KUCHING: Perbincangan mengenai kepentingan inisiatif karbon dalam mengurus perubahan iklim bakal menjadi tumpuan utama Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023 yang akan berlangsung pada 15 hingga 16 Mac akan datang.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, persidangan tersebut akan memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi, belajar dan menjalin rangkaian dengan pakar mengenai pengimbangan karbon.
Menurut Hazland, di sebalik persidangan tradisional, acara itu menghubungkan pemain industri, pakar industri, rakan kongsi swasta dan awam serta graduan dan menerangkan keperluan penting untuk melibatkan diri dan bekerjasama untuk menyumbang kepada pasaran karbon.
“Adalah penting untuk mempelajari pandangan daripada pakar terkemuka mengenai hala tuju masa depan pasaran karbon Asia dan kesan ke atas pasaran karbon global.
“Kita berharap idea dan amalan terbaik yang dikongsi semasa persidangan ini dapat diadaptasi untuk Sarawak,” katanya semasa sidang media berkenaan Persidangan Karbon Asia 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hazland berkata persidangan tersebut juga berpotensi menjadi sumber untuk membina rangkaian dan hubungan yang boleh membawa kepada kerjasama masa depan merentas sempadan serta merangsang pelaburan baharu di Sarawak.
Persidangan tersebut menurutnya lagi sekali gus akan memberi kesan positif terhadap hala tuju masa depan industri pasaran karbon di Sarawak.
“Adalah diharapkan bahawa ACC 2023 akan memberikan kita pengetahuan baharu dan rangkaian kepakaran bagi mencipta peluang ekonomi dalam mengimbangi karbon dan perdagangan.
“Saya percaya perkongsian pengetahuan di ACC 2023 akan menggalakkan perubahan dan tindakan yang lebih positif bagi menghasilkan komuniti yang lebih mementingkan kelestarian dan ekonomi rendah karbon,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA