Oleh: Fhennie Arryka
SUASANA di Dewan Masyakat Sibu terbentang gagah dengan cahaya lampu kalimantang itu, sama sekali tidak samanya dengan kepekatan malam yang telah lama menjadi jantungku. Kilauan butiran manik-manik berwarna merah, hijau, kuning putih, biru dan hitam yang bergemelapan indah juga, sama sekali tidak samanya dengan suasana langit tanpa bintang pada malam yang malang itu. Aku terpaksa meneguk penderitaan dari malam yang gelap tanpa bintang itu, berpanjang-panjangan sehingga ke hari ini. Hingga setiap tutur kataku juga padat dengan bahasa kesedihan.
Sesungguhnya, pada saat ini, aku hanya ingin berada dalam lingkungan manik-manikku yang kilau-kemilau dan bukannya di dewan masyakat yang terang benderang dan memperlihatkan segala-galanya ini. “Bukankah manik-manik berwarna kuning yang melambangkan keagungan dan keajaiban itu, mampu membuatkan aku rasa terbela? Bukankah manik-manik berwarna hijau yang melambangkan kelengkapan isi alam semesta, boleh membuatkan aku berasa bahawa yang sebenarnya Orang Kurang Upaya (OKU) hanyalah fizikal, bukannya jiwa atau semangat mahupun mentalku? Bukankah manik-manik putih yang melambangkan kesucian iman kepada Sang Pencipta, sungguh-sungguh membuatkan jiwaku berasa murni tanpa merasa ada kekurangan? Sementara itu, bukankah manik-manik berwarna merah yang melambangkan semangat kaum Iban yang gagah lagi berani itu, berjaya membuatkan semangatku yang pernah hampir mati waktu kemalangan ngeri itu, bangkit semula, walau hanya dengan satu kaki? Bukankah aura manik-manik berwarna biru yang melambangkan sumber kekuatan diri dari segala penjuru yang tidak mudah luntur itu, terbukti boleh membuatkan aku percaya bahawa aku boleh bukan? Aku bermonolog sendiri menahan gugup duduk di meja hadapan yang nyata dapat aku rasakan mata ratusan orang memandangku.
Sesungguhnya, aku tidak ingin lagi dibelenggu ingatan terhadap kegelapan malam tanpa bintang yang menguliti setiap sesuatu yang kelam itu. Terutama sekali apabila aku menyedari bahawa ada ratusan manusia yang mulai memenuhi ruangan di Dewan Masyarakat Sibu ketika itu. Kehadiran mereka hanya membuatkan aku jadi gugup tidak menentu kerana ada yang melirik ke arah kakiku, sedikit sebanyak membuatkan aku merasa rendah diri. Sungguh aku juga tidak ingin perasaan gugup dan rasa rendah diri ini hadir, seperti aku tidak ingin ajal yang menimpa Ah Sheng dua tahun yang lalu, turut tertusuk pahitnya berpanjang-panjangan di jiwaku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya untuk melegakan otakku yang kini bermain dengan perasaanku sendiri.
Mendadak, gambaran pada malam tanpa bintang dua tahun yang lalu, menerjah ke ruangan ingatanku. Aku seakan-akan dapat melihat semula bagaimana kegelapan malam itu menelan aku dan suamiku Ah Sheng yang tersisa hanyalah rayuanku agar Ah Sheng memperlahankan pecutan keretanya dan kemudian diikuti oleh lengkingan nyaring daripadaku juga.
“Ah Sheng, berhenti…!” Jeritanku melengking nyaring, di malam tanpa bintang itu, dua tahun yang lalu. Namun malangnya dalam sekelip mata sahaja kereta panduan Ah Sheng itu hilang kawalan. Dengan keadaan yang mabuk sebegitu, tambahan jalan yang gelap tanpa lampu jalanan, begitu senang Ah Sheng melanggar pokok ara tepi jalan yang menggelap zulmat. Aku tidak sempat meleteri suamiku seperti sebelumnya kerana tubuhku langsung tercampak keluar dari cermin bahagian depan kereta akibat hentakan yang kuat semasa Ah Sheng melanggar pokok ara yang besar itu. Tubuhku lalu terperosok di perdu pokok ara tersebut. Entah macam mana ada dahan sebesar paha Ah Sheng yang bertubuh gendut lagi gempal itu, tiba-tiba jatuh dari pohon ara itu. Dahan pohon ara itu lalu menghempap kaki sebelah kananku, sekali lagi jeritan kesakitanku, melengking nyaring di udara.
Sedetik kemudian, melalui cahaya dari kereta yang masih menyala itu, aku cuba ingin mengangkat dahan yang menghempap kakiku, kerana aku ingin melihat keadaan Ah Sheng suamiku, akan tetapi terasa dahan itu terlalu berat untuk aku alihkan. Sememangnya aku tidak mampu bergerak oleh himpitan dahan itu. Aku segera menoleh ke arah kereta yang terbuka pintu hadapannya itu, jelas kelihatan suamiku Ah Sheng masih tidak sedarkan diri, darah juga bercucuran mengalir. Aku hanya berdoa semoga Ah Sheng cedera ringan walaupun sebenarnya aku tidak tahu keadaan sebenar Ah Sheng yang separuh daripada tubuhnya terjulur ke bumi sementara separuh lagi tersangkut di tempat duduk dan stereng kereta ketika itu. Aku terdengar suara seseorang menelefon ambulans, dan sepuluh minit selepas itu, kedengaran bunyi siren ambulans kian mendekat dan semuanya kelihatan gelap gelita kepadaku. Sebaik sahaja sedar, aku dapati semuanya putih, Aku mencuba sedikit untuk bergerak tetapi aku merasa kejanggalan. Cepat-cepat tanganku meraba kaki sebelah kananku. Ternyata kaki itu sudah tiada. Aku tidak dapat mengawal diri, aku meronta dan menangis semahunya. Aliya yang sedari tadi ada di sana terus memelukku untuk menenangkan aku. Tidak berhenti mulutnya mengatakan “Sabar Brenda, sabar, semua ini ujian buat Brenda.”
Aku mencari kelibat suamiku dan bertanya kepada Aliya. “Aliya, mana Ah Sheng? Ah Sheng baik-baik sahaja kan? Dia tidak apa-apa kan? Kah dia dah tinggalkan aku sebab kaki sebelah kananku sudah tiada? Dia malu mengaku aku isterinya yang cacat?” Bertalu soalan aku ajukan kepada Aliya tanpa membenarkan pun untuk Aliya menjawab pertanyaanku satu persatu.
Aliya menarik nafas, dia mengelus kepalaku, mengucup keningku lalu memelukku erat dengan penuh simpati. Aliya lalu berbisik di cuping telingaku, supaya aku bertenang, kerana semuanya sudah ditakdirkan.
“Ah Sheng meninggal di tempat kejadian Brenda”. Bisik Aliya ditelingaku.
Aku menjadi lagi tidak keruan secara tiba-tiba dengan berita yang Aliya baru khabarkan itu. Aku menangis meraung semahunya, bagaikan tanpa henti sehingga Aliya terpaksa memberitahu jururawat akan keadaan aku ketika itu yang sememangnya susah dikawal. Akhirnya aku lalu diberikan ubat penenang supaya aku tidak lagi menangis meraung sebegitu, tambahan pula aku sangat memerlukan rehat yang secukupnya apatah lagi keadaanku yang baharu sahaja lepas melalui pembedahan dikakiku ketika itu. Aku dirawat di hospital lebih kurang dalam dua minggu sebelum aku dibenarkan balik ke rumah. Malang sungguh, kaki kananku sememangnya tidak dapat diselamatkan pada masa itu.
Setiba di rumah pula, aku meragam seperti orang yang tidak siuman, dengan murungnya, dengan tidak berapa makan apatah lagi membersihkan diriku. Saban hari hanya meratap dan menyalahkan takdir sahaja kerjaku, sebulan juga aku sebegitu. Dek kerana perangai kebudak-budakanku Alya menegur sikapku itu,
“Brenda, sampai bila Brenda nak jadi macam ni? Sampai bila nak buat perangai kebudak-budakan Brenda tu? Ingat kakak suka ka tengok Brenda macam ni? Brenda satu-satunya adik yang kakak ada sekarang, mak, ayah nenek dan Ah Sheng semua sudah tiada. Brenda mahu kakak hilang Brenda jugakah?” leter Aliya yang sudah sebulan bosan dengan ragam ketidakmatangan diriku. Jelas juga Aliya risau dengan keadaanku saban hari seperti itu.
“Kakak senanglah cakap, kakak tak cacat seperti Brenda sekarang ni. Kakak tengok kaki Brenda, mana kaki Brenda? Mana, mana, mana hah? Macam mana Brenda nak bergerak, nak buat itu ini kak? Kakak tak tahukah? Dalam dompet Brenda ada kad OKU fizikal sudah sekarang? Kakak tahu bagaimana perasaan OKU seperti Brenda? Apa lagi kematian suami saat cacat begini. Kakak tahu ka?” ratapku, meluahkan segala yang terbuku lama di hatiku dengan tangis yang memanjang.
“Brenda, buka mata itu sikit, berapa banyak OKU di dunia ini yang berjaya? Nak tahu kenapa? Ha, kerana mereka tidak pernah mengalah. Brenda belum lagi berjuang di medan perang, sudah menyerah kalah? Mana Brenda yang kakak kenal dulu? Mana, mana, mana hah?” balas Aliya, panjang lebar.
“Tapi, cuba kakak tengok, apa sahaja yang Brenda dapat buat dengan kaki tiada sebelah ini kak? Apaaa…?” bentakku, tidak mahu mengalah.
Aliya lalu menyebut tentang atlet negara, Chew Wei Lun iaitu pemain sukan Boccia yang memenangi pingat perak di kejohanan sukan Paralimpik Tokyo 2020. Tentang atlet itu yang juga OKU yang berkerusi roda seperti Brenda. Tentang tiada bezanya Brenda dengan atlet itu. Tentang jika dia boleh, Brenda juga boleh. Jelasnya, jika Brenda ingin berjaya, tidak ada satu pun yang boleh menghalangnya melainkan alasan yang dicipta sendiri.
Aku tersendu keharuan, hiba. Aku faham sekarang kenapa kakak kembarku menyebut nama atlet itu sebagai contoh. Dahulu, di sekolah aku adalah seorang atlet olahraga. Aku tahu, banyak lagi atlet negara yang OKU tetapi mereka mampu menyumbang kepada negara contoh atlet lain seperti Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Like Hou, dan salah satunya juga Brenda Anellia Larry, sama nama denganku sendiri.
“Kenapa aku perlu mencipta alasan hanya kerana cacat fizikal, kakiku tiada sebelah aku tidak mampu lagi melakukan apa-apa? Kalau Brenda Anellia Larry mampu, kenapa Brenda Anak Johny tak boleh? Fikir-fikirkan Brenda,” aku meleteri diri sendiri, dengan juraian air mata yang bagaikan tanpa henti juga. Beberapa ketika kemudian, aku mengambil ketetapan diri, biarpun seribu bulan pun, rasa terkilan yang bukan kepalang atas kehilangan kakiku, tidak akan berakhir bahkan tidak juga boleh mengembalikan kakiku seperti dahulu. Lalu, kutatap hatiku, kubelai jiwaku, kupasangkan seuntai kasih kakak kembarku dengan penuh tekad untuk kembali bangkit daripada kegelapan tanpa gemerlapnya bintang yang menyelubungiku sejak kemalangan ngeri itu. Aku harus bangkit! Ya aku harus bangkit!
Irama muzik sape yang nadanya mendayu-dayu berkumandang di dalam dewan itu, mengingatkan aku akan nenek, ayah dan ibu. Sungguh ketiga-tiga insan ini aku rindu sangat. Apatah lagi apabila ayah dan ibu meninggal kerana lemas di Sungai Rajang lebih sepuluh tahun yang lalu. Pada masa itu, ibu dan ayah balik dari sawah padi, kebetulan hujan lebat dan perahu juga penuh dengan padi yang baru dituai. Perahu yang agak usang itu, tidak mampu menampung berat padi sekali gus air hujan yang lebat sudah memenuhi perahu. Terjadilah karam yang tidak diingini. Ayah dan ibu bukan tidak pandai berenang, namun air sungai yang deras membawa mereka hanyut tanpa dapat dikesan.
Setelah tiga hari berusaha mencari kedua-dua mereka, barulah pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mendiang ayah dan ibu yang terapung-apung di antara segala kayu kayan, semak belukar dan bangkai haiwan yang diseret oleh arus deras itu. Tidak hanya itu selepas empat tahun kematian ibu dan ayah, nenek pula meninggalkan kami dua beradik kembar.
“Brenda, menung apa lagi? Tak cukup tadi terkedu sekarang pula termenung?”
Suara Aliya, mengusikku lalu mematikan lamunanku yang jauh teringat akan kenangan silam. Aku hanya tersenyum hambar. Melihat Aliya tersenyum ceria, membuatkan aku menjadi terharu. Terharu bagaimana insan di sebelahku itu sangat banyak bekorban untuk ku. Aku menghela nafas dan menyimpan kenangan silam itu rapi-rapi, di dalam lipatan hatiku. Terbayang bagaimana sesungguhnya sokongan dari kakak kembarku Aliya yang sangat-sangat membantu. Kalau tanpa Aliya, tidak mungkin aku berada di dewan masyarakat yang gah ini pada hari ini. Aku tahu, aku dipilih sebagai Ikon Usahawan OKU yang berjaya untuk tahun ini, namun dalam dua tahun juga aku dan Aliya membina semua ini, bukan sehari dua kami terus berjaya.
Sesungguhnya, perniagaan manik AB Enterprise kami, juga ada turun naiknya, berputar seperti roda, kadangkala untung dan kadangkala rugi. AB Enterprise sebenarnya pangkal nama aku dan Aliya yang digabungkan menjadi nama perniagaan kami. Masih juga aku ingat bagaimana perniagaan kecil kami yang dahulunya hanya menjual gelang tangan berasaskan manik, kini sudah mampu menjual pelbagai hasil manik seperti, rantai leher, anting-antingan, sulaman, dan juga menjadi satu-satunya kedai yang membekalkan bahan mentah untuk membuat manik di daerah Sibu. Tanpa usaha mustahil semua ini berlaku, namun seperti yang Aliya katakan jangan cipta alasan untuk tidak berjaya, kerana kalau ada jurang alasan sampai bila-bila pun kita tidak akan maju.
‘Terima kasih kak,” bisikku di sebalik pelitup mukaku.
Terkenang kembali akan bagaimana hanya bermodalkan RM1000 daripada hasil simpananku dan mendiang Ah Sheng dahulu untuk memulakan perniagaan kami. Kami berusaha mencari apakah yang boleh dijadikan perniagaan kecil-kecilan kami berdua dan akhirnya kami memilih untuk berniaga perhiasan manik. Kami mula mencari cara membuat manik dan paling penting mencari pembekal yang membekalkan bahan mentah yang murah. Tidak dengan itu, kami berdua hanya menggunakan video tutorial dari Youtube untuk belajar membuat manik. Kami sememangnya bermula dari bawah, sehinggalah kami mampu untuk mendapatkan sedikit untung, dan mujur dengan bantuan pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) kami berdua mengembangkan lagi perniagaan AB Enterprise.
