BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing antara wakil rakyat yang terawal menyantuni mangsa kebakaran yang ditimpa musibah di Rumah Danggat, Sg Kawi, pagi tadi.
Wakil Dato Sri Huang Tiong Sii, Gung Chiu Kion, turut sama berada di lapangan bagi melihat keadaan untuk menyalurkan bantuan dengan kadar segera kepada mangsa kebakaran.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang dan Pegawai Kebajikan Daerah Meradong Sawan Madil.
Insiden kebakaran sekitar 9.25 pagi mengakibatkan sebanyak 18 daripada keseluruhan 34 pintu bilik Rumah Danggat Ansi, Jalan Sing Ba di Sungai Kawi musnah dijilat api.
Kebakaran melibatkan rumah panjang sepanjang 34 pintu bilik telah terbakar 18 pintu bilik daripada keseluruhan bangunan, manakala 16 pintu bilik lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba daripada merebak.
Seramai 89 mangsa kebakaran dari 18 pintu bilik tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran tersebut.
Rumah Danggat Ansi mempunyai seramai 157 penghuni dan 16 pintu bilik yang didiami seramai 68 penghuni berjaya diselamatkan.
Keseluruhan struktur bangunan dibina daripada papan dan kayu. Anggaran kemusnahan terbakar sebanyak 53 peratus.
Oleh Suriyani Molyadi