SIMANGGANG: Sambutan perayaan Chap Goh Mei di sini malam tadi kembali meriah setelah ‘menyepi’ selama tiga tahun disebabkan pandemik Covid-19.
Ia dimeriahkan dengan acara 16 kereta berhias dan 15 kereta pengiring.
Perarakan disertai 63 kontinjen dari Sri Aman, Betong, Debak, Pantu, Batu Lintang (Sri Aman), Engkilili, Kapit dan Kuching dengan Tokong Ciyun Sri Aman menjadi lokasi utama penganjuran acara ini.
Perarakan ini terlebih dahulu dimulakan dengan upacara keagamaan di Tokong Ciyun dalam kalangan penduduk kaum Cina yang mengendali acara itu bermula 6.00 petang.
Upacara keagamaan itu selesai pada 7.30 malam dengan tiga ‘tandu’ yang melambangkan tiga dewa dewi diarak keluar dari tokong sebelum perarakan sejauh lima kilometer.
Kesemua kontinjen bersama kereta berhias memulakan perarakan dari Jalan Main Bazaar iaitu hadapan tokong tersebut ke kawasan Munggu Sabun dan memasuki Jalan Hospital untuk menuju ke Hotel Sri Simanggang.
Dari hotel tersebut, kesemua kontinjen berarak mengelilingi Pusat Medan Selera Tamu, menuju kembali ke Jalan Main Bazaar untuk mengakhiri perjalanan mereka di situ pada 11.10 malam.
Di situ, pertunjukan bunga api diadakan yang menerangi suasana malam bandar ini bermula 11.15 malam, sekali gus menandakan berakhirnya acara perarakan dewa dewi bersempena perayaan Chap Goh Mei ini.
Antara yang hadir adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodie dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Terdahulu, tinjauan mendapati orang ramai dari pelbagai latar belakang kaum dan agama sudah membanjiri kawasan Jalan Main Bazaar seawal 5.30 petang untuk menyaksikan perarakan.
Dianggarkan kira-kira 5,000 orang membanjiri beberapa kawasan di sekitar pusat bandar ini untuk menyaksikan acara perarakan dewa dewi tersebut atau lebih dikenali dengan nama ‘juntoi’.
Oleh VALENTINE NGUMBANG