KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing mengalu-alukan cadangan pembinaan tiang bendera setinggi 99 meter di Fort Magherita yang menelan belanja RM30 juta.
Katanya, projek ini diyakini merancakkan sektor pelancongan di Kuching.
“Cadangan pembinaan tiang bendera ini amat baik kerana ia sedikit sebanyak membantu industri pelancongan yang selama ini suram akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan syarikat swasta agar berganding bahu bersama kerajaan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan.
“Saya harap dengan siapnya projek ini nanti, ia akan dapat memulihkan sektor ekonomi secepat mungkin,” katanya.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, projek yang dipanggil ‘tiang bendera tertinggi’ dibiayai sektor swasta sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia.
Sementara itu, Tiong berkata bilangan polis pelancong akan ditambah di Sarawak bagi menjaga keselamatan pengunjung terutama di destinasi tumpuan pelancong.
Katanya, anggota polis pelancong itu nanti akan ditugaskan di sekitar kawasan tumpuan pelancong dan juga bandar-bandar utama di Sarawak.
“Keselamatan pelancong adalah aspek penting yang boleh mempengaruhi aliran masuk pelancong antarabangsa ke negeri ini.
“Kehadiran polis pelancong di kawasan pelancongan dan juga bandar utama dapat menyediakan bantuan kepada pelancong serta mengelak kejadian yang mampu memberi kesan negatif kepada industri pelancongan secara keseluruhannya,” katanya.
Mengenai kunjungannya itu, beliau berkata ia bagi mendengar keperluan polis yang boleh dijalin bersama kementeriannya terutama berkaitan polis pelancongan.
“Kalau di Kuching ada (polis pelancongan) elok di tempat lain seperti Sibu dan Bintulu pun ada juga,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN