Oleh Nadzirah Maripat
BURUNG gergasi itu seakan-akan melebarkan sayapnya untuk terbang tinggi pada pagi yang suram. Tiada kagum daripada pandanganku. Hanya gah pada jasad, namun tidak pada isinya. Fikiranku seperti tin kosong.
‘Apa yang menarik di Limbang?’ bisik hatiku.
Daerah ini seperti pusat penjara negara, dihimpit oleh tanah bukan hak milik. Hendak ke sana pun banyak rencahnya. Aku hanya mendiamkan diri dan menunjukkan muka sugul dan jelas itu tanda protes terhadapnya. Sebaliknya, aku pula tidak diendahkan. Kesal.
“Panggilan terakhir untuk penumpang-penumpang penerbangan Miri pesawat MH3476 ke Limbang. Penumpang-penumpang dipersilakan ke balai berlepas Pintu ‘A’ untuk penerbangan segera. Terima kasih,” suara itu bergema di lapangan terbang Miri.
Sudah dua tahun tidak mendengar suara lunak ini. Berbaur rasa hati apabila masih berpeluang mendengar kembali semasa hendak menaiki kapal terbang. Tetapi kali ini, suara itu seakan-akan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
“Dang, sampai nanti kita bermalam di hotel. Abang tak nak ganggu saudara mara di kampung. Selepas check in kita ke rumah keluarga Pak Udak ya.” Kata suamiku lembut. Aku hanya mengangguk. Hatiku masih remuk merajuk tidak menentu.
Dang ialah panggilannya terhadapku yang sering digunakan penduduk tempatan di bahagian Limbang dan Brunei. Suamiku menutup telefon bimbit dan kemudian memejamkan mata menandakan yang dia ingin lelap seketika. Aku hanya menjeling ke arahnya. Kalau hendak dibandingkan dengan pelakon Korea memang jauh panggang dari api. Mana tidaknya, kalau sering bekerja di bawah terik matahari, pasti warna kulit pun berubah kegelapan. Sebagai juru elektrik, sudah pasti kerjanya bukan di dalam pejabat. Kulitnya kasar seperti orang gasar lagaknya.
Teringat masa kecil dahulu, aku dan adik beradik selalu bermain di bawah panas terik matahari. Sampai ke pengetahuan ayah, dia memberi amaran, sekiranya kami selalu bermain di bawah cahaya matahari, nanti kulit akan jadi seperti kulit kerbau. Aku tidak pernah menyentuh kulit kerbau dan tidak pula mengetahui teksturnya bagaimana. Imaginasiku semasa kecil menggambarkan kulit kerbau itu kulit yang tidak cantik dan berkedut. Sudahnya, kami turuti sahaja arahan ayah untuk pulang ke rumah kerana tidak mahu kulit menjadi kasar dan berkedut. Bila dikenang kembali, begitulah cara mereka memberi nasihat kepada anak-anak yang pada masa itu percaya sepenuhnya akan semua kata-kata daripada orang yang lebih tua. Oh ya, suamiku pula, cukuplah dikatakan seorang yang tinggi, gelap dan manis pada pandanganku. Sifat baik hatinya dan hormat kepada orang tua itu menambat hatiku untuk bersetuju membina ikatan halal.
Aku membetulkan tempat duduk dan memandang ke arah tingkap. Penerbangan yang mengambil masa selama tiga puluh lima minit ini ibarat perjalanan menuju ke bulan. Bagaimana pula aku di sana nanti selama tiga hari dua malam? Sungguh jengkel. Inilah pertama kali aku menjejakkan kali ke daerah utara Sarawak itu. Orang tua kata, jika pertama kali seseorang itu datang ke tempat yang baharu, mereka hendaklah mencalit sedikit tanah di dahi. Entahlah, aku hanya menyimpan rapi sahaja pesanan mereka.
Kuakui sedikit rasa tidak selesa dan mungkin jangkaanku agak negatif terhadap tempat percutian seperti ini. Bagiku percutian yang aku idamkan adalah melawat ke luar negara atau melawat pusat membeli belah yang ternama. Kalau hendak bermalam pula, di hotel-hotel mewah atau resort. Mungkin juga pergi berkelah di tepi pantai atau tempat-tempat yang estetik dan dipenuhi dengan manusia pelbagai warna kulit. Hanya itu yang bermain-main di mindaku.
Setibanya kami di Lapangan Terbang Limbang, kami mengambil teksi untuk ke hotel. Lapangan terbang ini tidaklah sebesar mana. Jadual penerbangan pun tidak banyak. Tidak ramai pengunjung yang tiba. Aku melirik ke arah sebuah papan iklan besar di hadapan pintu masuk lapangan terbang tersebut. Terkial-kial aku membacanya.
“Pesta Buba… Babulang?” Secara tidak sengaja aku melontarkan suara tanda tertanya-tanya. Suamiku menoleh sejenak dan kemudian dia tersenyum.
“Auk, Dang. Pesta Babulang. Pesta ini selalunya diadakan di Limbang. Ia sama seperti pesta lain di Sarawak yang mana setiap pesta akan dibuat di daerah tertentu sahaja. Sebagai contoh, Pesta Kaul di Mukah manakala Pesta Benak pula di Sri Aman. Sudah dua tahun ia tidak diadakan secara besar-besaran, tahun ini kita berpeluang ke pesta Babulang di Batu Danau. Di sana nanti kita boleh tengok pertandingan lumba kerbau.” Suamiku menjelaskan panjang lebar seperti pemandu pelancong.
Aku cuba mengekstrak info yang diterima. Sayang sekali, ceteknya ilmu pengetahuanku tentang bumi kelahiran sendiri. Patutlah dia beria-ia ingin mengajakku bercuti ke Limbang. Rupa-rupanya, di sini ada pesta keramaian.
Aku membaca penuh teliti papan iklan itu. Pelbagai aktiviti yang akan berlangsung sepanjang Pesta Babulang diadakan nanti. Kemudian, aku memandangnya semula. Kenapa dia tidak bercerita pun tentang pesta ini kepadaku selama ini? Yang peliknya, aku tidak pernah melihat iklan tentang pesta keramaian ini singgah di laman media sosial walaupun setiap hari aku aku membukanya.
Aku terkedu. Sungguh, tidak dinafikan aku dan dia adalah dua watak yang berbeza. Aku seorang yang cuai, dia pula jenis yang teliti. Aku tidak pandai memujuk malah suka merajuk. Dia pula arif bila memujuk dan sering mengalah. Salah faham memang ada. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Klise inilah yang sering kedengaran tentang kisah suami isteri. Ya, sekarang ini aku cuba menghayati sebuah percutian yang ingin seorang suami hadiahkan kepada isterinya.
Rancangan percutian ke Limbang ini memang rancangan suamiku. Pada awalnya, aku teragak-agak untuk bersetuju. Tetapi memandangkan sudah lama tidak pergi bercuti dengan menaiki kapal terbang, aku akur dengan keinginannya. Kebetulan pula sekolah bercuti selama dua minggu bersempena Hari Gawai Dayak di Sarawak. Dengan rasa berat hati, aku mengambil cuti tahunan. Lagipun, ini merupakan hadiah percutian buat kami berdua ini. Kedengarannya seperti pergi berbulan madu dan mungkin juga benar. Semuanya diuruskan olehnya bermula daripada menempah tiket kapal terbang sehingga tempahan hotel. Aku pula hanya menyediakan keperluan asas dan pakaian untuk dibawa dalam bagasi.
Tiket penerbangan tidaklah begitu mahal seperti yang dijangkakan. Pergi pun berdua dan tidak terlalu lama. Hotel yang kami tempah terletak di tengah-tengah bandar. Perjalanan dari lapangan terbang ke bandar tidak sampai sepuluh minit. Setibanya di sebuah laluan pusing keliling jalan menuju ke bandar, ternampak tugu seekor kerbau yang menjadi lambang kebanggaan bandar ini.
“Dahulu, waktu kecil abang selalu ikut bapa kejar kerbau. Kalau di sini, kerbau ini merupakan ternakan utama. Setiap rumah pasti ada seekor untuk dijadikan sebagai pembajak tanah di kebun dan digunakan untuk urusan kerja seharian seperti mengangkut barang atau karung padi,” ujar suamiku tersenyum sambil melirik ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai tanda mendengar ceritanya, namun masih tidak menunjukkan ekspresi minat terhadap ceritanya.
