- SAFF 2023 akan menonjolkan produk dan perkhidmatan industri asas tani bagi menarik minat usahawan tani untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi serta memperoleh pendapatan tambahan
KUCHING: Sarawak FAMA Fest 2023 (SAFF 2023) akan diadakan pada 23 hingga 26 Februari ini di Bintang Megamall Miri.
Festival yang julung kali diadakan di Miri itu akan berlangsung bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Negeri Sarawak, Ramli Mat Sani berkata, festival ini diadakan bagi mempromosikan industri asas tani sebagai sektor perniagaan yang menguntungkan bagi menarik penglibatan para usahawan dan generasi muda.
“Selain itu, SAFF 2023 akan menonjolkan produk dan perkhidmatan industri asas tani bagi menarik minat usahawan tani untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi serta memperoleh pendapatan tambahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak di sini, hari ini.
SAFF 2023 merupakan program edisi yang kedua FAMA setelah dilaksanakan kali pertama pada 2019 yang lalu.
Objektif SAFF 2023 ialah mengetengah dan mempromosikan produk keluaran makanan usahawan tempatan kepada masyarakat tempatan khususnya di Bahagian Miri dan penduduk negara jiran, Brunei Darussalam.
“SAFF 2023 akan menghimpunkan seramai 40 usahawan pemasar yang terdiri daripada usahawan tempatan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Usahawan yang dijemput adalah dari kategori tiga hingga lima iaitu nilai jualan RM100,000 hingga RM15 juta yang mana ia sudah bersedia untuk memenuhi keperluan dan kehendak pasaran dalam dan luar negara (telah bersedia untuk eksport),” katanya sambil menambah bahawa festival itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin pada 23 Februari.
Selain itu juga, pihak FAMA akan mengadakan jualan terus dari ladang (JTDL) yang mana ia merupakan program semasa FAMA bagi mengurangkan harga di peringkat runcit dan pasaran.
“Program SAFF 2023 akan menjadi acara kemuncak FAMA di Sarawak dalam memberi pendedahan kepada usahawan ke arah mempertingkatkan tahap keusahawanan dan daya saing serta menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian.
“la juga mampu meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan FAMA sebagai peneraju dalam pembangunan pemasaran hasil pertanian negara,” katanya.
Antara pengisian program yang akan dijalankan semasa program tersebut berlangsung adalah seperti pemadanan peniagaan kepada pengeluar, petani dan usahawan yang berpotensi, demo masakan produk Agromas FAMA dan produk usahawan, pertandingan masakan dan gubahan buah-buahan, bermukun, persembanhan nyanyian oleh artis tempatan Sarawak, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, kuiz, cabutan bertuah dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan jualan ‘Happy Hour’ bagi produk usahawan dan barangan segar untuk mendapatkan harga yang terbaik pada masa tersebut. FAMA juga akan mengadakan jualan barangan kawalan sepeti telur ayam.
“Turut diadakan sesi padanan perniagaan bersama agen pemasar bagi pasaran Hong Konh, Brunei dan Thailand. Usahawan yang berminat untuk menyertai sesi padanan perniagaan tersebut boleh hadir pada 24 dan 25 Februari,” katanya.
Sehubungan itu, FAMA Negeri Sarawak menyasarkan seramai 20,000 pengunjung dari sekitar Miri, Bintulu, Sibu dan Negara Brunei yang akan hadir ke program tersebut dan menyasarkan nilai jualan usahawan untuk empat hari itu adalah sebanyak RM500,000.
Oleh NUR AIN OTSMAN