ZAMAN pendudukan Jepun memaparkan keadaan serius dalam bekalan makanan di Sarawak kerana berdepan era peperangan. Oleh itu, usaha memulihkan kecukupan bekalan makanan terutama beras diteruskan oleh kerajaan tentera Australia. Usaha ini juga menjadi dasar utama pentadbiran selanjutnya iaitu British bagi menjadikan Sarawak mampu sara diri dalam pengeluaran beras tempatan.
Pada awal pentadbiran British, Sarawak masih lagi bergantung kepada import beras dari luar bagi menampung keperluan tempatan untuk makanan itu. Mengikut statistik perdagangan 1946, menyaksikan bahawa pengimportan beras di tangga kelima daripada jumlah nilai import ke Sarawak. Sebanyak 78,561 pikul beras diimport dengan nilai sebanyak $1,430,510.
Namun demikian jumlah import pada 1946 untuk beras ini menunjukkan penurunan import berbanding pada 1940. Pada masa sama juga berlaku eksport beras ke luar Sarawak dengan jumlah agak kecil.
Keadaan tanaman padi
Pada awal pentadbiran British, aktiviti penanaman padi di Sarawak di peringkat sederhana. Ini kerana pengeluaran beras di Sarawak dapat menampung separuh keperluan tempatan. Hal ini menunjukkan import beras masih diperlukan dan terdapat pengurangan dari segi jumlah import beras pada 1946.
Keluasan kawasan penanaman padi di Sarawak juga jarang terdapat kawasan tanaman padi yang mempunyai saiz luas. Kebanyakan penanam padi mengusahakan tanaman ini dalam saiz petak yang kecil sama ada padi sawah mahupun bukit.
Dinyatakan juga bahawa keluasan penanaman padi di Sarawak pada ketika itu hanyalah sekitar 250,000 ekar sahaja iaitu separuh padi sawah dan separuh lagi padi bukit, manakala keluaran bagi kedua-dua jenis padi ini adalah rendah. Bagi padi sawah adalah sekitar 150 satu gantang untuk satu ekar, dan padi bukit pula pengeluarannya sekitar 100 gantang untuk satu ekar.
Antara masalah utama penanam padi di Sarawak adalah serangan seranga perosak yang terdiri daripada empangau (Leptocorisa acuta), kutu beruang (Scotinopliora coarctata), ulat batang (stem borer) dan buntak (sejenis belalang perosak). Sesetengah kawasan penanaman padi di Bahagian Kedua mengalami kerosakan akibat serangan serangga perosak ini. Selain serangga perosak, beberapa jenis haiwan hutan juga mengancam penanaman padi ini seperti tikus, babi hutan dan rusa.
Tambahan daripada masalah ini, pada 1946 hingga 1947, cabaran besar penanam padi di Sarawak ini ialah cuaca kering pada tempoh itu. Keadaan ini banyak menganggu pengeluaran padi bukit. Setelah mengambil kira keadaan penanaman padi Sarawak yang agak sederhana ini, maka pihak kerajaan British menjalankan dasar untuk meningkatkan penanaman padi di Sarawak. Dasar ini dibuat untuk memenuhi keperluan bekalan beras tempatan, dan juga bagi jaminan makanan untuk keadaan kecemasan.
Langkah meningkatkan tanaman padi
Antara usaha untuk meningkatkan penanaman padi di Sarawak ini adalah dengan memperkenalkan skim di beberapa kawasan penanaman padi seperti di Tarat dan Paya Megok di Bahagian Pertama, Bijat dan Engkilili di Bahagian Kedua, Bunut, Kanowit dan Sungai Tapang di Bahagian Ketiga dan Pujut-Lupeng di Bahagian Keempat. Bagi Bahagian Kelima pula skim ini dibuat di Bangkita.
