KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan sejumlah RM2.5 juta untuk subsidi yuran kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak swasta berdaftar di Sarawak sebagai usaha meringankan beban kewangan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, subsidi tersebut diberikan berikutan yuran Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) yang swasta yang semakin meningkat.
“Bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar, cabaran utama mereka adalah kekurangan Taska yang dikendalikan oleh kerajaan yang mengenakan caj minima. Oleh sebab itu, mereka terpaksa menghantar anak-anak ke Taska swasta.
“Kami sedang mengusahakan butiran untuk subsidi ini. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan dapat meringankan beban dan membantu ibu bapa dari segi kewangan menjelang April tahun ini.
“Kita berharap agar inisiatif seperti ini akan membantu golongan yang memerlukan dan anak-anak mendapat bimbingan dan didikan berkualiti daripada pengasuh yang bertauliah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke Taska SeDidik Semariang di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya lagi, SeDidik turut menyasarkan untuk menubuhkan 106 pusat Tadika dan Taska di seluruh negeri ini bagi menampung permintaan ibu bapa bekerja yang semakin meningkat untuk menghantar anak-anak ke pusat asuhan yang selamat dan kondusif buat anak-anak.
“Saya dimaklumkan oleh Pengurus Besar SeDidik, Ayub Dahari bahawa terdapat sebilangan kanak-kanak yang berada dalam senarai menunggu untuk memasuki pusat ini.
“Sehingga tahun ini, kita mempunyai 99 pusat di Sarawak. Jadi kami berharap agar dapat menubuhkan lebih banyak pusat lagi,” katanya.
Setakat 31 Disember 2022, terdapat 3,061 Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) yang berdaftar di seluruh Sarawak di mana 227 daripadanya merupakan Taska dan 2,834 adalah Tadika.
Oleh RYNNA SHA’ERRA