SADONG JAYA: Ibu bapa dan guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan amanah masing-masing bagi memastikan transformasi pendidikan berjalan lancar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, peranan ibu bapa dan guru penting dalam memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2023-2025 dilaksanakan dengan jayanya.
“Kejayaan golongan pelajar bukan sahaja disebabkan oleh hasil pemusatan mereka terhadap pelajaran di sekolah malah termasuk bantuan warga guru serta ibu bapa yang berusaha ke arah pencapaian maksimum anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi 2022/2023 Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin, semalam.
Dalam pada itu, Awla menyarankan pihak sekolah agar terus berusaha tanpa jemu untuk mempertingkat pencapaian pelajar ke tahap cemerlang.
“Ini bukan sahaja dalam aspek kurikulum bahkan juga aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah, daerah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Turut hadir, Guru Besar SK Haji Bujang Rangawan Putin Jamali Bujang, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan Haduta Sharkawi, Penolong Kanan Pentadbiran SK Haji Bujang Rangawan Putin Abdul Aziz Mohamad Sanusi serta YDP PIBG SK Haji Bujang Rangawan Putin Sapiee Hanapi.
Oleh NUR AIN OTSMAN