Skim-skim ini diwujudkan bagi memberi tunjuk ajar kepada petani teknik penanaman. Tumpuan skim ini juga pada penanaman padi sawah di kawasan yang mempunyai saiz keluasan besar. Usaha juga dibuat untuk mewujudkan plot-plot penanaman padi sawah ini di kawasan pedalaman bagi menarik minat penanaman padi bukit untuk menanam padi sawah di kawasan mereka.
Bagi serangga perosak dan haiwan hutan mengganggu tanaman padi pula, beberapa usaha dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Pihak British berharap penanaman padi dalam satu kawasan tanaman yang bersaiz besar membolehkan usaha mengurang kerosakan oleh serangga perosak ini. Bagi tikus pula usaha dilakukan dengan memberi racun tikus kepada petani untuk membunuh haiwan perosak ini. Senjata dan peluru juga dibekalkan kepada petani ini untuk menghalang pencerobohan babi hutan dan rusa ke atas kawasan penanaman padi ini.
Salah satu lagi usaha pihak kerajaan British untuk meningkatkan pengeluaran beras Sarawak ialah memperkenalkan skim pembelian padi pada penghujung 1946. Dalam hal ini pihak kerajaan akan membeli harga tetap untuk sekilogram padi pada harga $1.72, manakala bagi beras bersih akan dibeli pada $4.06 sekilogram. Usaha pihak kerajaan British ini adalah untuk mengelak Sarawak bergantung kepada beras import.
Hal ini pernah dinyatakan oleh J. B. Archer, Pegawai Pentadbir Kerajaan (Officer Administrating the Government – OAG) bahawa satu hari nanti dan akan terjadi dimana beras tidak akan diimport lagi ke Sarawak. Harapan tinggi kerajaan British ini bukan sahaja mendapat cabaran daripada masalah penanaman padi ini tetapi juga daripada persaingan harga tanaman kontan.
Tanaman kontan
Bagi petani-petani ini, mereka tidak teruja dengan dasar penetapan harga padi dan beras oleh pihak kerajaan British. Ini kerana mereka masih lagi terpengaruh dengan kenaikan harga tanaman kontan. Malah mereka merasakan bahawa keupayaan untuk mengimport beras boleh menampung kekurangan dalam bekalan beras Sarawak. Dalam hal ini pihak kerajaan British berusaha melipatgandakan usaha penanaman padi di Sarawak.
Jabatan Bendahari kerajaan British meluluskan bantuan CD & F untuk skim di Paya Megok dan Paya Chupak yang berjumlah $586,071. Menerusi bantuan CD & W juga telah diperuntukkan sebanyak $270,000 bagi mengesan kawasan yang sesuai untuk penanaman padi sawah bersaiz besar tetapi pihak yang meninjau pada 1955 dan 1956 gagal menemui kawasan yang berpotensi.
Pada 1957 Jabatan Petanian mendapati kekurangan antara pengeluaran tempatan dan pemintaan padi tidaklah sesuatu yang serius kerana mendapati tanaman berkanji lain mampu menampung kekurangan ini seperti sagu, ubi kayu dan kentang manis yang boleh dikeluarkan secara secukupnya pada masa kecemasan.
Salah satu lagi usaha dilakukan oleh pihak kerajaan British ialah Skim Penanam Padi. Skim ini melibatkan rancangan teknikal, khidmat nasihat dan isu tentang peralatan bagi penanam padi sawah. Usaha ini juga menampakkan kesan yang tidak ketara kerana dengan pengeluaran secara purata rendah dan masih lagi menggunakan kaedah penanaman secara tradisi. Import beras ke Sarawak masih menjadi keutamanan di Sarawak bagi menampung kekurangan bekalan beras tersebut. Pada 1946 misalnya jumlah import beras adalah pada 4,450 tan. Jumlah ini meningkat kepada tahap maksimum pada 1962 kepada 60,241 tan.
Masalah penanaman padi di Sarawak ini berterusan sejak zaman Brooke sehingga diambil alih oleh pihak British. Ini kerana keupayaan mengimport dan usaha yang tidak bersungguh-sungguh membawa masalah ini berulang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.