KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau situasi H5N1 (selesema burung) dengan teliti bagi mengelak virus itu merebak ke negara ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam), Dr. Rosemawati Ariffin berkata, penyakit ini berkaitan dengan zoonosis yang datangnya dari haiwan seperti burung, ayam dan itik.
“Sebenarnya penyakit ini adalah sesuatu yang berlaku selama bertahun-tahun. Kes pertama saya rasa, mungkin bermula sekitar 2004.
“Jadi, bagi kita di Malaysia, kita mempunyai pengawasan tentang sebarang penyakit influenza,” katanya ketika ditemui media selepas sesi sidang media Persidangan Juruteknologi Radiologi Asia-Australasia ke- 24 (AACRT 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Katanya, banyak negara di Asia seperti Vietnam telah dijangkiti influenza H5N1.
“Kita tahu bahawa, walaupun di seluruh Asia, banyak negara mempunyai H5N1 seperti di Vietnam.
“Bagi kita di Malaysia, kita akan terus melakukan pengawasan kerana pengawasan terhadap influenza telah kita laksanakan sejak sekian lama.
Malah, sebelum wabak influenza pada 2009,” katanya.
Katanya lagi, bagi KKM, sebaik sahaja mengesan influenza baharu, tidak kira sama ada ia H5N1, atau virus novel influenza yang lain, KKM akan terus memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mengambil tindakan pelan persediaan pandemik influenza.
“Bagaimana pun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga memainkan peranan yang besar, kerana ia berasal dari haiwan,” katanya.
Baru-baru ini, pihak berkuasa Kemboja pada Khamis (23 Februari) melaporkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat H5N1, dan mula menguji 12 kenalannya. Bapanya, yang telah menunjukkan simptom, juga telah diuji positif virus itu.
Oleh NUR AIN OTSMAN