LAWAS: Apabila isu penyalahgunaan dadah di tempat kerja ditangani dengan mewujudkan program yang komprehensif, ia adalah situasi menang-menang bagi kedua-dua majikan dan pekerja.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Limbang, Kementerian Dalam Negeri dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas baru-baru ini telah menganjurkan program Tempat Kerja Bebas Dadah 2023.
AADK bermatlamat program ini dapat dilaksanakan oleh majikan di semua sektor awam dan swasta merangkumi sektor keselamatan (badan beruniform), sektor perkilangan, sektor perkhidmatan, sektor awam dan sektor agronomi mengikut garis panduan dan modul yang ditetapkan oleh AADK.
Memandang serius isu ini, pada hari program tersebut berlangsung, Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim berkata program tidak lain tidak bukan memberikan pendedahan secara langsung bertujuan memastikan kawasan tempat kerja bebas daripada dadah.
“Program seperti ini sekali gus mencapai sasaran untuk menjadikan diri dan tempat kerja bebas daripada dadah serta mengetahui tentang perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang disediakan oleh AADK.
“Program ini pada masa sama dapat membantu majikan dan pekerja mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada media semalam.
Terutamanya majikan dan pekerja dalam sektor awam dan swasta merangkumi sektor keselamatan (Badan Beruniform), sektor perkilangan, sektor perkhidmatan, sektor awam dan sektor Agronomi supaya peka dengan garis panduan dan modul yang ditetapkan oleh AADK.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama Pegawai AADK Limbang berkaitan bahaya pengambilan dadah dan kesannya terhadap diri dan masyarakat.
Pihak AADK Limbang turut berkongsi berbagai maklumat penting dalam menangani serta berdepan dengan individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Program seperti ini serba sedikit membantu anggota bomba dan pegawai ketika berdepan dengan golongan yang tersalah memilih jalan hidup.
Oleh ADENG EDRUS