LIMBANG: Sebanyak 22 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah lebih RM250,000 direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Limbang sejak awal Januari sehingga hari ini.
Menurut Ketua Cawangan KPDN Limbang Pulnama Tarah, rampasan berkenaan termasuk gula, barang kawalan lain, kenderaan, petrol dan diesel membabitkan pelbagai kesalahan.
“Kejayaan itu adalah hasil daripada pemeriksaan ke atas 721 premis perniagaan yang terdapat di daerah Limbang.
“Daripada 22 kes berkenaan, sebanyak 13 kes membabitkan kesalahan di Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala tujuh kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, hari ini.
Tambahnya lagi, nilai rampasan tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Nilai rampasan yang kita perolehi setakat ini adalah RM250,000, cukup tinggi, dan hasil daripada data ini menunjukkan ada peningkatan kes berbanding tahun lepas pada tempoh yang sama iaitu Januari dan awal Februari tahun ini,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan pihaknya tidak sesekali berkompromi sekali gus akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menyalahi-undang-undang.
Pada masa sama, beliau menasihati para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan selain meminta kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan mengenai penyelewengan dan penyeludupan kepada pihaknya.
“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada para peniaga yang menyalahi undang-udang dan kita nasihatkan kepada pengguna supaya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak kami dengan menyalurkan aduan melalui medium-medium aduan yang telah disediakan pihak KPDN.
“Kita minta para peniaga untuk sentiasa mematuhi peraturan terutamanya barang kawalan seperti minyak masak, gula, tepung dan barang kawalan lain dan anggota penguatkuasaan akan digerakkan pada ketika ini untuk memantau isu-isu penyelewengan, penyeludupan,” jelasnya.
Oleh ADENG EDRUS