LUNDU: Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum, menarik nafas lega apabila anak mereka yang hilang hampir 24 jam di Kuari Batu Perigi, Sematan, berjaya dikesan oleh Daisy The Dog, seekor anjing pengesan (K9) pada 1.00 petang tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu hantaran memberitahu Rayyan berjaya ditemui hari ini iaitu hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.
“Kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan sihat dan masih cergas walaupun terdapat sedikit calar pada bahagian badannya namun tiada luka yang parah.
“Pada 12.40 tengah hari, komander operasi maklum dalam radius 2000 meter dari PKB, pasukan penyelamat telah menjumpai selipar sebelah kiri bersaiz kanak-kanak tetapi masih menunggu pengesahan dari keluarga mangsa.
“Mangsa telah dijumpai dalam radius 2000 meter dari Pusat kawalan Bomba (PKB) oleh Unit K9 Bomba (Daisy) pada 1.00 petang. Mangsa seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Difahamkan, Daisy merupakan ‘hero’ yang berjaya menemukan Muhammad Rayyan dikendalikan oleh Dominic Bahong.
Sebelum ini, Muhammad Rayyan dilaporkan hilang setelah terakhir kali dilihat oleh ibu mangsa sedang bermain di luar kawasan pondok belakang rumah kongsi kuari.
Setelah menyedari mangsa tiada bersebelahan, usaha ibu mangsa memanggil serta bergegas mencari mangsa dengan bantuan suami dan beberapa pekerja sekitar kawasan namun masih gagal ditemui.
Oleh RYNNA SHA’ERRA