LIMBANG: Kerajaan Persekutuan diharap memberi keutamaan pada peruntukan melibatkan infrastruktur, perumahan dan sektor ekonomi yang memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat dalam pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo berkata, untuk memantapkan pembangunan di Sarawak, Kerajaan Persekutuan haruslah menstabilkan komposisi perbelanjaan negara dan bersedia berhadapan segala kemungkinan tertentu di pelbagai peringkat.
“Ini kerana Kerajaan Perpaduan baharu sahaja terbentuk dan perjuangan bermula dalam ketidaktentuan ekonomi.
“Sudah tentulah kita berharap supaya setiap sektor berfungsi, baik aspek infastruktur, pembangunan, kementerian apa lagi ekonomi dapat diberi lebih tumpuan,” katanya.
Ir. Aidel Lariwoo ketika ditemui pemberita ketika melawat tapak projek Jambatan Sungai Limbang baru-baru ini turut optimis mengenai Bajet 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dengan tidak meminggirkan keperluan penduduk di Sarawak.
Selain itu katanya, Perdana Menteri juga dijangka akan memperkenalkan beberapa strategi-strategi baharu untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik dalam memacu ekonomi Malaysia ke tahap lebih baik.
Ujarnya lagi, beberapa strategi baharu sudah tentu diperkenalkan Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan yang bakal meringankan bebanan rakyat di peringkat akar umbi.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula tidak akan terikat dengan perkara yang dibentang oleh kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu.
Hadir sama, Residen Limbang Yunus Tambi dan Pemangku Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Mahathir Jokeni.
Oleh ADENG EDRUS