kerana perkataan monolog membawa pengertian pengucapan yang panjang oleh seseorang peran atau watak dalam sesebuah pementasan. Oleh yang sedemikian, pemilhan kata “monolog” untuk dijadikan tajuk sebuah sajak yang terdiri daripada dua rangkap agak kurang persis.
Di samping itu, kata “autorama” yang muncul pada baris kedua puisi juga berupa istilah yang sering ditautkan dengan pameran kereta dan kurang sesuai dari segi pertautannya dengan inti pati sajak secara keseluruhan. Begitu juga dengan penggunaan kata “berkupu”yang digunakan pada baris akhir, rangkap pertama puisi ini.
Dalam rangkap pertama, bait “lampu di pentas seakan memberiku cahaya” kurang persis memandangkan lampu pentas sememangnya berfungsi untuk memberikan cahaya dan bukan seakan-akan memberikan cahaya manakala dalam kedua pula, bait “kita hanya pelakon yang menunggu kata ‘action’ pengarah” dan bait “dan diberhentikan dengan ungkapan ‘cut’ darinya”, boleh ditiadakan kerana tidak membawa wajaran berat dalam rangkap berkenaan.
Secara keseluruhannya, karya ini memiliki dan memenuhi ciri-ciri dalam penciptaan sebuah sajak, namun memerlukan pemurnian dan penambahbaikan. Zieyra perlu berhati-hati dari segi pemilihan diksi serta pembinaan bait-bait yang persis dan gramatis bagi membangkitkan ‘roh’ sajak agar mampu menimbulkan kesan dalam jiwa khalayak pembaca. Diimbas kembali sajak yang dinukilkan seperti yang berikut;
Monologku
Monologku berkisah tentangmu
Autoramaku juga bergerak seiramamu denganmu
Lampu di pentas seakan memberiku cahaya
Dan dialogku menjadi saksi utama
Pementasan ini terinspirasi olehmu
Yang sering membuatku berkupu
Tetapi,
Jalan ceritaku dan plot ceritamu berbeza
Klimaks kita juga bukan penentunya
Boleh jadi aku atau kau menjadi watak utama
Tapi malangnya bukan kita penulisnya
Kita hanya pelakon yang
menunggu kata ‘action’ pengarah
Dan diberhentikan dengan
ungkapan ‘cut’ darinya
Mana mungkin kita mampu pertikaikan
Segala jalan cerita yang menjadi aturan.
Sajak “Hati Murni Sejati” nukilan Mohamad Daud memperlihatkan unsur sufisme yang menyeru ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Dalam konteks ini, pengkaryanya menyentuh tentang sudut kemurnian jiwa yang perlu bagi menyerlahkan keperibadian yang muluk. Sememangnya dalam kehidupan, kemurnian jiwa dituntut bagi memastikan dan menjamin kesefahaman, kesepakatan, kedamaian dan kesejahteraan dapat diwujudkan dalam konteks hidup bermasyarakat.
Melihat akan sulaman bait-bait sajak ini, rangkap pertama memperlihatkan permulaan atau mukadimah yang baik. Namun, Mohamad Daud agak kurang berjaya mengekalkan momentum kepersisan dan kegramatisan penyampaiannya dalam rangkap-rangkap yang seterusnya. Terkesan seakan-akan rangkap pertama berupa ungkapan yang diubah suai daripada petikan dalam wadah ilmu agama sehingga susunan kata-katanya gramatis. Namun, hal sedemikian berbeza daripada bait-bait seterusnya yang berupa lantunan ‘suara nurani’ pengkaryanya yang sebenar. Dalam konteks ini, Mohamad Daud perlu berhati-hati.
Seperti yang dinyatakan pada awal makalah, penenunan sesebuah sajak memerlukan ketelitian dalam pemilihan kata-kata yang sesuai dan tepat pada maksudnya. Oleh itu, menjadi satu kewajipan bagi setiap penulis untuk memiliki sebuah kamus sebagai rujukan seandainya terbit ketidakpastian atau kesangsian tentang kepersisan penggunaan mana-mana perkataan dalam apa-apa juga genre penulisan.
