MAKKAH: Pesara guru dari Sarawak terlantar di Hospital Pakar Al-Noor di sini sejak hampir sebulan lalu kerana mengidap meningitis.
Jaliha Sakli, 56, berasal dari Kampung Pangtray, Daro dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 15 Januari lalu.
Dia bersama suami, Ahmad Abas Ali, 58, sudah selesai mengerjakan tiga kali umrah dan bersedia untuk berangkat pulang ke Malaysia apabila Jaliha dijangkiti meningitis.
Menurut Ahmad Abas, dia terpaksa menemani isterinya di hospital dan berulang alik dari hotel penginapan di Makkah untuk ke hospital sejauh 18 kilometer sama ada menggunakan teksi atau bas.
“Isteri saya koma selama 11 hari dan Alhamdulilah, Jaliha mulai pulih dan kini dimasukkan ke wad biasa tetapi masih lemah untuk berjalan.
“Sekarang saya binggung memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan bil hospital yang hingga hari ini (semalam) sudah mencecah SR113,000 (RM130,000).
“Semakin lama kami di sini, bil itu akan terus meningkat,” katanya ketika menerima kunjungan Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh yang kebetulan berada di sini untuk mengerjakan umrah bersama keluarga, di hospital itu petang semalam.
Orang ramai yang sudi memberi sumbangan boleh memasukkan derma terus ke akaun maybank 161109276756 milik Jaliha Sakli. Ahmad Abas boleh dihubungi melalui nombor 0198649009.
Ahmad Abas yang juga seorang pesara kerajaan berkata, bil hospital itu mungkin mencecah sehingga SR120,000 (RM138,590) dalam tempoh terdekat.
Ini berdasarkan bil harian hospital pakar itu menelan kos SR4,185 atau RM4,833.
Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Abas berkata mereka berdua sebelum datang ke sini sudah menerima suntikan vaksin wajib untuk umrah/haji tetapi terkena juga.
Ada tiga jenis vaksin yang diberikan kepada jemaah haji dan umrah. Satu vaksin yang wajib manakala dua lagi disarankan.
Vaksin wajib adalah vaksin meningitis kerana penularannya berisiko yang menyebabkan inflamasi pada selaput yang melindungi otak dan sumsum tulang belakang. Penyakit ini berisiko tinggi terjadi di bahagian tertentu di dunia, terutama negara Arab Saudi sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadah haji dan umrah.
Ahmad Abas yang berasal dari Kampung Sekaan Kecil di Daerah Matu berkata, mereka tiba di tanah haram ini pada 28 Disember lalu untuk pakej umrah selama 22 hari melalui sebuah syarikat swasta.
Namun, mereka berdua menerima ujian besar apabila Jaliha dijangkiti meningitis dan hingga semalam, sudah 27 hari menerima rawatan pakar di hospital.
“Selain bil hospital, saya terpaksa membayar hotel penginapan serta kos pengangkutan berulangalik ke hospital tanpa gagal setiap hari.
“Kini saya terpaksa pindah ke hotel yang tidak berapa jauh dari hospital.
“Doakan isteri saya terus pulih dan tidak sabar untuk balik ke Malaysia,” katanya.