Padawan: Taksub dengan keuntungan pelaburan yang lumayan, seorang juruteknik akhirnya menanggung kerugian RM226,948 akibat menyertai pelaburan tidak wujud.
Mangsa berusia 59 tahun tampil membuat laporan polis pada 10.20 pagi semalam selepas menyedari dirinya ditipu skim pelaburan yang disertainya sejak Jun tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pada Jun 2022, mangsa diperkenalkan untuk mengikuti dua jenis aplikasi iaitu Eccoin dan Huobi.
Katanya dia diyakinkan untuk membuat pelaburan yang dikatakan boleh memberi pulangan lumayan.
Menurutnya, mangsa kemudiannya tertarik dan bersetuju menyertai pelaburan berkenaan.
Katanya, ia adalah satu platform pelaburan yang menggunakan matawang USD dan mangsa memuat naik aplikasi Eccoin untuk memantau kenaikan dan penurunan saham.
“Bermula pada 22 Jun 2022 sehingga 19 Ogos 2022, pengadu membuat 15 transaksi wang ke dalam tiga akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM226,948.
“Menurut pengadu, jumlah keuntungan yang sepatutnya diterimanya mengikut jumlah pelaburan yang dibuat adalah AS$154,272.62 (kira-kira RM647,945),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal menambah mangsa juga mendakwa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dikawal individu dikenali sebagai Lulu Mergen.
Beliau berkata mangsa mengatakan Lulu Mergen juga berkongsikan nombor akaun di dalam kumpulan WhatsApp berkenaan untuk tujuan membayar wang pelaburan.
Katanya pada 17 Ogos 2022, mangsa menerima emel dari Eccoin Customer Services menyatakan bahawa platform itu mempunyai masalah dan digodam.
“Sehingga hari ini pengadu belum menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan itu,” katanya.
Abang Zainal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Oleh Connie Chieng