KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi memerlukan peruntukan RM19.2 bilion bagi merealisasikan sasaran liputan penuh bekalan air menjelang 2030.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata setakat ini, secara keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak ialah 83.7 peratus dengan liputan 67.2 peratus di kawasan luar bandar dan 99 peratus di kawasan bandar.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk mencapai sasaran liputan penuh itu seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).
“Kementerian kami amat komited untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih, selamat, dan berterusan kepada rakyat Sarawak.
“Bagi mencapai liputan penuh bekalan air bersih, selamat dan berterusan, selaras dengan sasaran PCDS 2030, kementerian saya memerlukan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM19.2 bilion bagi merealisasikan sasaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikianketika Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Auditorium, LCDA Tower, The Isthmus di sini, hari ini.
Katanya lagi, selaras dengan usaha berterusan kementeriannya untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih cekap dan berkesan, satu kajian terperinci untuk penubuhan Satu Entiti Bekalan Air dan Badan Korporat Kawalseliaan juga sedang dijalankan.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan hala tuju transformasi industri air di bawah PCDS 2030 untuk mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan dalam pengurusan sumber air dan perkhidmatan bekalan air,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan elektrik, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya mempunyai visi untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh pelosok Sarawak menjelang 2025.
“Liputan bekalan elektrik luar bandar kini telah mencapai 97.9 peratus.
“Dalam memperkasakan bekalan elektrik luar bandar, kementerian saya melalui agensi pelaksana, Sarawak Energy, telah merangka Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2030.
“Pelan ini telah dirangka dengan mengenal pasti kawasan yang menggunakan sistem kendiri yang akan mempunyai jalan akses dalam tempoh tersebut untuk disambungkan ke grid elektrik. Inisiatif ini adalah selaras dengan PCDS 2030 dalam memenuhi keperluan tenaga elektrik sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) telah memberi manfaat kepada 800 kampung yang melibatkan 11,179 isi rumah.
Sehingga kini, dianggarkan 25,000 pemohon tambahan atau lewat di seluruh Sarawak yang masih memerlukan pemasangan elektrik melalui skim ALAF dan sambungan kepada pemohon akan dilaksanakan secara berterusan dan berperingkat.
Oleh NUR AIN OTSMAN