AKUN GIMAN
KAPIT: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) prihatin terhadap isu kenaikan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif bagi memastikan harga barangan stabil.
Pegawai KPDNHEP Kapit, Al Redzamani Abdul Razak berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) KPDNHEP telah menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak 2020.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan harga barangan terpilih terkawal dengan penepatan harga siling.
“Saya ingin mengingatkan para peniaga dan peruncit supaya mematuhi Peraturan dan Peraturan Perdagangan KPDNHEP bagi memastikan harga yang adil untuk kepentingan pengguna.
“Saya juga mengingatkan petugas penguatkuasa KPDNHEP di lapangan untuk memantau penawaran, permintaan dan kawalan harga.
“Orang ramai boleh melaporkan jika terdapat mana peniaga yang didapati tidak mematuhi SHMMP. Aduan boleh dibuat menerusi talian hotline di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan di http: // e-aduan. kpdnhep.gov.my atau dalam talian di WhatsApp 019-2794317 atau kunjungi pejabat Kementerian supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” tegasnya.
Terdahulu, KPDNHEP mengumumkan senarai barangan terpilih SHMMP Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak 2020.
SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2020 bermula pada 20 Mei hingga 3 Jun depan dengan sembilan jenis barangan disenaraikan.
Antaranya ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji di peringkat pemborong dan kelapa parut di peringkat peruncit.
Manakala, SHMMP Hari Gawai Dayak berkuatkuasa mulai 28 Mei hingga 3 Jun dengan 10 jenis barangan yang disenaraikan.
Ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam, ayam tua, telur ayam gred A, B dan C, daging babi (perut), dan daging babi (daging dan lemak) adalah barangan tersenarai.