KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan dasar kerajaan yang mewajibkan semua individu bekerja sendiri termasuk pekerja gig, mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata dalam mewajibkan jaminan perlindungan insurans bagi semua sektor termasuk sektor ekonomi gig, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menghadapi pelbagai cabaran antaranya masih tiada dasar atau satu perundangan khusus untuk menjaga kebajikan pekerja ekonomi gig.
Selain itu, katanya pekerja ekonomi gig tidak dilindungi bawah Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan tidak mendapat faedah gaji minimum selain pendapatan mereka yang tidak konsisten dan bersifat sementara.
Sivakumar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu setakat mana komitmen kerajaan untuk mengusahakan dan mewajibkan agar ada satu dasar atau akta yang jelas untuk membela nasib pekerja gig ekonomi.
Kepada soalan asal Azli, Sivakumar berkata berdasarkan statistik (PERKESO) dari Januari hingga Disember 2022, sejumlah 374,906 individu bekerja sendiri di negara ini telah mempunyai perlindungan SKSPS.
“Berkaitan penabungan untuk saraan hari tua, pada ketika ini Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji perlindungan pekerja gig dalam satu perundangan yang khusus untuk menjaga kebajikan pekerja ekonomi gig termasuk mereka yang bekerja sendiri,” katanya.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut 315,107 adalah merupakan penghantar p-hailing aktif dan 59,799 terdiri daripada pekerja e-hailing.
“Pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan sebagai galakan kepada pekerja sektor informal termasuk pekerja ekonomi gig berdaftar dan mencarum dengan PERKESO, antaranya PERKESO telah melantik Ejen Korporat bagi membantu menggalakkan pekerja sektor itu untuk mencarum dengan SKSPS,” katanya. – Bernama