Teringat lagi aku akan lesen yang sah kuperolehi daripada Majlis Pembandaran yang melayakkan kami mendapat pinjaman MARA, sekaligus dapat menyewa kedai di Arked MARA Sibu. Terujanya kami tidak terhingga. Lebih-lebih lagi apabila pihak JKM pula memberikan bantuan untuk peniaga kecil sepertiku, apatah lagi dengan status OKUku sememangnya melayakkan aku mendapatkan bantuan ini. Sebenarnya melalui Geran Pelancaran JKM lah kami membeli lebih banyak bahan mentah manik dan mengolahnya menjadi perhiasan lalu dijual. Geran Pelancaran yang disediakan oleh pihak JKM merupakan salah satu insentif kerajaan bagi membantu kumpulan sasar memulakan perniagaan kecil-kecilan yang diberikan secara tunai. Melalui bantuan inilah kami yakin bermula dari bawah itu bukan suatu yang mustahil. Aku memasang impian sekiranya perniagaan kami makin berkembang kemungkinan tahun depan bolehlah mengambil pekerja OKU sepertiku untuk bekerja di kedai kami. Sekurang-kurangnya mereka bekerja, boleh juga berbakti kepada keluarga bahkan diri sendiri dengan memberi peluang pekerjaan dari kedaiku daripada mereka mengenang nasib seperti diriku dua tahun yang lalu. Di samping itu, kami juga selalu menghadiri seminar keusahawanan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sehingga membuatkan kami semakin yakin untuk meredahi ranjau dan duri dalam perniagaan manik ini. Syukur juga berkat tidak putus asa kami berdua kini AB Enterprise merupakan perniagaan yang stabil dari segi stok manik mahupun kewangan.
“Puan Brenda, nanti selepas Ketua Pengarah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat habis berucap, Puan Brenda lagi yang menyampaikan motivasi puan ya. Puan Brenda bersedia ya.” Salah seorang kakitangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengingatkan aku. Aku hanya mengangguk menandakan persetujuan.
“Kita mempersilakan IKON Usahawan OKU yang berjaya dengan cemerlangnya dalam perniagaan perhiasan berasaskan manik untuk berucap dan memberikan sedikit dua motivasi kepada semua. Kita persilakan Puan Brenda,” kata puan pengacara dari atas pentas sambil tersenyum mesra, memandangku.
“Cepat Brenda, adui, terpinga-pingalah pula dia!” kata Aliya sambil menepuk bahuku ketika itu. Tepukan gemuruh ratusan tetamu membuatkan aku sedikit gugup. Namun, cepat-cepat Aliya menyorong kerusi rodaku menuju ke atas pentas melalui laluan khas yang sememangnya disediakan untuk orang berkerusi roda.
Suasana di atas pentas yang menumpukan ratusan mata ke arah ku, sempat membuatkan aku gugup seketika. Gugup bukan kerana apa, gugup kerana aku akan memberikan motivasi kepada ratusan orang di dalam dewan itu sebentar nanti. Sungguhlah hari ini menjadi sejarah dalam hidupku. Mak, ayah, nenek, dan Ah Sheng, aku sudah buktikan aku juga mampu berjaya walaupun fizikalku kini tidak seperti dulu. Sesungguhnya, aku bukan cacat, aku hanya berlainan upaya sahaja!
“Ermmmm, aaaaa… ehem…” Sempat lidahku kelu sedetik. Kemudian, aku menghela nafas dan memandang tepat ke arah Aliya di bawah pentas untuk mendapatkan kekutan untuk berucap.
“Tuan-tuan dan puan-puan. Nama saya Brenda Anak Johny, pertama-tama sekali, ingin saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur atas anugerah “IKon Usahawan OKU Yang Berjaya”, saya juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada kakak kembar saya Aliya yang tidak pernah jemu untuk membina semangat dan perniagaan bersama kami. Sesungguhnya, kakak saya adalah ibarat manik-manik yang berkilauan indah, memberikan segala-gala yang saya ada sekarang, terima kasih kak.. saya sayang akak…Saya juga… ”
Suaraku terus beralun di dalam dewan yang sunyi sepi itu, kerana segenap dewan hanya memberi fokus pada setiap butir perkataan yang meniti keluar di bibirku yang pastinya menjadi inspirasi buat mereka.
Terima kasih Tuhan, atas segalanya kerana melakar pelangi dalam kehidupanku walaupun telah dimusnahkan oleh kelam tanpa bintang dua tahun yang lalu.