MATU: Jaliha Sakli, 56, yang terlantar sebulan di sebuah hospital di Makkah kerana mengidap meningitis, selamat tiba di Kampung Sekaan Kecil di sini pada kira-kira jam 6 petang tadi.
Suaminya, Ahmad Abas Ali, 58, melahirkan rasa syukur mereka berdua kembali dengan selamat setelah perjalanan sembilan jam menerusi Saudi Air dari Jeddah ke Kuala Lumpur (KL) dan kemudian KL-Sibu.
“Kami diiringi seorang doktor lelaki dan jururawat berbangsa Arab dari Jeddah ke KL. Kemudian dari KL ke Sibu pula diiringi doktor dan jururawat tempatan dari Semenanjung.
“Sebaik tiba di Sibu, isteri saya dibawa ambulan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut. Apabila keadaannya semua OK, baru kami bertolak sendiri ke Matu dari Sibu bersama anak kami yang menunggu di Sibu.
“Syukur Alhamdulillah, isteri saya sudah pulih. Sekali lagi terima kasih kepada semua penyumbang derma,” katanya.
Ahmad Abas berkata, tiket penerbangan isterinya ditanggung oleh pihak insurans, tetapi dia keluar duit sendiri untuk tiket penerbangan Jeddah-KL-Sibu berjumlah RM4,000.
Katanya, notis jadualnya pulang amat singkat dan terpaksa bergerak cepat untuk menaiki pesawat dari Jeddah pada jam 4 petang semalam dan bersambung pula penerbangan ke Sibu jam 8 pagi tadi setelah tiba di KLIA pada jam 5 pagi.
“Saya rasa letih sangat, apa lagi kereta banyak di feri untuk ke Matu,” katanya.
Mengenai sumbangan orang ramai, katanya, jumlah itu kekal lebih RM22,000.
“Ada yang derma RM5, RM10, RM15 dan RM50. Alhamdulillah. Sumbangan tiada lagi masuk mungkin kerana berita isteri saya sudah dibenar keluar hospital di Makkah,” katanya.
Bil hospital di Hospital Pakar Al-Noor, kira-kira 18 kilometer dari bandar Makkah menjangkau SR120,000 (RM141,800).
Jaliha yang berasal dari Kampung Pangtray, Daro mengidap meningitis dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 15 Januari lalu.
Setelah koma selama 11 hari, Jaliha kemudian dimasukkan ke wad biasa.
Ahmad Abas dan isterinya sudah selesai mengerjakan tiga kali umrah dan bersedia untuk berangkat pulang ke Malaysia apabila Jaliha dijangkiti meningitis.
Mereka berdua bersama rombongan melalui agensi pelancongan umrah swasta tiba di tanah suci pada 28 Disember lalu untuk pakej umrah selama 22 hari.
Oleh Kadir Dikoh
Keterangan gambar
Doktor dan jururawat Arab Saudi yang menemani Jaliha dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur.