KUCHING: Satu jawatankuasa bertindak melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kerajaan Sarawak akan ditubuhkan bagi merencanakan kaedah terbaik dalam memajukan aset Felda di negeri ini.
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata jawatankuasa berkenaan akan menentukan perkara yang akan dilaksanakan terutama melibatkan aset dimiliki Felda di Sarawak untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.
“Antara aset Felda di Sarawak adalah Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) selain beberapa ladang di negeri ini. Hotel itu sejak kebelakangan ini nampak agak ketinggalan sedikit.
“Hotel ini pernah menjadi tempat tumpuan dan mempunyai potensi yang sangat tinggi serta sangat ikonik kepada Sarawak.
“Kita ingin mengangkat dan memperbaharuinya dengan kerjasama kerajaan Sarawak sebab itu kita bincang apakah cara terbaik ke hadapan,” katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Idris berkata Abang Johari dalam pertemuan itu telah memberi beberapa cadangan dan akan diperincikan oleh jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti.
Katanya, selain hotel Merdeka Palace & Suites, Felda juga mempunyai ladang di Samarahan, Miri, Limbang dan banyak lagi, yang akan turut diperincikan oleh jawatankuasa itu nanti.
“Saya berharap dalam proses rasionalisasi itu, ia akan dapat memastikan perancangan bagi melangkah ke hadapan untuk Felda di Sarawak menjadi lebih mudah untuk diselaraskan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT