KUCHING: Nilai pengeluaran industri ternakan di Sarawak mencecah 2.0 bilion tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr. Adrian Susin Ambud.
Katanya, nilai eksport meningkat sebanyak RM300 juta dan hasil kutipan mencecah RM3 juta setahun.
“Walaupun bilangan kita kecil iaitu 270 kakitangan sahaja, tetapi kita mampu menjana industri ternakan dengan nilai pengeluaran mencecah 2.0 bilion tahun lalu.
“Pematuhan peraturan, kod etika, sistem dan proses kerja akan mampu mengubah veterinar ke arah yang lebih maju dan efisien serta dapat menyumbang kepada pembangunan industri ternakan di Sarawak,” katanya pada Hari Intergriti dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah 2023 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Katanya, kerja di Jabatan Veterinar amat mencabar, banyak dugaan dan rintangan dihadapi lebih lagi dengan kekangan kakitangan untuk membendung penyakit rabies, Demam Babi Afrika (ASF) dan mengekalkan status bebas Penyakit Kaki dan Mulut (FMD).
“Oleh sebab itu, saya cuba mewujudkan budaya CERIA dalam jabatan.
Dengan kata lain ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’.
“Sebab saya percaya ini akan menghasilkan suasana yang sesuai dan keseronokan bekerja, iaitu sentiasa mesra bila berhadapan dengan masyarakat,” katanya.
Maksud akronim CERIA adalah C (conductive/cheerful) ; E (environment/empathy) ; R (responsive, reliable) ; I (integrity) dan A (accountability/action/awareness).
“Sekiranya anda semua dapat mengamalkan konsep tersebut, maka kita sudah ada memupuk nilai integriti di dalam diri kita. Kalau kita semua CERIA, maka integriti dalam jati diri akan tinggi dalam melaksanakan tugas dan juga akan lebih bersemangat di setiap lapisan.
“Ini kerana setiap individu memainkan peranan yang menjurus kepada visi dan misi jabatan,” katanya lagi.
Katanya, sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam merupakan intipati kepada istilah integriti dan etika.
“Dengan erti kata lain integriti dan etika dalam pekerjaan yang cemerlang bukan sekadar penglibatan diri sebaliknya melibatkan tindakan baik dalam kerja dan semua ini mempunyai kait rapat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai pejawat awam.
“Mungkin ada yang berpandangan bahawa integriti hanya berkait rapat dengan isu ketirisan dan rasuah, namun harus diketahui konteks integrity begitu meluas dengan perbuatan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sehubungan itu, kerjasama yang erat, semangat berpasukan dan seorang pegawai yang berintegriti tinggi dimana perlu bertindak secara jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik kepentingan peribadi, berwibawa serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan segala yang ditetapkan adalah nadi kepada Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN