KUCHING: Umum mengetahui bahawa perceraian memberi kesan kepada sesebuah institusi kekeluargaan, lebih-lebih lagi kepada anak-anak.
Perceraian ibu bapa kadangkala mengakibatkan gangguan emosi kepada anak-anak.
Namun, tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah.
Perihal ini terjadi kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berasal dari Song, mendapat perhatian ramai netizen dimuat naik dalam media sosial setelah seringkali tertangkap mencuri pelbagai jenis makanan.
Menteri Wanita, Pembangunan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika dihubungi Utusan Sarawak berkata, telah memaklumkan pihaknya di Song untuk menyemak lanjut kejadian itu pada masa sama memaklumkan kementeriannya akan campur tangan untuk membantu remaja tersebut.
Menurut Fatimah, remaja itu kini dijaga oleh neneknya yang memasukkannya ke sekolah berasrama penuh setelah ibu dan bapanya bercerai. Neneknya menjual sayur sebagai sumber pendapatan.
Dipercayai budak itu kebanyakan waktu ditinggalkan sendirian dan mencuri untuk mengalas perut.
Utusan Sarawak dimaklumkan bahawa remaja itu telah digantung sekolah selama dua minggu dan dihantar pulang ke rumah panjangnya.
Mencuri kerana tidak tahan lapar, menyentuh hati ramai pada masa sama mendapat reaksi pelbagai netizen yang merasakan perlunya campur tangan pihak berkuasa untuk membantunya.
Walaupun ramai yang mengecam pemegang akaun media sosial yang memuat naik gambar remaja itu kerana dianggap mengaibkan kanak-kanak bawah umur, namun hakikatnya, perbuatan mencuri adalah satu kesalahan boleh jadi jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan ‘hitam’ pada masa depan remaja berkenaan.
Pemegang akaun media sosial yang memuat naik gambar remaja itu merupakan seorang pekedai yang sering didatangi remaja berkenaan dan perbuatan mencuri makanan itu telah seringkali terjadi sehingga menyebabkan pekedai tersebut mengambil tindakan untuk memuat naik gambar remaja tersebut.
Ketua Polis Song, ASP Rowney Michael Jalak ketika dihubungi Utusan Sarawak berkata, mengenali budak itu dan pernah memberinya kaunseling sebelum ini.
Menurut ASP Rowney Michael Jalak, sebuah farmasi juga pernah membuat laporan terhadap remaja berkenaan, namun laporan itu telahpun ditarik balik oleh pengadu.
ASP Rowney pada masa sama turut menyatakan usaha dengan membantu remaja itu supaya tidak tercicir daripada alam persekolahan dengan menghulurkan bantuan peribadi.
“Perihal remaja tersebut juga telah dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri.
“Pesuruhjaya Polis Sarawak dan polis Song telah menyalurkan sumbangan peribadi untuk membantu remaja itu. Mereka akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak sekolah untuk dimajukan bagi membantu remaja tersebut,” jelas ASP Rowney.
Oleh Connie Chieng
Keterangan Gambar:
Budak lelaki yang ditinggalkan bersendirian, mencuri makanan akibat tidak tahan lapar.