Sampainya di hotel kami mendaftar masuk. Usai mendaftar masuk di hotel, dia mengajakku ke rumah keluarga Pak Udak untuk makan tengah hari. Pak Udak merupakan bapa saudara suamiku. Hanya keluarga mereka yang tinggal di daerah ini. Kebanyakannya sudah berhijrah. Aku berkenalan dengan saudara-maranya yang sangat ramah. Pada ketika ini aku cuba sembunyikan rasa tidak selesa jauh dari pandangan mereka. Majoriti bahasa yang yang digunakan di daerah ini ialah bahasa Melayu Brunei dan bahasa Kedayan. Suamiku seperti sangat arif berbahasa Kedayan. Aku tidak pernah tahu tentang itu. Lenggok bahasa yang sopan santun itu menyejukkan telinga dan ingin mendengarnya lagi dan lagi. Sepanjang perkenalan aku dengannya, dia tidak pernah berbahasa Kedayan di dalam pertuturan seharian bersama ahli keluarganya. Hanya menggunakan bahasa Melayu Sarawak. Betapa uniknya seseorang itu boleh mengetahui bahasa dan dialek lebih daripada satu. Adakah ini dinamakan hadiah kejutan bagiku?
Setelah menziarahi saudara-mara, kami ke tanah perkuburan pula untuk menziarah kubur bapa mentuaku. Aku sedekahkan Al-Fatihah buat bapa mentuaku yang telah lama meninggal dunia. Usai semuanya, suamiku menyewa sebuah kereta daripada saudara maranya untuk aktiviti perjalanan kami sepanjang berada di sini. Perjalanan yang seterusnya pula ekspedisi meronda bandar menggunakan kereta sewa. Sempat juga melihat sempadan Limbang – Brunei dari jauh sahaja tapi belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke negara jiran itu. Beberapa kali juga ternampak sekumpulan kerbau di tepi jalan. Pemandangan yang hijau sepanjang jalan itu sungguh menenangkan jiwa.
Antara aktiviti wajib sewaktu pergi melancong seperti ini ialah memburu makanan yang enak dan jarang ditemui. Salah satu makanan yang sering disebut-sebut orang di sini ialah ikan tahai. Ikan tahai ini sebenarnya ikan tamban yang telah disalai selepas disiang. Rasanya sama seperti ikan salai yang lain tetapi lebih rangup dan rasa salai yang lebih asli. Ikan ini boleh digunakan sebagai bahan perisa dan sup dalam sebuah masakan tertentu. Sejenak aku terfikir kembali tentang persepsi percutian ini dari sudut yang lebih mendalam. Aku menggambarkan perasaanku kini tidak seperti yang aku jangkakan semasa aku berada di awan tadi. Suamiku pula bersungguh-sungguh menyediakan yang terbaik buat keselesaan diriku. Sedikit demi sedikit aku cuba menerima dengan hati seluas awan dan cuba menghargai segala yang dia rancangkan sepanjang percutian ini walaupun dia tahu aku kurang menyukainya.
Aku tergerak hati untuk mencari info makanan yang berkaitan di daerah ini. Selain ikan tahai, terdapat juga makanan terkenal berasaskan daging kerbau dijual seperti mi sup kerbau dan sate kerbau. Kami singgah di sebuah kedai makanan yang menyediakan makanan yang unik di daerah itu. Sedar akan keterujaan terhadap makanan, suamiku tidak teragak-agak untuk memesan pelbagai jenis makanan yang tidak pernah aku jumpa di tempat lain. Aku mencuba mi sup kerbau yang dipesan. Rasa daging kerbau agak liat sedikit berbanding daging lembu. Tidak dinafikan semua makanannya sungguh enak. Masakan orang di sini boleh diterima tekakku yang agak cerewet. Tidak terasa juga sudah sehari berada di bandar yang kuanggap sebagai bandar mati ini. Mungkin sedikit rajukku masih ada namun aku biarkan ia melayang di malam yang panjang.
Hari kedua adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh suamiku. Dia teringin hendak melihat pertandingan lumba kerbau. Jadi, dia mengajakku ke pesta tersebut. Aku hanya bersetuju tetapi masih tertanya-tanya apa yang menarik tentang aktiviti di sana nanti.
