MUTAKHIR ini, karya-karya autobiografi dan autofiksyen menguasai ranah kesusasteraan antarabangsa. The Years tulisan Annie Ernaux, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 2022 sarat catatan mengenai memori ibarat kolaj imej-imej yang melekat pada ingatan pembaca. Enam volum My Struggle tulisan Karl Ove Knausgaard yang merupakan catatan kehidupan peribadi pengarang begitu rinci dan kontroversi tetapi merupakan judul laku keras di negara Scandinavia itu sekali gus heboh diperkatakan dalam kalangan penggiat sastera di seluruh dunia. Suatu perkara penting yang disajikan dalam karya-karya begini ialah kejujuran pengarangnya tika menelanjangkan setiap inci kehidupannya dalam penulisan. Tanpa tapisan, pengarang itu mewujudkan ancaman dalam bentuk kecaman ke atas ketidaksempurnaannya selaku manusia. Namun itulah keseronokan dalam dunia autofiksyen.
Ditulis dengan sudut pandang pertama, cerpen “Aku, Dia dan Sang Kerbau” yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada hari Khamis yang lalu menggunakan ketidaksempurnaan manusia selaku penggerak konflik. Watak utamanya merupakan seorang isteri yang tidak begitu akrab dengan budaya dan tradisi tanah kelahiran suaminya. Bahkan terdapat prejudis yang menyeluruhi bandar kelahiran suaminya itu sehingga menjurus terhadap rasa tidak selesa tika menaiki penerbangan ke destinasi yang dituju itu. Adunan prejudis, emosi dan persepsi yang berbaur ini merupakan suatu kelebihan pengarang. Ia suatu isyarat pengarang mempunyai jiwa sensitif yang peka mencerap isi hatinya ke dalam penulisan. Dalam erti kata lain, empati sudah sedia ada menumbuh dalam kepengarangan yang tersusun mentah.
Menerusi garapan cerpen tersebut, bolehlah dikatakan bahawa cerpen ini ditulis berpandukan Pesta Babulang yang menjadikan kerbau selaku kerangka temasya. Ia cerpen yang mengangkat kearifan tempatan bandar Limbang dalam penceritaannya. Namun, ia juga sebuah cerpen yang kontang falsafah dan pemikiran. Maka haruslah ditebak falsafah kepengarangannya meliputi pengarang dan karya yang digarap. Lalu persoalan yang boleh dibicarakan di sini adalah mengapa cerpen ini ditulis?
Menggunakan renungan Barthes dalam ungkapan tersohor beliau, “The death of the author”, maka dapatlah suatu spekulasi rinci terhadap penghasilan karya ini dibentangkan. Dalam erti kata lain, semestinya Nadzirah Maripat selaku pengarang punya alasan ataupun cerita di sebalik tabir yang mendorong kepada penghasilan karya ini tetapi saya cuba melihat bagaimana cerminan kehidupan mendorong pengarang menulis.
Secara umum, selaku rakyat Malaysia, kita seharusnya tahu bahawa Limbang dan Miri dipisahkan oleh negara Brunei. Pemisahan ini membataskan pergerakan antara dua buah daerah dalam negeri Sarawak tersebut. Saya melihat keterbatasan ini sebagai suatu elemen penting yang membentuk tujuan cerpen ini dikarang. Sikap prejudis watak utama terhadap Limbang dan juga kecetekan pengetahuan amnya mengenai bandar tersebut, meskipun suaminya berasal dari Limbang, menampakkan bukti keterbatasan ini. Kita juga boleh menaakul tentang kecetekan pengetahuan seorang warga Miri terhadap bandar jirannya, Limbang itu menonjolkan lagi sisi yang tidak disebut dalam cerpen ini, iaitu pengasingan budaya yang nyata antara dua bandar yang dipisahkan oleh sebuah negara di tengah-tengahnya.
Hal ini merupakan suatu contoh untuk membahaskan tujuan cerpen ini ditulis tanpa perlu menanyakan pengarangnya. Saya enggan untuk membicarakan konteks di luaran cerpen lebih lanjut kerana terdapat beberapa sudut pembaikan yang saya lihat wajar diangkat pengarang dalam karya-karya seterusnya kelak.
Pertama sekali, pengarang kelihatannya mahir bermain metafora dan perumpamaan yang segar dibaca. “Burung gergasi” untuk menggambarkan kapal terbang. “Daerah ini seperti pusat penjara negara, dihimpit oleh tanah bukan hak milik.”- suatu ungkapan menggambarkan keterbatasan daerah Limbang yang dihimpit persempadanan dua negara, yakni Malaysia dan Brunei. Ungkapan “hati seluas awan” kedengaran sangat segar apabila diselit ke dalam cerpen.
Malangnya, kemahiran bermain metafora dan perumpamaan ini tidak begitu menyeluruh penggunaannya dalam cerpen. Kebanyakan waktu, terutamanya dalam hal-hal melibatkan peletakan informasi mengenai budaya tempatan, pengarang memilih untuk menaratifkannya secara kejung dan menjemukan. Bahkan, tidak kurang juga terdapat isu lambakan informasi yang tidak begitu membantu penceritaan.
“Lapangan terbang ini tidaklah sebesar mana. Jadual penerbangan pun tidak banyak. Tidak ramai pengunjung yang tiba.”
Ayat-ayat di atas menampakkan pengarang kebuntuan dalam mengungkapkan suasana di Lapangan Terbang Limbang yang barangkali turut menjemukan pengarang secara separa bawah sedar. Kalimat “tidaklah sebesar mana” misalnya boleh digantikan dengan suatu perbandingan yang konkrit supaya pembaca boleh menggambarkan seluas manakah Lapangan Terbang Limbang yang kelihatannya sangat menjemukan dalam naratif pengarang ini. Kalimat “Tidak ramai pengunjung yang tiba” pula menuntut suatu penjelasan seramai manakah pengunjung yang berada di lapangan terbang? Andai kata lapangan terbang itu menjemukan, saya menyarankan agar kejemuan itu diungkapkan secara kreatif. Sebagai contoh, teks itu bolehlah ditulis kembali seperti berikut:-
“Lapangan terbang itu ibarat padang bola sepak yang dipagar separuh oleh kejiranan tak peka batu sempadan. Jadual penerbangan ibarat hidup segan mati tak mahu. Bilangan pengunjung bolehlah dikatakan seramai jumlah jari aku dan suami.”
Poin yang saya cuba ungkapkan di sini ialah pengarang harus berwaspada dalam menggambarkan suatu landskap. Ada beza antara penulisan yang hambar dengan naratif yang menggambarkan sesuatu yang hambar. Pengarang harus mengenalpasti perbezaan itu supaya teksnya tidak dibaca sekali lalu tanpa meninggalkan kesan pembacaan yang melekat di minda pembaca.
“Hotel yang kami tempah terletak di tengah-tengah bandar. Perjalanan dari lapangan terbang ke bandar tidak sampai sepuluh minit. Setibanya di sebuah laluan pusing keliling jalan menuju ke bandar, ternampak tugu seekor kerbau yang menjadi lambang kebanggaan bandar ini.”
Jika direnung kembali, cara pengarang menggambarkan ciri-ciri fizikal suaminya agak bersahaja, santai dan dibumbui rencah lelucon:
“Kalau hendak dibandingkan dengan pelakon Korea memang jauh panggang dari api.”
“Kulitnya kasar seperti orang gasar lagaknya.”
Membandingkan cara pengarang menggambarkan bandar Limbang dengan cara pengarang menceritakan ciri-ciri fizikal watak suami menampakkan masalah konsistensi penceritaan. Pengarang memerlukan latihan khusus dalam kaedah pengungkapan landskap demi menjadikan cerpennya lebih bertenaga dan tidak lesu. Kemahiran pengarang dalam menggunakan metafora dan perumpamaan tampak terbatas kepada gambaran perwatakan manusia.
Ketidakmahiran pengarang mengungkapkan landskap, objek dan subjek bukan manusia dijejaskan lagi dengan lambakan informasi yang dikhuatiri melewahkan teks.
Sebagai contoh:-
“Antara aktiviti wajib sewaktu pergi melancong seperti ini ialah memburu makanan yang enak dan jarang ditemui. Salah satu makanan yang sering disebut-sebut orang di sini ialah ikan tahai. Ikan tahai ini sebenarnya ikan tamban yang telah disalai selepas disiang. Rasanya sama seperti ikan salai yang lain tetapi lebih rangup dan rasa salai yang lebih asli. Ikan ini boleh digunakan sebagai bahan perisa dan sup dalam sebuah masakan tertentu.”
Perihal ikan tahai ini tidak dihubungkaitkan dengan plot utama penceritaan, yakni Pesta Babulang. Dalam erti kata lain, ia teks lewah yang boleh digugurkan demi memadatkan teks.
“Orang tua kata, jika pertama kali seseorang itu datang ke tempat yang baharu, mereka hendaklah mencalit sedikit tanah di dahi.”
Tiada huraian selanjutnya ataupun perlakuan watak ke atas informasi ini di dalam cerpen sedangkan ia boleh dijadikan suatu elemen kejutan penting dalam penceritaan sekiranya pengarang pintar menghubungkaitkan budaya eksotik sebegini pada tingkah laku watak. Tanpa pembinaan naratif yang menghubungkannya dengan teks-teks lain, informasi ini jadi suatu unsur lewah yang tidak membantu penceritaan.
Selain itu, pembacaan selanjutnya menemukan saya dengan teks-teks yang mendatar pembacaannya. Meskipun pembaca kelihatannya mahir menyusun perkataan supaya beritma dan enak dibaca, ia masih bermasalah dari segi pemilihan subjek yang hendak diberi rincian. Elemen “show don’t tell” harus disemarakkan dalam penulisan ini supaya ia lebih mendatangkan kesan pembacaan multidimensi.
“Sampainya di hotel kami mendaftar masuk. Usai mendaftar masuk di hotel, dia mengajakku ke rumah keluarga Pak Udak untuk makan tengah hari. Pak Udak merupakan bapa saudara suamiku. Hanya keluarga mereka yang tinggal di daerah ini. Kebanyakannya sudah berhijrah. Aku berkenalan dengan saudara-maranya yang sangat ramah. Pada ketika ini aku cuba sembunyikan rasa tidak selesa jauh dari pandangan mereka.”
Saya membayangkan suatu dialog sarat perlambangan bahasa tubuh boleh menggantikan perenggan ini. Usaha penyembunyian rasa tidak selesa itu boleh dilakukan dengan gambaran bahasa tubuh dan pemilihan kata-kata dalam bicara. Pengarang juga boleh menunjukkan keramahan saudara-mara suaminya itu melalui perbualan dan perbuatan. Di samping itu, elemen nostalgia dan sayu barangkali boleh diselitkan memandangkan ramai ahli keluarga yang sudah berhijrah.
Lalu bagaimana elemen nostalgia nan sayu ini boleh dipupuk dalam penceritaan? Tanpa meninggalkan tunjang utama penceritaan, yakni “Sang Kerbau”, pengarang mungkin boleh menunjukkan babak-babak di rumah Pak Udak, latar tempat objek-objek memori silam dipertontonkan dan dibualkan. Ia boleh diselang-selikan dengan jeda dalam bentuk ungkapan naratif yang sarat elemen suram demi menghasilkan impak nostalgia dan kesayuan itu. Topik perbualan yang hendak diangkat boleh dihadkan ke atas penceritaan pengalaman masing-masing mendepani “Sang Kerbau” sekali gus menjadikan kerbau selaku subjek tengah dalam mengangkat usaha pemulihan hubungan kekeluargaan yang cuba ditonjolkan pengarang dalam cerpen ini.
“Sepanjang perjalanan melawat ke gerai pesta, suamiku tidak henti-henti menceritakan kenangan mereka sekeluarga tinggal di daerah ini. Betapa gembiranya dia berkongsi cerita kepadaku. Aku pula, semakin tertarik dengan gayanya dan kadang-kadang mencelah dan bertanya untuk mendapatkan kepastian ceritanya. Di satu sisi yang lain, aku cuba membuka hati untuk membenarkan kegembiraan singgah sejenak untuk merasai percutian dan kembara yang indah ini.”
Kenangan yang bagaimana? Gembira dalam bentuk apa? Tertarik dengan gaya apa? Di sinilah unsur “show don’t tell” sangat penting demi menjadikan cerpen ini lebih berkesan. Kenangan si suami itu pula haruslah ditulis secara berpada-pada demi mengelakkan elemen lewah. Maka pengarang harus memilih kenangan yang hendak diceritakan dengan matlamat untuk mendatangkan rasa gembira yang tulen sekali gus mengungkapkan sisi tak terlihat sebelumnya si suami yang disukai watak utama cerita.
Baiklah, selain daripada kelemahan-kelemahan yang disenaraikan itu, tetaplah tidak menenggelamkan potensi pengarang dalam memperkembangkan bakat kepengarangannya. Kemahiran mengungkapkan perasaan watak dan ciri fizikal dengan metafora tepat dan berkesan tidak syak lagi merupakan kekuatan pengarang. Hal ini juga sinonim dengan pengarang wanita yang diketahui umum mempunyai sensitiviti lebih baik berbanding pengarang lelaki. Bahkan tampak kemahiran pengarang dalam menyusun kata-kata padat dan berkesan seperti berikut:
“Aku seorang yang cuai, dia pula jenis yang teliti. Aku tidak pandai memujuk malah suka merajuk. Dia pula arif bila memujuk dan sering mengalah. Salah faham memang ada. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Klise inilah yang sering kedengaran tentang kisah suami isteri.”
Pengarang ini harus menjaga konsistensi penceritaan melalui pemerhatian terhadap kelemahan-kelemahan yang ditunjukkan itu. Justeru, saya melihat keperluan pengarang memperluaskan spektrum pembacaan yang melibatkan gambaran landskap secara kreatif sepertimana Italo Calvino dengan naskhah Invisible Cities yang menggambarkan Venice seolah-olah kota sarat keajaiban dengan pelbagai perspektif. Di samping itu, pengarang juga harus menekuni pembinaan watak yang kelihatannya berkisar pada naratif tunjang tanpa mempedulikan pembinaan watak-watak sampingan yang satu dimensi sifatnya.
Tidak mustahil, pengarang berpotensi untuk membentuk sebuah karya-karya berbaur autobiografi yang merupakan kolaj-kolaj memori pengarang sendiri. Kemahiran pengarang menggambarkan ketidaksempurnaan seorang manusia melalui pergerakan persepsi dan pemikiran wajar dilanjutkan dalam karya-karya selanjutnya.