JOHOR BAHRU: Pemberian insentif kepada pengusaha kedai makan dan restoran yang menyediakan hidangan Menu Rahmah kepada pelanggan sedang dalam perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata bagaimanapun, perkara itu masih dalam peringkat awal dan bentuk pemberian insentif belum diputuskan.
“Setakat ini kita belum umumkan insentif, tetapi perkara itu sedang dibincangkan, mungkin (contohnya) kedai mamak yang memerlukan pekerja untuk memasak, dari segi itu kita akan bantu untuk dapatkan tambahan pekerja.
“Kita belum meletakkan sebarang nilai fiskal dalam insentif itu, tetapi setakat ini, inisiatif Menu Rahmah adalah sukarela yang pengusaha dapat bersama-sama membangunkan ekosistem yang memahami masalah dihadapi rakyat dalam menangani kos sara hidup,” katanya pada sidang media selepas program Jalan-Jalan Cari Makan Menu Rahmah di Nasi Kandar KM Maju di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemberian insentif kepada pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah.
Fuziah berkata, KPDN juga bersedia untuk berunding dan membantu pengusaha yang ingin menyediakan Menu Rahmah dari segi mendapatkan bekalan bahan mentah.
Berhubung pengusaha kedai makan dan restoran yang mengehadkan waktu penjualan Menu Rahmah, Fuziah berkata, inisiatif itu disertai secara sukarela, bagaimanapun mereka diharapkan dapat menguar-uarkan waktu penjualan supaya pelanggan tidak kecewa dengan ketiadaan menu berkenaan.
Terdahulu, pemilik Nasi Kandar KM Maju Mohd Faisul Kabeebu berkata restorannya itu menyediakan dua set Menu Rahmah bernilai RM5 iaitu ikan atau ayam bersama nasi, sayur, kuah campur dan air suam.
Katanya, hidangan Menu Rahmah dijual bermula 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang setiap hari.
– Bernama