Selain itu, penyediaan kerangka sajak juga perlu bagi memastikan keteraturan dan susunan keseluruhan sajak dapat dipastikan. Tidak menjadi kesalahan untuk menghasilkan sebuah sajak yang panjang dan bersifat prosaik, namun pastikan nilai kepersisan dan kegramatisan bahasanya diberikan lebih perhatian dan penekanan. Ibarat mendekorasi sebuah ruang yang luas, memerlukan daya kreativiti yang tinggi sifatnya. Sebagai penyegaran ingatan khalayak pembaca, dipaparkan kembali sajak nukilan Mohamad Daud.
Hati Murni Sejati
Andai satu engkau beri
Sepuluh yang mungkin engkau terima
Andai satu kebaikan dihulurkan
Sepuluh keberkatan disambut
Andai satu zarah kebajikan diunjurkan
Sepuluh kemuliaan dianugerahkan
Justeru, kemurnian hati perlu bertacap utuh
Dengan landas paksi teguh menyemai peribadi murni sejati
Lantas persis mengapai gemerlapan rona pelangi
hadiah kemurnian hati sanubari
Aneka irama menyusuli impak nilai kemurnian,
kejujuran dan keikhlasan
Segera, menidak bangga diri,
bongkak pekerti, busuk hati dan dengki iri.
Lingkung salutan hati bersih suci
mendamba kelazatan hajat citra
Yang memangkin harapan menggunung
Keajaiban puas dan syukur ke pangkuan Adicipta.
Istimewanya bukan kepalang
andai hati dilibur dengan wadah beralun lembut sanubari
Menyentuh lengai gundah-gulana,
lara-derita, resah-gelisah berpaling tumpu
Indah menjelma menghalusi wajah seri
menggambarkan madah selera hati.
Murninya hati, sama lagaknya kebunan yang menghiasi,
menghijau, mekar
Segar bersiram kilau titis embun dingin pagi
seiring semangat pagi
Pupuklah hati dengan nukilan puisi
amanah pekerti kendiri yang tulus
Mulus memagar ikhlas salju keimanan
Kasih memagar lingkung maruah
Galas memagar tanggungjawab insani
Tegar memagar kelambu tadbir diri.
Madah tanpa berkias menghindar amarah
Lidah bernada mengalun petah bicara santun hati
Benak mengarca perancang mata hati budi
Biar molek tanpa sangsi
Itulah sejati.
Sajak ketiga berupa ilham cipta Norashikin Abdul Hadi dengan tajuk “Mata Hati Anak Derhaka”. Sajak ini membawa persoalan berat, iaitu sikap derhaka anak-anak terhadap kedua-dua orang tua. Namun, Norashikin cuba menghuraikannya dalam satu rangkap yang mengandungi enam bait seperti yang berikut;
Mata Hati Anak Derhaka
Mana hati emas permata
Ego melingkari suka derhaka
Lalu durjana pada cintanya
Akhirnya tewas pada setia
Yang membunuh arus saktinya
Usah disesal tiada penghujungnya.
Sajak ini masih memerlukan pemurnian dan penambahbaikan bagi mengenyahkan sifat kekaburan yang masih terkesan. Walaupun mesej yang ingin disampaikan oleh Norashikin mampu difahami, akan tetapi unsur ‘keindahan’ dalam sajak ini perlu dibaiki agar tatariasnya lebih sempurna. Sama seperti penyajak sebelumnya, Norashikin turut perlu berhati-hati dalam pemilihan diksi dan pembinaan bait-bait bagi menghasilkan karya yang lebih mengesankan. Apatah lagi apabila menyentuh tentang sesuatu persoalan yang agak berat.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah karya yang dinukilkan oleh Zieyra Alih, Mohamad Daud Ahmad dan Norashikin Abdul Hadi memenuhi ciri-ciri sesebuah sajak. Namun, masih ada ruang untuk penambahbaikan, sama ada dari aspek pemilihan diksi, pembinaan bait-bait dan rangkap. Penghasilan sajak ialah sebuah seni dekorasi bahasa yang mengindahkan ruang singgah dunia pengkaryaan.
Tahniah dan syabas kepada Zieyra Alih, Mohamad Daud Ahmad dan Norashikin Abdul Hadi. Teruskan usaha untuk menghasilkan sebanyak mungkin sajak. Jadikan kamus sebagai teman sejati ketika berkarya. Tatap dan hayati karya-karya oleh penulis mapan dan tersohor, namun jangan sesekali memplagiat atau menciplak hasil karya mereka.
Salam bahasa, sastera dan seni budaya. Bahasa Jiwa Bangsa.