“Mana tahu, berpeluang untuk bergambar bersama si kerbau,” katanya dengan riak yang jelas teruja.
Bagi sesetengah masyarakat tempatan, kerbau merupakan simbol status sosial. Yang aku tahu kerbau suka berkubang di dalam lumpur dan digunakan untuk membajak tanah. Ini kali pertama aku bergambar bersebelahan seekor kerbau yang bertanduk runcing itu. Aku sempat memegang kulit kerbau yang berlumpur. Agak kasar dan keras. Betullah kata ayahku dulu kulit kerbau tak cantik. Aku tersenyum sendiri terkenangkan ayah. Selesai merakam kenangan bersama sang kerbau, cepat-cepat aku menjauhkan diri takut nanti disondol pula dengan tanduk panjangnya.
Pesta Babulang dan lumba kerbau diraikan oleh kaum Bisaya di Limbang. Tidak sangka pertandingan lumba kerbau sungguh menarik. Dalam pertandingan ini, setiap peserta dikehendaki menunggang dan mengawal kerbau sehingga ke garisan penamat. Namun begitu, bukan senang kerbau-kerbau itu untuk dijinakkan. Sehinggakan ada beberapa ekor kerbau membawa haluan masing-masing sampai ke sudah tidak menjumpai garisan penamat. Tanpa sedar, aku tertawa sendiri melihat gelagat kerbau-kerbau itu di atas padang. Aku rasakan sesuatu yang memukau dan menggamit hatiku. Sorakan orang ramai di padang tersebut telah menenggelamkan rajuk yang bersarang di hatiku beberapa hari lalu.
Sepanjang perjalanan melawat ke gerai pesta, suamiku tidak henti-henti menceritakan kenangan mereka sekeluarga tinggal di daerah ini. Betapa gembiranya dia berkongsi cerita kepadaku. Aku pula, semakin tertarik dengan gayanya dan kadang-kadang mencelah dan bertanya untuk mendapatkan kepastian ceritanya. Di satu sisi yang lain, aku cuba membuka hati untuk membenarkan kegembiraan singgah sejenak untuk merasai percutian dan kembara yang indah ini. Setelah seharian di tapak pesta, malamnya kami kembali ke hotel dengan kelelahan namun bagiku pengalaman ini mungkin tidak dapat dilupakan dan mungkin akan terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Tiba hari terakhir kami di daerah sang kerbau ini, menjelma suatu perasaan yang agak sayu buat diriku. Tidak banyak aktiviti yang kami berdua lakukan. Hanya ke pasar tamu untuk membeli buah tangan yang akan dibawa balik ke Miri nanti. Sempat pula kami berjalan di tebing sungai Limbang dengan menikmati pemandangan kampung di seberangnya. Di sinilah aku cuba mengenali suamiku dari sisi yang lain. Bagiku, ini adalah memori yang berharga buatku juga buat dirinya kerana aku cuba belajar mengenali dia lebih mendalam tempat lahirnya yang menyimpan pelbagai ragam jiwa raga zaman kanak-kanak. Namun yang paling mencuit hati, kisah dia dan kerbau sentiasa meniti di bibirnya. Aku pula tak pandai jemu untuk mendengar cerita zaman kanak-kanaknya.
Pada masa yang sama, persepsiku terhadap percutian yang sebegini tidak lagi serong. Setiap perjalanan pasti membawa erti yang pelbagai dan memberi pengajaran dalam isinya. Walaupun bandar Limbang ini tidaklah terkenal seperti bandar-bandar besar yang lain di Sarawak, namun masih banyak tempat menarik yang masih belum diterokai. Semakin banyak tempat dijejak, semakin kita tunduk. Semakin banyak pengalaman dilalui, semakin rasa rendah diri. Semakin banyak yang dipelajari, semakin rasa kurangnya ilmu. Perjalanan kali ini memberi penuh makna terhadap diriku, dia, dan sang kerbau di tanah Limbang. Jika hendak menilai kerbau, usah dilihat lumpur yang berlumur pada kulitnya, tetapi kenanglah keringat yang dicurah kepada tuannya. Begitu juga manusia, usahlah memandang luaran sahaja, tetapi lihatlah pandangan dengan mata hati yang terbuka.